Monday, August 27, 2012

Raya Gaya