Showing posts with label think tank. Show all posts
Showing posts with label think tank. Show all posts

Thursday, June 26, 2014

Kuasa Naluri Ibu.

Sebelum mempunyai anak sendiri, aku selalu curiga dengan diri sendiri.

 

Mampu kah aku menjadi seorang ibu yang baik?

Sanggup kah aku berjaga malam menjaga sakit pening anak?

Rela kah aku bergolok gadai, berkorban jiwa raga demi kebajikan dan kesejahteraan anak?

 

Kini, selepas bergelar ibu, dan kalau ditanyakan kepada mana-mana ibu pun dalam dunia ni, semua akan jawab YA. Kami sanggup buat apa saja. Hatta terpaksa menggadai nyawa kami sekalipun.

 

Demi anak.

 

Mungkin kerana kami berkongsi rasa yang sama, digelar sebagai naluri ibu.

 

Sebab itulah, hati kami mudah tersentuh setiap kali terdengar, terbaca, atau terlihat apa-apa berita yang melibatkan anak. Biarpun bukan anak sendiri, aku percaya ramai ibu-ibu di luar sana, kalaupun tidak menitiskan air mata, akan merasa sangat sebak dan hiba. Sakit nya yang kami rasa ni, Tuhan saja yang tahu bagaimana.

 

Rasa yang kami simpan, macam nak pecah dada menahannya.

 

Dan semalam, sebaik terpandang gambar seorang kanak-kanak lelaki yang mendukung adiknya baru berusia 3 bulan selepas ditinggalkan di tepi jalan yang terpampang kat muka depan surat khabar, betul-betul meruntun hati aku. Berlakunya begitu hampir pula dengan rumah tempat teduh kami anak-beranak. Terus merentap secebis naluri ibu yang aku ada. Lantas berjurai-jurai air mata kerana terbayangkan andai itu terjadi kat anak-anak sendiri; Alfiy dan Aisya.

 

Na’uzubillah.

 

Ironinya, di sebelah sana, ada juga golongan ibu yang telah ‘ditarik semula’ nikmat naluri keibuannya. Sampai hatinya, menjadikan anak sebagai ‘banduan’ di rumah sendiri. Dibiarkan anak dikandung sendiri 9 bulan 10 hari tidak terbela, sakit peningnya tidak terjaga, makan minumnya tidak dipeduli, apatah lagi belaian kasih sayang yang sangat didamba seorang anak. Lebih-lebih lagi anak syurga ini. Sejak kelahiran Adik Nani, rasanya kami sekeluarga dah masak benar akan susah-payah untuk menjaga anak OKU. Memang payah. Namun, kepayahan itulah yang Tuhan akan ‘bayar’ kelak dalam rupa yang kita tidak akan tahu.

 

Pertama kali tengok gambar, memang aku sangka tu gambar anak orang Somalia, takpun di Afrika sana. Yang memang kita sedia maklum dengan kisah kesusahan dan kebuluran mereka. Rupanya, siapa sangka, di negara makmur ini, yang rata-rata rakyatnya terkenal dengan sifat ramah dan prihatin, terselit jugak kisah menyayat hati macam ni. Mulanya, aku boleh tahan air mata lagi tapi, sebaik je kawan meyua video (Remaja OKU Dikurung) teresak-esak aku menangis sambil mulut tidak henti-henti menyebut kalimah Allah.

 

Astaghfirullahhh! Astaghfirullahhh! Astaghfirullahhh! Allahuuuuu..

 

Siapalah aku untuk menjatuhkan hukum. Jauh sekali untuk menghakimi kehidupan seorang ibu lain. Aku masih yakin dan percaya dengan kuasa naluri dan kasih sayang seorang ibu. Naluri dan kasih sayang ibu adalah sangat berkuasa untuk tidak membenarkan perkara-perkara seumpama ini berlaku.

 

Melainkan, Tuhan dah tarik balik ‘kuasa’ itu.

 

Jauh di sudut hati, aku mohon sungguh-sungguh, di samping Tuhan panjangkan jodoh aku dengan anak-anak, mohon direzekikan aku dengan ‘naluri ibu’ ini hingga ke akhirnya. Pinjamkan aku rasa ini buat selama-lamanya, biar sampai di hari akhir sana nanti.

 

maternalinstinct

“Jangan Kau tarik balik nikmat yang satu ini, Ya Allah. Nikmat memiliki naluri ibu yang sanggup berbuat apa sahaja demi insan bergelar anak. Rezekikan kami dengan sifat-sifat mulia seorang ibu, kayakan kami dengan kasih sayang dan kesabaran, demi mengasihi dan menjaga amanah Mu ini dengan penuh rasa redha, istiqomah dan tawadhu’, Ya Allah…”

 

 

HER : Moga Tuhan terus pinjamkan kekuatan untuk menjaga bidadari syurga keluarga kami.

Monday, May 19, 2014

Does Your Man Notice?

image

Does Your Man Notice?

This video was *surprisingly* based on TRUE experience.

 

Sebelum kahwin? Yes.

Jerawat nasik berapa ketul kat muka kite pun dia boleh hafal.

 

Selepas kawin? errr.. err..

Jerawat batu tertonggok kat batang hidung pun belum tentu dia perasan.

 

Serious. Tak tau lah kebetulan ke apa, beberapa minggu lepas memang aku ada emo pasal benda ni. heh. Biasalah mak-mak. Masak karipap hangus pun boleh jadik emo. Ini pulak bila kes suami tak ‘perasan’ kite, kan.

 

Kisah nya macam ni.

 

Aku mula pakai contact lens sejak zaman belajar kat universiti. Semua jenis aku dah cuba. Yang plain, berwarna, belang-belang ke, semua dah merasa pakai. Zaman remaja dulu selalu jugak gedik tukar macam-macam kaler contact lens. Bila dah menginjak dewasa (?) aku pakai contact lens kaler brown semata. Lebih 5 tahun kot. Sampai la satu hari tu, buang tebiat ke apa, tiba-tiba tukar pakai contact lens kaler lain. Dasar krisis umur nak masuk 30–an lah ni, kot.

 

First day pakai, terkelip-kelip aku kat depan Cfu dengan harapan dia akan tegur.

Hampa.

 

Hari ke-2. Kelip-kelip lagi sambil tenung je muka dia kot-kot dia perasan kan.

Dia boleh buat dunnnooo je, weh.

 

Hari ke-3 dan seterusnya, masih takde respon memberangsangkan.

Aku buat lap dance pun belum tentu dia perasan.

 

Elok seminggu pakai contact lens kaler lain ni, Cfu masih tak perasan, aku pun mulalah bukak mulut nak meluah perasaan terpendam.

 

“Notice anything different? Tak perasan apa-apa ke?” Sambil terkelip-kelip mata berkaca-kaca.

 

“Huh? Apa? Takde pape pun?” Jawab Cfu acuh tak acuh.

 

Fineeeeee. Mulahlah mulut panjang sedepa.

 

“Apa diaaa? Cakaplah.” Cfu ala-ala nak pujuk lah konon.

 

“Tengok lah betul-betul. Tak nampak ke?” Aku tadah muka betul-betul depan muka dia.

 

“Takkkk… “

 

Sudahnya, Alfiy pulak yang perasan. “eiiii… eyes Mama color Purple!!!”

 

*Mama tengah nangis sebanyak satu sungai*

 

selfielakibini

“Men are notoriously bad at picking up on small details. It’s not because we don’t care, it’s because we’re not paying attention to what’s going on.” – (15 Things Men Never Notice about Women, Cosmopolitan)

 

 

HER : Marking our 11 years relationship soon.

Thursday, February 27, 2014

Hormat.

Telefon berdering, panggilan dari nombor tak dikenali.

+60340501311

“Saya polan si polan dari Syarikat Takaful blaa blaa TakafulLink Hajj blaa blaa untuk ibu bapa pergi menunaikan Haji ke Mekah blaa blaaa blaa blaaa blaa blaaa blaa blaaa blaa blaaa…...“

 

Aku layan dan dengar. Siap angguk-angguk kepala tanda faham kononnya. Biarpun si tukang panggil ni cakap macam tak reti nak bubuh noktah. Bagi peluang dia beritahu apa yang perlu aku tahu.

 

“Boleh saya tau umur puan? Ibu bapa puan?”

 

Bila dah masuk bab perkara yang aku tak mahu dia tahu ni, aku jawab,

“Takpe lah. I’M NOT INTERESTED.”

 

Tak putus asa lagi, dia guna sentimen mak bapak pulak,

“eh.. tapi puan program ni khas ada link dengan simpanan untuk bawak ibu bapa ke Mekah blaa blaa murah je 45 ringgit sebulan. blaaa blaaa…”

 

Dengan penuh sopan aku menolak SEKALI LAGI.

“Takpe. Saya tak berminat. Parents saya dah ada semua tu. I’m NOT INTERESTED”

 

Dia mula tak puas hati.

“Puan terus-terang dengan saya, sebenarnya memang tak ada, kan. Jangan menipu. Jangan lah cakap dah ada apa semua tu blaa blaa blaa ini baru launch tahun ni blaa blaa..”

 

ehhhhhhhhh. Aku mula ‘panas’ dah.

“Parents saya dah ada insurans. Dan ada Tabung Haji untuk simpan duit pergi Haji. Jadi tak perlu lah semua ni lagi. And again, I’M NOT INTERESTED.”

 

Ayat penutup dia ni betul-betul buat aku ‘menggelegak’.

“Kalau macam tu cakaplah tak berminat. Jangan tipu kata dah ada. Kalau nanti keluarga atau anak puan jadik salesman akan kena macam saya ni. Assalamualaikum!”

 

“Hah? Apa awak cakap tadi?” sergah aku.

 

…. tuuuuuuutttttttttt.

Talian diputuskan.

 

 

Disclaimer :

Ini kisah benar. Dialog mungkin sedikit lari daripada yang asal tetapi yang penting maksud yang cuba disampaikan adalah sama. Aku memang punya ramai saudara-mara yang jadik agen insuran, kerja salesman. Sebab tu aku sentiasa layan any calls dari bank atau syarikat insuran dengan penuh rasa hormat, tanpa gagal. Seingat aku, kalau aku tak berminat, aku akan kata tak berminat tapi aku tetap bagi peluang mereka untuk bercakap dulu. Biarpun kadang-kadang aku tak fokus sangat pun dengan butir bicaranya.

 

Dah tu kenapa aku layan jugak? Letak je la telefon. Bo-layan kan aje. Buang masa.

Sebab aku rasa HORMAT.

 

Dah memang macam tu bidang kerja mereka. Jadi aku hormat dengan cara kerja mereka. Aku cuba letakkan diri aku dalam kasut mereka. Apa yang mereka rasa. Begitu jugak dengan akak cleaner ke, pak guard ofis ke, semua aku layan dengan rasa hormat.

 

keep-calm-and-respect-others-10

Bukan luak pun kau punya perasaan hormat tu kalau bagi kat sejuta orang setiap hari sekalipun.

 

 

HER : Belajar hormat orang lain dulu sebelum sibuk nak tagih hormat orang.

Monday, February 18, 2013

Hikmah di Sebalik Ikhlas.

Sekadar bermula suka-suka antara saudara mara dan sahabat handai terdekat, Syukur Ya Allah, perniagaan keluarga kami beransur-ansur menunjukkan perkembangan positif. Ada sesetengah yang dah tahu, ada jugak sekadar tahu gitu-gitu, nah sekarang ni aku betul-betul nak beritahu.

 

Memperkenalkan,

Nani Homestay Tangkak.

Nama diambil bersempena dengan nama adik bongsu istimewa kami.

Masih ingat? (Baca : Si Bongsu Kesayangan) Dengan harapan, agar berkat keistimewaan yang dimiliki adik dapat dilampiaskan kepada perniagaan anak beranak ni. InsyaAllah.

 

image

Alhamdulillah. Full house untuk Februari. Mudah-mudahan murah rezeki di lain kali.

 

Idea datang daripada Abah yang tengah mencari-cari kerja selepas pencen lebih kurang dua tahun yang lalu. Kebetulan, Mak baru nak manfaatkan kemudahan pinjaman beli rumah untuk pegawai kerajaan; beli sebuah rumah tak jauh dari kediaman kami. Buat aset, katanya. Hasil perbincangan anak-beranak, kami setuju untuk jadikan sebagai rumah persinggahan ataupun Homestay. Paling kurang, dapat jugak lah Abah bersibuk-sibuk lepas pencen. Orang dah biasa bekerja 56 tahun kot, mana reti nak duduk diam, kan.

 

Kami pun buat lah pembahagian tugas. Dah nama anak beranak cikgu, bahagi tugas bukan setakat sep sep gitu je tau, Abah siap buat kertas kerja. Siapa unit promosi, siapa bahagian housekeeping, siapa helpdesk dan sebagainya. Bertungkus-lumus lah kami semua menyiapkan kerja masing–masing sebelum due date. Memang big boss bubuh due date okeh (-_-“)

 

Secara rasminya, Nani Homestay Tangkak mula beroperasi sejak musim cuti persekolahan Tahun 2012. Hari ni aku masukkan iklan kat Mudah saja nak test market, tak sangka 2-3 hari kemudian, dah ada pelanggan! Gembiranya kami bukan kepalang! Memang kami layan pelanggan pertama tu macam kerabat diraja lah. Tinggal makan tak bersuap je. heh.

 

Kini, dah hampir setahun Nani Homestay Tangkak beroperasi.

 

Nampaknya, nama Adik Nani memang membawa tuah buat kami sekeluarga. Setiap minggu tak putus pelanggan. Sampai kadang-kadang kami pulak yang tak terlayan. Abah pun lagi sibuk mengalahkan orang yang belum berpencen. Macam-macam penambahbaikan dah dibuat hasil daripada testimonial para pelanggan. Abah sedaya mungkin, mesti nak penuhi permintaan pelanggan. Pelanggan mintak pasang Astro Warna sebab nak tengok Final Maharaja Lawak, malam tu jugak Abah terus pasang. Cuba kalau anak-anak dia yang mintak? Hausssss :p

 

Namun, perkara paling penting yang aku pelajari daripada perniagaan keluarga ni adalah nilai ikhlas yang Abah dan Mak cuba terapkan dalam jiwa kami adik-beradik. Setiap kali ada pelanggan mintak diskaun, Abah tak fikir panjang, terus bagi 10%. Pernah ada satu pelanggan tidur 3 malam, Abah suruh bayar untuk 2 malam je, satu malam lagi dianggap diskaun. Perghhh!! Aku yang berdarah muda ni mula-mula memang cepat melenting bila dengar Abah bagi diskaun banyak sangat.

 

“Rugi lah, Bah!”

 

Abah dan Mak senyum je sambil berkata,

 

“Takpelah. Kita tolong orang. Mudah-mudahan, satu hari nanti orang tolong kita pulak.”

 

*INSAFSAMBILTARIKRAMBUTSENDIRI*

 

Pernah sekali, Abah dan Mak siap tolong jemput pelanggan dari stesen bas sebab dia sampai tengah pagi buta dari nun Kedah sana.

 

“Ambik extra charge tak? Duit minyak ke?” sergah aku macam biasa.

 

Dan, macam biasa jugak, Abah dan Mak sekadar senyum menjawab,

 

“Takpelah. Bukan jauh sangat pun. Kalau kita permudahkan kerja dan urusan orang lain, InsyaAllah urusan kita pun akan dipermudahkan nanti.”

 

*INSAFSAMBILTARIKRAMBUTSENDIRILAGI*

 

Begitulah seterusnya. Abah dan Mak menguruskan Nani Homestay dengan penuh ikhlas dan tak berkira untung sangat. Cuma kadang-kadang aku risau jugak takut orang ambik kesempatan, kan. Banyak kali dah jadik pun. Orang yang janji nak datang malam, merayu nak walk-in, sampai  masa, tiba-tiba cancel. Aku memang sakit hati lah. Kesian kot Abah penat-penat kemas homestay, tunggu sampai malam, alih-alih tak jadik. Kot iye pun, beritahu la awal sikit. Tu belum masuk kes pelanggan yang tak amanah, ‘ter-ambil’ harta benda dari Homestay, pengotor, merokok dalam rumah walaupun dah diberitahu dan macam-macam lagi lah!

 

Abah dan Mak tetap senyum dan jawab, “Takpelah…”

 

Seiring dengan perkembangan positif Nani Homestay Tangkak, kami adik-beradik pun semakin matang dalam mempelajari selok-belok perniagaan dan membaca pelbagai ragam orang. Memang betullah rambut sama hitam, hati lain-lain. Dan, pengajaran terbesar yang kami pelajari adalah hikmah di sebalik sifat ikhlas. Biarpun Abah selalu bagi diskaun besar kat pelanggannya, tak berkira dengan pelanggan, dia tak pernah rugi walau sesen pun.

 

Sebab Tuhan beri Abah dan Mak ‘keuntungan’ dari segi sudut yang lain.

Yang tak dapat dijual-beli di mana-mana pun.

 

 

HER : Mendidik anak bukan sekadar di atas kertas.

Thursday, December 20, 2012

Kartun : Dari Kaca Mata Seorang Mama.

 cartoon

Antara yang termasuk dalam senarai kegemaran Alfiy.

 

IMHO, daripada hasil pemerhatian peribadi, aku dapati rancangan kartun dan kanak-kanak umpama aur dengan tebing, bagai isi dengan kuku, tak dapat dipisahkan langsung. Pengaruhnya cukup besar. Penangannya lagi dasyat berbanding sebiji durian crepe. Eh (?)

 

Malahan, aku pernah terjumpa beberapa orang kanak-kanak yang berkomunikasi menggunakan bahasa baku sebijik macam kartun alih suara di Disney Channel tu.

 

“Abang, mari kita bermain di celah-celah pokok.”

 

“Hati-hati, bahaya menanti.”

 

(-_-“)

 

Memang kelakar, tapi bila difikirkan semula, lebih elok bercakap bahasa baku daripada bahasa SMS yang merapu tu, kan? Setakat ni, Alfiy belum lagi keluarkan ayat-ayat skema macam tu. Yang aku nampak, dia boleh sebut beberapa perkataan dwi-bahasa.

 

“Nak chicken”

 

Aku tak faham. Dia ulang. Aku masih tak faham bila tiba part ‘chicken’ tu sebab bunyiknya lebih kepada ‘kennn’ je. ‘Chick’ nya tertinggal bas. heh.

 

“Nak ayammmm!”

 

Seraya menuding jari ke arah ayam goreng sewaktu makan di Restora Saba’ tempoh hari. err… motip masukkan Restoran Saba’ kat sini? *riak darjah pertama* Maka, terima kasih lah kepada cerita Upin & Ipin kerana secara tak langsung mengajar Alfiy yang Mama Papa dia dok sebut ‘chicken chicken’ selama ni, dikenali jugak sebagai ‘ayam’.

 

Cfu ada ter-download cerita kartun Puss-in-Boots dalam bahasa Perancis. Hari-hari si Alfiy layan cerita tu ulang pagi petang siang malam. Dan, kadang-kadang aku perasan yang Alfiy suka membebel dalam bahasa yang aku kurang cam. Aku syak dia cakap Perancis! Terkebil-kebil lah Mak nya yang berdarah Jawa ni tak tahu nak respon apa selain ‘Merci’.

 

Melalui kartun juga, Alfiy belajar meluahkan pelbagai perasaan yang dia rasa.

 

Dia akan turut menangis setiap kali keluar babak kartun favorite nya menangis. Dia dah tahu tunjuk rasa seram dan takut bila dinosor T-Rex muncul dalam cerita Ice Age. Pandai mengajuk gaya dan dialog berserta mimik muka yang begitu amusing sekali.

 

Satu lagi aku dapati, rancangan kartun yang digemari adalah berkadar langsung dengan perkembangan dan peringkat usia kanak-kanak. Peringat usia bayi (0-12 bulan), Alfiy gemar menonton kartun di channel BabyTV, Pororo dan Timmy Time. Menginjak usia toddler (1-2 tahun), kartun kegemaran dia banyak ke arah kartun komersial macam Upin Ipin, Boboiboy dan kartun-kartun Walt Disney. Cecah usia 2 tahun, tiba-tiba dia jadik kemaruk dengan Ultraman, Spiderman dan segala macam tok nenek robot. Padahal, kat rumah tak pernah pulak aku bukak cerita-cerita tu semua. Tak tahu minat dia datang dari mana.

 

Sekarang ni, dia dah mula berjinak-jinak dengan kartun berunsur kenderaan lah pulak dan dia paling addicted dengan aero planes! Bila ditanya dengan rakan-rakan yang ada anak lebih kurang sebaya dengan Alfiy, rata-rata mengiyakan perkara yang sama.

 

Walau macam mana banyak pun kebaikan yang dibawakan oleh sesuatu perkara, pasti terselit jugak satu dua keburukan yang kita boleh nampak secara langsung mahupun tidak. Begitu jugak dengan rancangan kartun. Kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa waspada. Aku tak nafikan beberapa dakwaan yang kata rancangan kartun polan dan si polan ada pelbagai dakyah negatif. Semuanya bergantung kepada cara penerimaan dan pegangan masing-masing lah.

 

IMG_20121014_135829 

Sekarang ni, bila tengok Ultraman sama-sama dengan Alfiy, aku tak faham macam mana cerita ni boleh buat aku setia tunggu depan TV, 20++ tahun dulu setiap petang. Biar lah besar dan aneh mana pun raksasa yang datang, lampu kat dada Ultraman tu dah menyala-nyala nak nazak, sudahnya mesti Ultraman jugak yang menang. Yes, a predictable storyline yet sooo addictive! Apa jenis kas-kas lah yang si Jepun ni bubuh kat dalam citer Ultraman dia, kan?

 

 

HER : Sama-sama kita berusaha didik anak agar bersederhana dalam melakukan semua perkara.

Thursday, November 29, 2012

The UNDO Button.

Sejak bila aku disampuk dek mambang komputer jenis apa entah, dalam kehidupan separa sedar, wujud satu butang ‘undo’ dalam hidup aku.

 

undo

Literally.

Setiap kali berlaku tragedi yang mendatangkan trauma ataupun berlaku sesuatu perkara yang amat aku kesali, secara tidak sengaja aku akan tekan butang ‘undo’ sewaktu dalam tidur. Ya, aku tahu mimpi tu mainan tidur tapi perilaku aku menekan butang ‘undo’ memang terasa macam sedang betul-betul berlaku. Bangun esok paginya, aku akan rasa macam kembali kepada hari semalam. Seperti kejadian yang tidak diingini tu tak pernah berlaku. Aku boleh completely melupakan perkara tersebut. Tapi tak lama lah. Buat seketika, memang terasa macam yang butang ‘undo’ tu betul-betul berfungsi.

 

err.. do you get me? eishh complicated betul.

 

Namun, kejadian baru-baru ni semacam nak menyedarkan aku yang butang ‘undo’ imaginary aku tu tak wujud. Let me rephrase it : tak pernah wujud! Kejadian berlaku di sebuah gimnasium yang menempatkan sebuah alat penimbang digital paling canggih dalam dunia.

 

Naik atas alat penimbang, panel nombor tayang angka 60.

 

Tekan *undo*.

Masih tunjuk 60.

 

Tekan *undo* lagi.

Masih 60, tidak berganjak.

 

*UNDO* *UNDO* *UNDO* *UNDO* *UNDO*

Dalam samar-samar kelihatan;

 

60.

SORRY, SYSTEM OUT OF ORDER.

 

T___________________________T *menangis sebanyak satu kolah*

 

 

HER : Padan muka, siapa suruh terlalu selesa dengan pangkal ‘5’. Hail breastfeeding! *tetiba*

Tuesday, November 20, 2012

Mati Itu Pasti.

Mengucap panjang bekali-kali bila mendapat berita tentang rakan seusia, belajar satu sekolah di Kota Tinggi dulu telah kembali ke rahmatullah. Innalillahiwa’innailaihiraaji’uun. Boleh dikatakan, aku pengikut setia kisah-kisah di blog dia sejak akhir-akhir ni.

 

Aku kenalkan Arwah sebagai Yuyun.

 

Entri blog Yuyun yang terkini banyak berkisar cerita tentang anak keduanya yang dilahirkan pramatang. Beberapa kali doktor menyarankan to terminate her pregnancy kerana Yuyun mengalami masalah buah pinggang sewaktu hamil kali kedua ni. Doktor bagi harapan 50-50 sahaja untuk anak itu survive. Namun, naluri hati Yuyun sebagai seorang ibu begitu kuat menyatakan yang anaknya akan selamat dan dia cuba jugak bertahan sehingga usia kandungan mencecah 6 bulan setengah. Sebaik melahirkan anaknya pada usia kandungan 26 minggu, Yuyun berulang-alik melawat anaknya yang ditempatkan dalam inkubator di NICU selama beberapa bulan. Dengan keadaan kesihatan dirinya yang masih tidak menentu, Yuyun gigih mengepam susu badan setiap masa demi memastikan anaknya membesar dan sihat.

 

Kasih sayang seorang ibu memang tiada tandingan.

 

Usaha gigih Yuyun membuahkan hasil. Dia berjaya menidakkan ramalan doktor. Anak keduanya yang dinamakan Zikri; kini telah berusia 6 bulan dan membesar dengan sihat. Namun, Tuhan Maha Besar. Diberikan satu nikmat, ditarik nikmat yang lain pula. Setelah sekian lama, aku ternanti-nanti juga update terkini di blog Yuyun. Update terakhir adalah pada bulan Jun yang lalu.

 

Rupa-rupanya, tahap kesihatan Yuyun makin merudum. Dia sekadar update perkembangan diri melalui laman sosial Facebook, bukan lagi dalam blog. Terkilan jugak aku. Tahu-tahu je, seorang sahabat mengkhabarkan yang Yuyun telah pergi buat selama-lamanya semalam. 

 

Yuyun pergi meninggalkan seorang suami yang tabah dan dua anak kecil.

 

Ditinggalkan juga penulisan dalam blog nya, Bini Zakaria; di mana dia menyalurkan semangat juang serta kasih sayang seorang ibu yang sanggup bergolok kesihatan diri, bergadai nyawa, demi kesejahteraan anak-anaknya.

 

image

image image image

Mati itu pasti.

Bila, di mana dan bagaimana ia berlaku, itu menjadi rahsia Allah.

 

Banner bini

Nurulhuda Abd Ghani (1984-2012), AlFatihah.

 

HER : Harimau mati meniggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, penulis blog mati meninggalkan entri-entri blog nya yang diharapkan dapat memberi ilmu; baik yang tersurat mahupun tersirat, agar dikongsi secara berhemah oleh para pembacanya.

Monday, November 12, 2012

Jiran 1 Malaysia.

Setiap kali lepas aku cakap tinggal kat Puchong, biasanya akan diikuti dengan dialog yang agak kurang senang untuk didengari seperti,

 

“owhh.. kawasan Cina”

“Melayu tak ramai dok area sana, kan?..”

“..jammed gila woi!”

 

ok, dialog yang akhir tu tak berapa kena lah dengan kupasan topik hari ni. Dan, respon aku pada dialog-dialog sebegini adalah sekadar senyum tawar; tidak mengiyakan atau menidakkan. Kadang-kala dalam hati ada jugak membentak,

 

“so.. apa masalahnya? salah ke berjiran dengan bukan Melayu?..”

 

Dibesarkan dalam kawasan kejiranan majmuk yang bilangan penduduk Melayu nya boleh dibilang dengan jari bermula sekitar penghujung tahun 80-an, kami adik-beradik diasuh dengan gaya hidup bermasyarakat yang cukup kuat. Tak kiralah dengan Melayu, Cina, India dan sebagainya. Jiran kanan kiri depan belakang semua pun Cina dan India. Melayu adalah beberapa kerat.

 

Kami membesar dengan menyaksikan Tarian Naga/Singa di sekeliling rumah setiap kali tiba Tahun Baru Cina. Setakat tidur malam terganggu dek mercun dentam-dentum bila tiba masa Uncle Eng Kong nak halau hantu pada malam Chap Goh Mei, dah jadik perkara biasa. Takde pun sibuk-sibuk nak pergi buat report polis semua. Paling seronok, Abah akan bawak pusing taman perumahan kami naik motor bila tiba Pesta TangLung. Kami jugak saling berkunjung dan bertukar makanan pada musim perayaan dan hari-hari biasa. Malahan, jiran tetangga di kawasan perumahan kami begitu menjaga sensitiviti dengan mengupah katerer Melayu semata-mata untuk menjamu jiran Melayu pada setiap majlis yang mereka anjurkan.

 

Jiran yang paling rapat dengan keluarga kami adalah Mendiang Uncle Tan. Aku masih ingat lagi main pondok-pondok dan masak-masak setiap petang dengan anak-anak Uncle Tan; Wee Nee dan Wee Peng. Keluarga Uncle Tan sangat baik dan pemurah. Jasa Uncle Tan yang paling besar dan aku kenang sampai bila-bila adalah sewaktu dia bertungkus-lumus membantu kami sekeluarga berpindah ke Kota Tinggi pada tahun 1995 dulu. Dia dengan rela hati menawarkan perkhidmatan lori dan punggah barang tanpa sebarang bayaran pun. Sewaktu rumah jiran sebelah dimasuki pencuri, dia lah orang pertama yang turun dulu, lengkap dengan parang panjang sekali! Sejak Uncle Tan meninggal, anak-anak dia semua berpindah bawak haluan masing-masing. Rumah yang ada sekarang masih kosong tak berpenghuni. Setiap kali lalu depan rumah Uncle Tan, sentiasa teringat senyum ramah dia menegur jiran yang lalu-lalang.

 

Benarlah kata orang, budi baik dikenang sampai mati, kan.

 

Kini, selepas mempunyai keluarga sendiri, aku masih lagi dikelilingi oleh jiran bukan Melayu. Mewarisi ilmu hidup berjiran yang telah diterap sedari kecil, aku cuba mengamalkan tradisi bertukar makanan terutama pada musim perayaan. Mujur, jiran kami semuanya baik sekali. Sewaktu rumah kami dimasuki ular tempoh hari, jiran India sebelah rumah lah yang membantu. Habis anak-beranak dia sekali dikerah untuk tolong tangkap ular tu. Ular tedung, ok. Jangan main-main.

 

Cuma, resmi hidup di kota ni, keluar pagi masih gelap, balik pun lewat petang. Tak sempat nak sembang panjang dengan jiran, sekadar hye hye bye bye lah. Itu bagi yang ringan mulut nak tegur lah, kan. Kot yang jenis suka buat hal sendiri, duduk berkurung dalam rumah sampai jiran dah mati reput kat sebelah rumah pun kau tak peduli, memang tak boleh nak kata apa lah. Baik pindah duduk Planet of The Apes sana.

 

Apapun, point aku di sini, sila buang mind setting yang kita orang Melayu, kena hidup berjiran dengan Melayu je. Bersikap terlalu pesimis dan judgmental terhadap orang lain, tak membawa apa-apa keuntungan pun. Kat mulut bukan main berdegang-degang cakap tak mengamalkan racism, tak pilih bulu, 1 Malaysia konon. puiii. Baru jiran sebelah nyanyi lagu gereja dah menggelabah tuduh diorang nak sebar dakyah Kristian tak tentu hala.  

 

Oleh itu, selagi belum pernah berjiran atau berkawan dengan bukan Bumiputera, jangan buat anggapan yang bukan-bukan. Bersangka baik dan berbaik-baiklah dengan semua lapisan masyarakat. InsyaAllah, walau ke hulu ceruk mana pun kita dicampakkan, kehidupan kita akan dipermudahkan.

 

1_malaysia_concept_2_by_hamzani

 PLEASE, be a TRUE Malaysian.

 

HER : Selamat menyambut Deepavali buat semua sahabat beragama Hindu di Malaysia.

Monday, August 27, 2012

Raya Gaya Cyber.

Alhamdulillah raya kali masih disambut secara sederhana sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Cuma persiapan agak berterabur sikit sebab aku sibuk masuk pertandingan minggu dekat-dekat raya hari tu, Cfu pulak kelam-kabut di tempat kerja baru. Sudahnya, baju raya Cfu dah takde tailor nak ambik. Baju raya aku pulak, tailor kat kampung nun pi buat ikut ukuran masa aku pregnant rupa ikan paus dulu gamaknya. Menggelebeh habis. Sehari sebelum raya, menggagau lah kami anak beranak carik baju raya. Tu yang keluar tema hijau tak sedondon. Jadiklah kan daripada tak ada.

 

Tahun pertama beraya tanpa Embah T_____T

 

Memang agak kekok dan terasa kurang meriahnya, tapi kita selaku generasi penyambung ni lah yang bertanggungjawab untuk memeriahkan suasana raya walaupun orang tua sudah tiada. Biarpun takrifan raya pada era cyber ni dah terlalu banyak berbeza berbanding zaman kanak-kanak aku tahun 90-an dulu.

 

Dulu;

Malam raya mesti duduk satu keluarga depan TV nak dengar pengumuman raya. Masa tu mana ada kira-kira, memang pakai teropong anak bulan je. Elok je umum kata esok raya, masa tu lah Mak Abah makcik pakcik saudara mara semua bertebaran ke dapur nak memasak pungpangpungpang sampai la ke pagi. Lepas tu, mesti bangun sebelum Subuh, beratur ambik giliran nak mandi air kolah. Tak sabar rasanya nak sarung baju raya, kasut raya liplap semua. Lepas solat sunat Aidilfitri, beratur nak bersalaman pulak. Siap semua, habis satu kampung meround dengan sepupu sepapat. Tak kisahlah kenal ke tak orang tu, dah nama pun sekampung, main redah je lah pi beraya. Selagi baju belum lencun dek peluh, poket belum tebal isi kuih dan duit raya, selagi tu tak balik rumah. Takde istilah duduk lepak depan TV ke apa.

 

Anak-anak sekarang;

Memang dah takde rasa nikmat berdebar tunggu pengumuman raya. Dalam kalendar dah tanda siap-siap 1 Syawal jatuh bila, hari apa. Masing-masing dah siap-siap memasak awal, tak kuasa nak terkocoh-kocoh masak malam-malam raya. Pagi raya pun tak payah beratur mandi air kolah, semua stok pakai water heater je. Elok lepas solat sunat Aidilfitri dan bersalaman, masing-masing bawak pinggan makan, duduk depan TV tengok rancangan siaran sempena Hari Raya yang dok tayang cerita hantu pocong tahyul segala dari pagi sampai ke malam. Kan? Owh, tak. Bukak tablet layan Gangnam Kpop, kannnnnnn? Biar lah guruh petir sabung menyabung, saudara mara datang ke, Perdana Menteri lalu depan pun tak perasan. Bo-layan kan saje.

 

Begitulah beza nikmat raya dulu dan sekarang.

 

Sebab tu kebanyakan generasi macam aku akan kata raya sekarang lebih pada anak-anak je. Sebab nikmat raya sebenar buat kami sudah berlalu. Memang terasa rindu jauh di sudut hati, tapi zaman memang terlalu pantas pergi. Yang tinggal cuma memori, amalan menyambut beraya dan adab hidup bermasyarakat yang telah diterapkan dalam diri sedari kecil, dapat diturunkan kepada anak-anak. Tak banyak, sikit pun jadik lah. Aku cukup gerun bila membayangkan 1 Syawal 20-30 tahun akan datang bila anak cucu cicit kita dah tak peduli pasal Hari Raya. Setakat sarung baju baru, makan ketupat, duduk depan TV layan cerita raya. Yang tinggal kita lah orang-orang tua duduk terkenang raya dah tak serupa raya. Sama macam hari-hari biasa.

 

Sedih, kan?

Mintaklah dijauhkan.

 

Dan, seboleh mungkin, aku nak latih anak-anak aku pergi berziarah pada Hari Raya. Biarlah walau kena heret diorang paksa ikut sama. Raya setahun sekali je. Masa ni lah nak menziarahi orang tua, saudara mara yang tak selalu jumpa. Hari-hari nak pergi berziarah semata-mata memang tak dapat lah, kan. Mudah-mudahan aku dan suami terus diberi kekuatan untuk meneruskan tradisi agar ‘roh’ sambutan hari raya yang sebenar sentiasa mekar di hati anak-anak kami nanti.

 

Dari Ali r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

" Apabila seseorang telah menziarahi saudara seislamya, sebenarnya dia telah berjalan-jalan memetik buahan syurga sehinggalah dia duduk. Apabila dia duduk maka rahmat menaunginya. Jika di di waktu pagi maka 70, 000 malaikat berselawat ( berdoa memohon ampun) untuknya sehingga waktu petang. Jika di waktu petang, maka 70,000 berselawat (berdoa memohon ampun) untuknya sehingga waktu pagi "

(HR Ibnu Majah, Abu Dawud)

 

P1060079

Nah, ini lah gambar raya atas sofa yang paling semenggah bagi tahun ini. Jenuh lah mak laki bini nak kejar si atlet kecik yang tengah ligat lompat terjun tiruk mengalahkan Pandalela Rinong (-_-“)

 

family

Kalau Aisyah Rahim punya Fantastic Four, kitorang baru Awesome Threesome dah macam gini rupanya. Tak tahu lah bila dah jadik Fantastic Four nanti camana pulak gayanya. tsk.

 

 

HER : Rindu nak makan sambal goreng Embah. Al Fatihah.

Thursday, May 24, 2012

Baran.

Anger
Aku tengah marah ni, woiii!!!!

Aku akui, aku ni bukanlah tergolong dalam orang yang tahap kesabarannya tinggi melangit. Dijentik sekali, terasa gatal-gatal manja je. Tapi kalau dah banyak kali kena ‘jentik’ kat tempat yang sama, lama-lama boleh bengkak, luka dan bernanah!


Lumrah manusia kot, secara lahiriah ada sifat baran.


Yang membezakan sesama kita adalah bagaimana cara kita mengawal dan mengatasi sifat baran dalam diri kita agar tak memakan diri sendiri. Cara yang aku gunakan cukup mudah :

  1. Diam.
Bunyik nya macam cliche, tapi cara tipikal ni memang sangat berkesan untuk meredakan perasaan marah. Take a timeout, tarik nafas dalam-dalam, kira sampai 10, istighfar. Bukannya apa, kalau kita teruskan bercakap, bertikam lidah dengan orang tengah sama naik minyak dengan kita, dikhuatiri kita akan terlepas cakap sesuatu yang kita akan sesali di kemudian hari. Kan ke orang tua selalu cakap, ‘Kerana mulut, badan binasa’.



2.       Cari ruang untuk diri sendiri.

Macam yang aku istilah kan perkara ni kat Cfu as ‘Me Time’. Cuba keluar dari situasi yang buat kita rasa nak marah tu sebentar. Buat benda lain yang distract kita daripada perasaan marah tadi. Contohnya, kalau makan secara rakus boleh meredakan kemarahan, buat lah. Kalau menjerit atas bangunan boleh melampiaskan rasa baran, pergi sekarang. Aku? Terus memandu ke pusat membeli-belah yang berhampiran. Perkataan SALE yang bergantungan di merata-rata sudah cukup untuk membuatkan aku mengukir senyuman.


3.       Jangan takut untuk meluahkan.


Sebaik saja marah dah reda, luahkan perasaan tak puas hati dan sebagainya kepada orang yang paling kita percayai. Muntahkan segala emosi dan darah menyirap tadi. Sesi ini penting kerana perasaan negatif yang tidak diluahkan adalah umpama toksin yang tersimpan dalam diri. Toksin bila dah terlalu banyak dalam badan, boleh mengundang pelbagai jenis penyakit. Tu yang boleh jadik penyakit iri hati, penyakit hasad dengki, lepas tu mulalah nak main mandrem santau siam segala. Na’uzubillah!


4.        Ingat Tuhan.


Satu lagi tips tipikal yang memang berkesan. Dalam Islam sendiri ada memberi tips-tips untuk mengatasi perasaan marah. Bermakna, setiap manusia hatta yang mempunyai kedudukan seperti orang agama berstatus ustaz, ustazah, tuan guru, alim dan ulama pun punya rasa baran. Sentiasa amalkan Petua Islam dalam Menangani Perasaan Marah. InsyaAllah, berkurang lah sifat syaitonnirrajim yang dok berkubang dalam diri.


5.        Main Angry Bird dari pagi sampai malam sampai lebam-lebam.



angrybirds3
Hah hah, nak marah lah tu? :p

Tak payah nak baran sangat lah. 

Buat rugi je. 

Dapat dosa satu hal, kawan-kawan pun lari bertempiaran. Silap hari bulan, malu sendiri sebab takde siapa nak layan kau punya baran. Lepas tu terhegeh-hegeh mintak kasihan. *nah, ambik kau pantun 4 kerat*

How about you? Apa yang kamu buat bila rasa marah?



HER : Entri ini terhasil dalam keadaan baran kerana berdepan dengan orang yang panas baran dan suka emo tak tentu pasal. Salah satu kaedah untuk aku menyalurkan perasaan marah adalah dengan menulis selain potpetpotpet takde noktah. Mujur lah dikurniakan suami yang mempunyai gegendang telinga tebal dan berhati kebal.

Monday, April 16, 2012

Sedangkan Lidah Lagi Tergigit.

Jam melewati 12 tengah malam.


Terpisat-pisat aku bangkit dari sofa di ruang tamu. Beriya-iya tahan mata semata-mata nak tengok filem dokumentari sempena memperingati 100 tahun karamnya kapal gergasi Titanic; pada tahun 1912 yang lampau. Sebagai peminat dokumentari, tayangan istimewa seumpama ini memang takkan dilepaskan. Biarpun sesekali tersengguk, gigih nya aku nak sudahkan menonton.


Dari bilik kedengaran suara dengkur suami dan anak peliharaan.


Begitu lena dibuai mimpi. Tak hirau sejuk aircond yang menusuk ke tulang dada. Seorang melintang di tengah katil, seorang lagi terlentang kuak lentang. Tinggal sudut kecik beberapa inci muat-muat untuk aku menyelit tidur sekali. Aku pun tarik selimut tebal, balut tubuh seperti kepompong, cium pipi Alfiy kanan dan kiri, sedia untuk melabuhkan tirai mata. Belum pun sempat merebahkan kepala, tiba-tiba suara garau Cfu memecah keheningan malam;


“Kenapa tak kiss goodnight? Dah lama tak buat. Buat kat Alfiy sorang je.”


Dalam keadaan mamai, antara dengar dan tidak, aku menyahut;


“Huh? Ni mengigau ke ape?”


“Tak lah. Orang sedar ni. Dah lama tak kiss goodnight. Orang tiap-tiap malam kiss dua-dua sebelum tidur.” gumam Cfu tak puas hati.


Aku masih terpinga-pinga tak faham macam mana Cfu yang tadinya bukan main galak berdengkur, boleh pulak tiba-tiba meracau pasal goodnight kiss.


*smack*


Goodnite kiss hinggap di pipi sang suami yang merungut tadi.


Bagai tiada apa-apa berlaku, tiga beranak terus lena dibuai mimpi. Lagu dengkur pun kembali bersahut-sahutan. Sang suami tidur sambil tersenyum dan merangkul erat isterinya dalam dakapan cinta.


SFS_0159

Most men, unlike most women, associate love with actions instead of with feelings. When a woman places her children above her husband, her actions say to him that she loves the children more than she loves him. Though not as vocal about it as women, men desire to be deeply loved by their wives. It is difficult for a man to see his wife cherish the children, but treat him in a cool or casual manner.

(The Politically Incorrect Wife: God’s Plan for Marriage Still Works Today -Nancy Cobb & Connie Grigsby)



HER : Peringatan buat kaum isteri.

Friday, December 16, 2011

Harga Tiket Paling Mahal.

Pada yang telah mengikuti Xeatopia sejak dari zaman aku duduk berjauhan dengan Cfu dulu, tentu tahu yang duit gaji kami tiap-tiap bulan dulu habis buat tabur atas langit je. Ingat? Pada yang tak tahu, boleh lah baca entri ni (Baca : Aku Benci Bau Kapal Terbang) dan yang ini (Baca : Sentimental) ada lah serba sikit cerita pasal kehidupan nomad aku masa tu.


P1030756

Setiap kali hantar aku ke airport, adik-adik akan bersuara,

“Asyik hantar Along pergi airport je, bila pulak ntah kite nak merasa naik.”


Dibesarkan dalam keluarga kelas pertengahan, Mak Abah kerja kerajaan, gaji setiap bulan cukup-cukup setakat untuk tanggung perbelanjaan makan pakai dan belajar kami 5 beradik. Pertama kali Mak Abah naik kapal terbang masa diorang pergi menunaikan Haji. Lepas tu, adalah 2-3 kali outstation ke negeri seberang laut. Itupun semua atas tanggungan kerajaan. Abah memang suka bawak kami satu keluarga pergi cuti-cuti Malaysia setiap kali cuti sekolah tapi, pergi melancong naik kapal terbang tak pernah masuk dalam kamus percutian kami.


Pertama kali aku naik kapal terbang?


Mujur aku bergiat aktif sewaktu zaman universiti dulu, merasa jugak lah beberapa kali naik kapal terbang secara percuma. Pertama kali ke Sabah; masuk Pertandingan Debat Diraja Peringkat IPTA seluruh negara. Biarlah tak menang sesen pun, tapi perasaan dapat naik kapal terbang buat kali pertama tu, jakunnya sampai ke hari ni teringat-ingat :p


Bila dah masuk alam kerjaya, ikut jejak langkah Mak Abah kerja kerajaan jugak, pergi terbang ke mana-mana pun guna geran. Semua kerajaan bayar. Alhamdulillah. Banyak betul aku terhutang budi dan wang dengan kerajaan. Namun, bila terpaksa berjauhan dengan Cfu, nak tak nak terpaksa laburkan duit sendiri untuk ‘beli’ masa berkualiti bersama suami. Mujurlah ada tiket kapal terbang tambang murah. Setiap kali keluar promosi tiket murah, siap-siap dah beli untuk setiap hujung minggu bagi 1-2 bulan terus. Kalau tiba-tiba kena kerja hujung minggu, terpaksa pasrah 'lebur'kan tiket macam tu je.


P1030768

Syukur, salah satu azam tahun 2011 telah termakbul.

Aku berjaya bawak semua 5 beradik naik kapal terbang buat pertama kalinya termasuk Mak Abah dengan tiket berharga RM 5 sahaja. Tak percaya?


P1030919

Nah, bukti.

RM 200 pergi balik KL-Terengganu untuk 8 orang. Siapa nak bagi?


Hampir setahun kot tunggu nak sampai ke hari kejadian. Adik-adik aku sikit punya eksaited sampaikan dari awal tahun dah mark siap-siap kat dalam kalendar. Si bongsu tu tak payah cakap lah. 24 jam dok ulang tanya soalan yang sama je, “Bila nak naik kapal?” heh.


Sebagai permulaan, pergi Terengganu pun jadik lah.


Selain dapat bawak adik-adik naik kapal terbang, dapat jugak ziarah Mak Ayah mertua. Lagi berkat, gitu. Tak kisahlah ke destinasi mana pun. Yang penting, hasrat nak bawak adik-adik naik kapal terbang, telah tercapai.


Mungkin pada sesetengah orang, apalah sangat naik kapal terbang. Tambang murah pulak tu. Tak payah tunggu gaji hujung bulan pun boleh. Tapi, bagi orang kebanyakan macam aku, ia salah satu pencapaian terbesar dalam hidup. Berupaya menunaikan impian dan harapan adik-adik dengan duit hasil titik peluh sendiri adalah satu kepuasan yang tidak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. Tuhan saja yang tahu.


ganugateway

Dan, melihat wajah-wajah kesayangan aku gembira adalah priceless.


Biarpun harga tiket murah.

Namun, pulangan yang aku dapat cukup ‘mahal’

:)



** SPECIAL NOTES **

Pada sesiapa yang dah lama tak naik Air Asia ataupun memang tak pernah merasa naik lagi, polisi baru diorang sekarang ialah SILA PRINT OUT SENDIRI BOARDING PASS ANDA. Kalau pergi check in kat kaunter, diorang tolong print boarding pass, automatik kena charge RM 10 satu kepala. Nasihat aku, siap-siaplah buat web check in dan print bording pass sendiri. Dengan syarat, takde luggage lah. Lebih mudah. Tak payah beratur panjang-panjang kat kaunter check in. Terus je pergi kat pintu masuk ke boarding gate. Tapi, kalau ada beg untuk masuk kargo, terpaksa jugak lah beratur kat kaunter tu walaupun dah buat web check in. hurmmmphhh.

Thursday, November 24, 2011

My Breastfeeding Story.

Setelah berkali-kali cuba bertahan, aku tewas jua akhirnya.


23112011337

Tanggal 11.11.11.

Secara rasminya, aku dah berhenti mengepam susu untuk Alfiy :(


Inipun bukan disengajakan. Semua gara-gara kecuaian diri sendiri yang tersilap letak breast shields entah kat mana. Ghaib tak dapat dikesan. Mula-mula berhenti mengepam, memang engorged. Sakitnya, Tuhan saja yang tahu.


Sedih? Of course!

Mak mana yang tak sedih bila tak dapat beri yang terbaik untuk anak.


Bila dikenang kembali, aku pernah beritahu dulu yang aku mahu menyusukan Alfiy secara ekslusif selama 6 bulan, dan kalau dapat buat hingga dia berusia 2 tahun, dianggap sebagai bonus. Jadi, aku andaikan tiada bonus untuk aku kali ni (-_-")


Siapa kata menyusukan anak tu perkara mudah?


Biarpun pada mulanya timbul jugak rasa susah, penat dan putus asa, aku gagahkan jua demi memberikan hanya yang terbaik. Ia memerlukan semangat kental, motivasi tinggi, mentaliti positif dan paling utama adalah galakan daripada orang sekeliling. Setakat kata-kata seperti, ‘tak cukup susu’, ‘anak lapar’, ‘susu badan tak cukup khasiat’, ‘leceh’, ‘anak susu ibu kurus’ dan pelbagai kata-kata bisa yang meracun semangat sudah cukup lali buat aku.


Mula-mula masuk kerja lepas berpantang, terpaksa berdepan dengan masalah nak mengepam di pejabat yang tak mesra breastfeeding. Merasalah mengepam dalam stor, kat celah-celah partition dan sebagainya. Dapat curik-curik mengepam kat surau 3 jam sekali pun dah dikira sangat bertuah. Itu belum cerita tentang kepayahan nak mengepam dan menyusukan bila terpaksa kerja out station. Bukan semua orang faham tentang komitmen seorang ibu yang menyusukan. Kalau kena sekitar Lembah Klang, takde masalah. Aku sanggup berulang-alik. Tapi, kalau kena jauh, nak tak nak, terpaksa tinggal anak, bekalkan dengan hasil susu perahan, kemudian usung lah pam susu ke hulu ke hilir untuk menggantikan stok susu perahan, tanpa kenal erti jemu.


Sewaktu menyusukan secara ekslusif selama 6 bulan, aku perlu bawa pulang sekurang-kurangnya bekalan susu perahan sebanyak 24 oz sehari. Semakin hari, usia Alfiy kian meningkat, kuantiti susu hasil perahan macam tak mencukupi. Faktor single pump pun memainkan peranan. Sekali pam, dalam tempoh 20 minit, dapatlah 5 oz each. Nak cukupkan 24 oz, aku kena pam 4-5 kali sehari. Terkejar-kejar aku dibuatnya. Itu belum masuk stok susu yang perlu disimpan. Perasaan cemas setiap kali tengok susu perahan tidak mencukupi, tidak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. Silap haribulan, boleh menitis air mata!


Lumrah menjadi manusia yang tak tahan dugaan dan susah-payah, hampir setiap hari aku mengeluh. Ada hari, timbul perasaan leceh melampau nak usung beg pam dan segala macam aksesorinya tu. Ditambah dengan rasa penat nak mengepam banyak kali setiap hari. Mujurlah Cfu memahami. Dia seboleh mungkin cuba bantu meringankan ‘bebanan’ yang aku tanggung dengan kata-kata semangat dan tak kurang juga dengan membelikan gadjet penyusuan tercanggih dan terbaik di pasaran, walaupun diri sendiri hampir bankrap :p


Maka, dengan pertolongan Medela FS, aku bangkit kembali. Lepaslah nak dapatkan 20 oz sehari dengan dua kali sesi mengepam dalam masa 20 minit. Praktikal bukan? Stok susu perahan pun kembali meriah. Kalau dah tak dan sangat pun, aku selamba mengepam sambil memandu. Dengan syarat, nak kena duduk lane paling kiri lah.


Tidak keterlaluan kalau aku katakan pam susu yang baik dan sesuai sangat menyumbang terhadap penyusuan yang berjaya. Ikut pengalaman sendiri, penggunaan pam manual dan pam bateri telah menjatuhkan motivasi untuk menyusukan hingga ke tahap 50%! Alasan seperti cepat penat, lambat, tak berapa selesa, suction sakit sampaikan boleh cracked dan berdarah, sakit belakang, tengkuk dan sebagainya berupaya menjadi pembunuh semangat mengepam secara senyap. Bila dah jadik kes macam ni, macam mana nak tingkatkan motivasi untuk terus mengepam dan menyusukan, kan? Memang cepat je rasa putus asa tu datang nak merasuk diri.

Usaha menyusukan dan mengepam ni diteruskan lagi hinggalah sampai ke satu tahap, aku dapat rasakan kuantiti hasil perahan merudum secara tiba-tiba. Rupa-rupanya, ketika itu aku tak sedar sedang hamil kali kedua. Perubahan hormon juga menyebabkan proses menyusukan bertukar menjadi satu pengalaman yang cukup menyakitkan. Sakit belakang pun makin menjadi-jadi. Namun, aku tidak endahkan semua rasa sakit demi Alfiy.


Apabila mengalami keguguran, aturan hormon kembali berubah. Kuantiti susu pun bertambah. Masih ada rezeki Alfiy untuk menyusu badan tanpa bantuan susu formula dengan lebih lama. Walaubagaimanapun, sejak dijangkiti HFMD tempoh hari, Alfiy dah mula menolak minum susu perahan. Dia lebih sukakan yang segar dari ‘ladang’. Berbotol-botol stok susu perahan terbuang macam tu je. Semangat aku pun mula luntur sedikit demi sedikit, sehinggalah berlakunya kejadian pada tarikh keramat 11.11.11 seperti yang aku nyatakan di awal cerita tadi.


Hari ini, usia Alfiy dah mencecah 1 tahun 3 bulan.


Sepanjang berada di nurseri, dia dibekalkan dengan susu formula. Biarpun begitu, seboleh mungkin, aku masih lagi berusaha breastfeed secara terus selepas pulang dari kerja, waktu malam dan hari-hari cuti di mana aku berpeluang untuk sentiasa berada di samping Alfiy. Mudah-mudahan Tuhan masih sudi melimpahkan rezeki-Nya sehinggalah Alfiy berusia 2 tahun nanti.


Tak dinafikan, ada kalanya terasa ingin mengalah, cepat-cepat aku kuatkan semangat. Cuba pujuk diri supaya lebih bersyukur kerana diberi rezeki untuk menyusukan anak sendiri selama mungkin yang diizinkan oleh-Nya kerana masih ramai lagi ibu di luar sana tidak berkesempatan melakukan perkara yang sama.


Buat ibu yang masih gigih mengepam dan menyusukan, tahniah dan teruskan usaha murni kalian. Sesungguhnya, setiap kebaikan memerlukan pengorbanan. Kepada yang sudah mencuba tetapi masih tidak berjaya, jangan putus asa. Berhenti menyalahkan diri. InsyaAllah akan ada rezeki di lain kali. Manakala bagi yang sedang merencana, usaha sehabis baik, takkan berubah nasib seseorang kalau dia sendiri tidak berusaha mahu merubahnya. Kita tahu di mana tahap kemampuan diri kita sendiri, kan? Tolaklah sejauh mana dan julanglah hingga petala langit ketujuh pun, kalau diri kita sendiri dah tentukan “That is it!”, maka di situ lah noktah nya.


Yang penting, nawaitu, ikhtiar dan selebihnya kita berserah.


Dan, kisah ini diceritakan bukan untuk meninggi diri, jauh sekali buat bermegah. Sekadar berkongsi pengalaman sekangkang kera yang ada, agar yang baik dapat dijadikan tauladan serta panduan, yang buruk pula dijadikan sebagai iktibar dan sempadan.


Picture-3-1024x529

My breastfeeding story in 100 words.

:)



HER : Selalu percaya pada peluang kedua.

Monday, October 24, 2011

Sensitiviti.

“Adoi sakit gila kaki aku. Tak pasal-pasal hari ni jadik OKU.”


Kenyataan seorang pelajar sewaktu dalam kelas kelmarin betul-betul buat aku tersentap, aku cuba kawal diri tapi perasaan aku tetap tersentuh. Aku tahu, dia sekadar bergurau dengan kawan-kawannya ekoran kaki terseliuh jatuh motor hari sebelumnya. Terkengkang-kengkang gigih menapak datang ke kelas.


Mempunyai ahli keluarga yang dikategorikan sebagai OKU, aku akui memang cukup sensitif dengan gelaran tu. Biarpun orang tak tahu, hati aku cukup terguris apabila orang mempermainkan gelaran OKU dengan sewenang-wenangnya. Seolah-olah, ia satu gelaran yang boleh dijadikan bahan gurauan. Sama macam situasi di atas.


Sebenarnya, aku lebih suka menggelar Adik sebagai insan istimewa (Baca : Si Bongsu Kesayangan) Kalau memperkenalkan Adik dengan sesiapa, aku akan cakap “Adik aku ni special.” Orang pun akan mengangguk-angguk faham, biarpun sebelum tu dahi masing-masing berkerut tengok bentuk fizikal dan kelakuan Adik seperti tidak menggambarkan usianya yang sebenar.


Pernah jugak ada orang gelar Adik sebagai mentally retarded atau terencat akal. Paling dasyat, ada yang cakap Adik gila! Hati aku pecah berkaca-kaca. Bayangkan pulak perasaan Mak aku macam mana. Orang tu cakap kat depan-depan dia. Sedangkan kita, orang komplen anak kita begitu begini, kita dah naik darah, inikan pulak yang selamba cakap ‘anak istimewa’ kita sebagai gila.


Being a mother myself, kini aku lebih faham apa yang Mak aku rasa. Malahan, lebih sensitif kot. Jiwa Mak mungkin dah kebal, dah biasa dengan pandangan sinis dan kata-kata pedas selama 17 tahun dia membesarkan Adik. Dia sentiasa tersenyum bangga mempunyai seorang anak istimewa seperti Adik. Betapa hebatnya kuasa kasih sayang seorang ibu, kan.


Bukan mudah untuk buatkan orang faham apa yang kita rasa.


Jadi, aku mohon, pada kamu yang tidak pernah mengalami perasaan sebegini kerana takde anak atau adik atau ahli keluarga terdekat yang tergolong dalam kategori OKU, tolonglah faham. Aku cuma mintak secebis belas ehsan agar kamu jadik lebih prihatin terhadap perasaan orang sebegini. Hati-hati apabila berkata-kata. Lebih-lebih lagi tentang perkara berkaitan golongan istimewa dan gelaran mereka.


Cuba tempatkan diri kamu di mana seorang ibu yang mempunyai anak istimewa berada. Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan. Bermula dengan penerimaan masyarakat serta masa hadapan anak istimewa yang dimilikinya. Tak ada ruginya kalau dipinjamkan kata-kata manis buat pembakar semangat agar mereka tak putus harapan.


speech-impairment_01

Jangan dilukai perasaan kami lagi.



HER : Luar nampak kental tapi jiwa serapuh kaca.

Thursday, August 11, 2011

La Tahzan!

Sebagai manusia biasa yang lemah dan kekurangan serba-serbi, aku tak dapat lari daripada menyalahkan diri atas tiap kejadian yang menimpa diri. Menuduh pelbagai faktor sebagai penyebab kepada kes keguguran tempoh hari.


Aku salahkan diri yang tak prihatin dengan perubahan diri, tak perasan diri dah hamil, pergi berurut satu badan siap sengkak perut sekali. Lepas tu, teguk sebotol besar air Coca-Cola. Makan berkeping-keping Hawaiian pizza yang bertaburan dengan buah nenas. Berjalan jauh, pergi-balik Terengganu naik kapal terbang. Tak boleh tahan diri dengan godaan air tebu segar di pasar Ramadhan. Semuanya aku tuduh sebagai punca. Biarpun tiada bukti sahih yang mengiyakan.


Seboleh-bolehnya aku mahukan jawapan pasti.

Kenapa ia boleh terjadi?


Hakikatnya, sehingga ke hari ini, masih tiada bukti saintifik dan dari sudut perubatan yang menyatakan aktiviti fizikal mahupun faktor pemakanan boleh mengakibatkan keguguran. Majoriti kes yang berlaku sebelum usia kandungan mencecah 20 minggu adalah disebabkan oleh ketidaknormalan genetik (Artikel : Mengapa Saya Gugur?)


Kenyataan seorang doktor bahawa wanita yang mengalami keguguran di awal kehamilan tidak perlu sedih terhadap musibah yang berlaku, kerana ia boleh jadi sebuah rahmat. Seolah-olah telah memberi jawapan yang aku mahukan (Artikel : Pendarahan Ketika Baru Hamil)


Jawapan paling relevan; datangnya dari Tuhan Maha Pencipta. Sekali DIA bersabda kun faya kun, maka jadilah! Bukan bermaksud untuk menyalahkan takdir, tetapi kalau dah itu yang termaktub di Luh Mahfuz sedari awalnya, aku redha.


Sebab tu, sebaik je disorong masuk ke ruang pembedahan untuk menjalani prosedur D&C, aku dah tanam niat untuk berhenti bersedih bila keluar nanti. Aku nekad meninggalkan segala sisa kesedihan yang ada di bilik pembedahan itu. Sebelum di 'tidur'kan sementara, aku sempat mengusap perut, ucapkan selamat tinggal kepada 'anak' yang sudi singgah sebentar dalam rahim aku. Terima kasih Tuhan untuk nikmat itu. Dah cukup rasanya aku bagi ruang pada diri sendiri untuk bersedih, menangis dan menyalahkan diri. Aku mahu sedar dari bius pembedahan dengan wajah yang tersenyum, hati yang ceria seperti sediakala.


Inilah kehidupan.

Jalannya begitu sukar dan membebankan, namun ia perlu diteruskan.


Aku tahu, Cfu dan ahli keluarga yang lain pun turut bersedih. Lebih-lebih lagi Cfu. Dia lah orang yang paling gembira sampaikan kalau boleh, semua orang pun dia nak beritahu. Tiba-tiba pandai update status Facebook dia yang jarang berusik, semata-mata nak khabarkan berita gembira tu. Tapi, bila jadi begini, dia terpaksa sembunyikan kesedihan dan menjadi kuat untuk aku; isterinya. Oleh itu, aku perlu gembira untuk Cfu juga. Untuk Alfiy. Dan, untuk keluarga serta orang-orang lain di sekeliling yang sentiasa ada di sisi, tatkala masa suka mahupun duka.


Pada kamu yang sedang bersedih, menangislah sepuas-puas hati sekiranya itu yang mampu membuatkan kamu rasa lega. Luahkan semuanya. Pedulikan orang kata apa. Kemudian, bangkit semula. Masih ada terlalu banyak perkara lain untuk kamu raikan pula.


images

"Carilah hikmah dalam setiap ketentuanNya, supaya timbul rasa kesabaran dan kesyukuran, setiap yang payah itu pasti ada kesenangan, setiap kesabaran itu pasti ada ganjaran. Jika sesuatu itu ditakdirkan untuk kita, tiada siapa yang boleh beri halangan, namun jika sesuatu itu bukan ditakdirkan untuk kita, pasti takkan kita dapat walaupun sudah dalam genggaman."

(La Tahzan ; DR. AIDH AL-QARNI, 2004)



HER : Sekali lagi kena berpantang dalam bulan Ramadhan. Makin bertimbunlah hutang puasa yang perlu diganti.

Tuesday, July 19, 2011

Di Sebalik Tirai Besi.

Baru boleh bernafas semula.

Setelah sekian lama hampir lemas bergelumang dengan bebanan kerja.


Penjara2dalam


Selama aku menghilang, aku diarahkan untuk menunaikan tanggungjawab kepada komuniti. Dah nama pun bekerja untuk komuniti, kan. Kali ni, aku berpeluang untuk mengintai kehidupan komuniti di sebalik tirai besi. Mencurah ilmu dan berbakti kepada insan bergelar banduan pula.


Penjara.

Dengan hanya mendengar, sudah menggerunkan.

Apatah lagi bila melangkah kaki masuk ke dalam sana.


Hari pertama, aku tak banyak bercakap dengan mereka. Hatta nak pandang muka pun, aku tak berani, ini kan pula nak berborak panjang. Ye lah kan, beribu orang ada dalam tu, dengan beribu jenis kesalahan. Yang memeras ugut, pecah amanah, mencuri, mendera, mengedar dadah, malahan yang membunuh pun ada.


Siapa tak cuak, kan?


Masuk hari kedua dan seterusnya, aku mula bertegur sapa. Itupun dengan penuh waspada. Mula-mula tanya nama, berlanjutan pada kisah keluarga, kemudian tanpa diminta, mereka sendiri yang akan bukak cerita macam mana kehidupan mereka boleh berakhir di penjara. Satu-satu cerita aku dengar dan hayati dengan perasaan bercampur-baur. Ada rasa sebak, simpati, kasihan, insaf, tak percaya dan macam nak marah pun ada.


Agak memeranjatkan, rata-ratanya, datang dari golongan berpendidikan.


Ada peguam, setiausaha, pegawai kerajaan, pramugari, model, bangsawan, akauntan, dan sebagainya. Gara-gara terlalu leka dan terpedaya dengan godaan duniawi, telah mengheret mereka hidup bertahun-tahun dalam penjara. Siap ada yang bersalin kat situ. Sayu hati tengok anak-anak kecil lingkungan usia macam Alfiy bermain-main dalam kawasan penjara sambil diawasi oleh beberapa orang warden. Apalah yang anak-anak tu tahu, pada ketika usia sebegitu, kan.


Pendek kata, sepanjang tempoh aku berada di sana betul-betul menginsafkan.


Cukup untuk membuatkan aku sangat menghargai akan erti kebebasan sebenar. Bayangkanlah, baru beberapa hari tak dapat berhubung dengan dunia luar, nak ke sana-sini diekori, sentiasa diperhati setiap masa, aku dah rasa bagai nak gila. Inikan pulak mereka yang perlu menghabiskan bertahun-tahun, malahan ada yang seumur hidupnya di dalam sana.


Na’uzubillah.


Hati-hati dalam setiap percaturan kehidupan.

Semoga Allah sentiasa melindungi kita dalam lindungan kasih-sayang-Nya.



HER : Setiap kali rasa susah, ingatlah masih ada yang lagi susah daripada kita.

Wednesday, June 15, 2011

Cinta Manis.

Seorang kawan yang masih lagi dalam pencarian mencari teman sehidup semati pernah bertanya,


“Macam mana nak tahu yang he’s the right one?”


Makan masa jugak aku nak menjawab soalan cepu emas ni.


Sebelum bertemu Cfu, aku telah dipertemukan dengan beberapa orang lain dulu. Tapi, aku tak pernah labelkan orang-orang ni sebagai ‘not the right one’. Cuma, kami tak punya jodoh untuk bersama. Kalau sesetengah orang mungkin akan sebut cinta sebelum bertemu cinta sejati sebagai cinta monyet, aku lebih gemar ia berbunyi cinta manis. Manis, sebab banyak mengajar aku tentang hakikat pencarian erti cinta sebenar.


Definisi cinta terlalu luas.

Hanya empunya diri yang mengalami tu yang lebih tahu.


Apabila rasa cinta akan setiap baik buruk dia. Apabila berborak, tak pernah ketandusan topik, ada je modal nak dijadikkan cerita tanpa rasa kekok. Apabila boleh berkongsi rahsia dan meluah perasaan marah, sedih, geram, sangap dan sebagainya hingga rasa lega. Apabila dia dapat meneka apa yang kita rasa terlebih dahulu sebelum sempat kita menyatakannya. Apabila dia menjaga hati kita umpama nyawa, hormati orang tua dan terima diri kita seadanya.


Paling penting, rasa selesa dan berupaya untuk jadi diri sendiri tanpa perlu cover ayu sopan-santun melebih-lebih. Tika itu, boleh dikatakan yang kamu telah bertemu dengan Mr. Right yang ditunggu-tunggu selama ni.


Rupa?


Asal sedap mata kita memandang, cukuplah. Nak tatap hari-hari kot nanti. Paras rupa, tak dibawak ke mati. Yang utamanya, agama dan hati budi. Harta pun nak kena ada. Kalau tak berharta langsung, macam mana nak melayari alam rumahtangga di zaman siber ni yang semuanya perlukan duit, tak gitu?


Kalau dah jumpa, jangan tunggu lama-lama.

Nak tunggu yang romantik macam Seth Tan, membujang lah sampai ke tua.


Trust your instincts.


14032011264

& this is my very own version of Seth Tan.

Instead dozens of flowers, I’ll opt for dozens of money from him. heh.



HER : Eh, baru perasan yang aku tak pernah buat pun entri kisah cinta aku dan Cfu. Macam lah ada orang kisah, kan :D

Monday, May 23, 2011

Kisah Sekeping Not Merah.

images
Suatu petang di sebuah restoran makanan segera.


Ketika aku sekeluarga sedang menikmati hidangan masing-masing, datang seorang budak lelaki berusia lingkungan belasan tahun lengkap bersongkok, baju kolar berbutang sampai atas, menghampiri pasangan yang duduk betul-betul di sebelah meja kami.


Hasil pemerhatian gerak-geri dan curik-curik dengar, tahu lah yang budak lelaki tu datang dari meja ke meja untuk mintak derma. Pasangan di meja sebelah kami sekadar pandang sebelah mata, sambil berpura-pura khusyuk makan tanpa mempedulikan kehadiran budak lelaki tadi.


Seminit.

Dua minit.

Tiga minit.


Ada lah dekat lima minit kot budak lelaki tu tercongok berdiri mengharap sebarang respon daripada pasangan tersebut. Tapi, hampa. Lalu, dengan wajah kecewa, dia pun angkat kaki menghala ke meja kami tiga beranak pula.

“Bang, mohon sumbangan ikhlas untuk sekolah agama kebajikan.”

“Ada surat tak, Dik?”, tanya Cfu.


Budak lelaki tu menghulur sehelai kertas yang menyatakan permit untuk memohon sumbangan orang ramai. Cfu baca sekali lalu sebelum mengeluarkan sekeping not merah dan beri pada budak lelaki tu.


“Nah, ambik ni untuk awak buat belanja. Abang bagi ikhlas. Tak payah tulis resit. Dah makan belum? Duit ni, untuk awak makan, ya.”

“Terima kasih, Bang. Semoga Abang sekeluarga sentiasa dimurahkan rezeki”,

Sambut budak lelaki tu dengan nada ceria dan terus berlalu keluar dari restoran makanan segera tersebut tanpa menoleh ke belakang lagi. Terpancar rasa gembira daripada riak wajahnya yang jernih.

Elok je budak lelaki tu pergi, aku pun bertanya kenapa Cfu bagi budak tu duit yang agak besar amaun nya. Tak takut kena tipu ke? Kot dibuatnya budak tu saja-saja tipu mintak derma, kan dah rugi. Sedap je dia pergi berjoli dengan duit kita bagi.


Cfu jawab dengan bersahaja,


“Kesian tengok dia terkulat-kulat kat meja sebelah tadi sambil perhatikan kita makan sedap-sedap. Kalau kita mampu makan makanan segera hampir setiap hari, yang harganya boleh mencecah puluhan ringgit, apalah sangat sepuluh ringgit yang kita bagi kat budak tu tadi. Setahun sekali pun belum tentu dia boleh merasa apa yang kita tengah makan ni.”


Dan, kenyataan Cfu yang seterusnya berjaya mengubah mentaliti aku serta-merta.


“Kalau kena tipu pun, takde nya duit sepuluh ringgit tu boleh buat kita jadik kaya-raya, mahupun jatuh miskin.”


Terdiam, sambil mengangguk tanda setuju.



HER : Takziah buat mangsa tragedi tanah runtuh Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat. Al-Fatihah.

Wednesday, May 18, 2011

Kosa Kata.

Setiap kali masuk pertengahan dan hujung tahun, aku akan menjadi lebih sibuk daripada biasa secara tiba-tiba. Masa ni lah semua tenaga pengajar seperti aku akan menjadi orang paling popular dalam dunia. Menderu-deru pelajar keluar masuk bilik, berderet-deret atur temujanji mahu berjumpa, berlambak-lambak tugasan 'last minute' pelajar yang masih belum bertanda.


Musim peperiksaan.

Semua orang pun gerun, kan.


Dalam pada kelam-kabut mengemaskini rekod kehadiran dan markah pencapaian pelajar sepanjang semester, datang 2-3 orang pelajar yang cuba untuk ‘menyelamatkan diri’ selepas nama masing-masing ditahan daripada masuk ke dewan peperiksaan sebab jumlah kehadiran kurang daripada peratus piawai yang dibenarkan.


“Puan, saya ada ‘Mintak Cuti’. Tolong lah lepaskan saya masuk exam.”


Sambil menghulurkan Sijil Cuti Sakit (Medical Certificate) yang sudah renyuk.


“Awak ada apa?”


Aku bertanya semula untuk kepastian.


“Ni hah, saya ada MC. 'Mintak Cuti'."


Aku tergamam.


Sambil mengurut dada dan menghela nafas paling panjang (-_-)


IMG_5515

Gambar selingan : Sewaktu menjadi MC (sometimes spelled 'emcee')

Akronim bagi Master of Ceremonies.


...


Selamat Hari Guru buat para pendidik seluruh dunia.

Jangan pernah lelah menabur bakti, kelak akan dikenang sampai mati.



HER : Kurang gemar apabila penggunaan perkataan singkatan, bahasa SMS, bahasa pasar dan dialog mat rempit semakin bermaharajalela pada era zaman siber ini. Cintai bahasa kita, bahasa jiwa bangsa.

Thursday, May 5, 2011

Segalanya Di hujung Jari.

Sekembalinya aku dari seminar ICT tempoh hari, cukup menyedarkan betapa ilmu dan pengetahuan yang aku ada pasal internet masih terlalu cetek. Biarpun bergelumang dengan internet hampir setiap hari, masih terlalu banyak perkara yang aku tidak tahu rupanya. Salah satunya, baru tahu akan kewujudan pelbagai aplikasi GoogleApps yang boleh memudahkan kerja saban hari.


Dan, topik ini aku bukak bukan untuk menyenaraikan perisian yang boleh dimuaturun secara percuma dari internet. Tapi, lebih kepada tahap kesedaran kita semua atas peri pentingnya memanfaatkan kemudahan internet pada tahap paling optimum.


Mempunyai blog serta akaun Facebook, Twitter, Tumblr yang sentiasa dikemaskini selang satu hari, jam, minit dan saat tak menunjukkan yang kamu betul-betul seorang ‘internet savvy’.


Disebabkan terlalu leka dengan program laman sosial semacam ni, terlalu banyak perkara lain yang kita terlepas pandang sebenarnya. Tanpa sedar, kita sendiri telah mengehadkan penggunaan internet sekadar untuk itu. Sedangkan, terlalu banyak kemudahan lain yang boleh kita aplikasikan dalam kehidupan harian.


Contohnya, masih ramai di luar sana yang tidak percayakan teknologi perbankan internet. Aku bukan cakap pasal golongan mak bapak kita. Diorang memang takkan percaya pada kuasa internet. Tapi, aku tujukan pada golongan yang membesar dalam persekitaran internet boleh dicapai di merata-rata. Gigih beratur di pejabat pos semata-mata mahu jelaskan bil, bayar hutang PTPTN dan tambah nilai saham ASB. Sengaja ambil peluang untuk keluar waktu masa bekerja sampai berjam-jam, sedangkan ia boleh selesai tak sampai satu minit pun menggunakan khidmat internet.


Paling tak boleh diterima akal, 24 jam punya talian internet jalur lebar, penuh bangga usung smartphone ke hulu ke hilir, tapi tak reti guna aplikasi carian Google. Bagi yang tak tahu, Google adalah antara enjin carian terbesar, terpantas serta memiliki katalog web paling relevan. Tak percaya? Pergi Google sekarang.


Jujurnya, hampir 70% sumber maklumat aku datang dari internet.


Taip hatta satu perkataan semudah ‘makan’, maka berlambak keluar hasil carian yang merangkumi senarai resipi, restoran, jalan-jalan carik makan dan sebagainya. Alangkah mudah!


Namun begitu, setiap perkara pro tentu datang sekali bersama kontra nya.


Lambakan maklumat kadang-kala boleh buatkan kita jadik lemas. Tu belum dicampur dengan maklumat tak relevan dan berunsur negatif. Pernah sekali aku taip ‘encyclopaedia’, sekali dengan Kamasutra pun keluar kat hasil carian. Mujurlah aku tau apa tu Kamasutra. Kot yang jumpa tu budak bawah umur ke kan, tak ke naya?


Pokok pangkalnya, berbalik pada budi bicara kita sendiri.


Tuhan jadikkan manusia berakal untuk digunakan secara bijak, bukan untuk dimanipulasi oleh unsur luar, lebih-lebih lagi oleh hasil ciptaan manusia sendiri.


Guna internet secara berhemah.

Segalanya ada di hujung jari anda.


Aku sudahi entri dengan sebuah video berkualiti rendah.

Sila jangan tiru aksi ini di rumah :p





HER : Setiap hari Google istilah baru untuk tambah info peribadi.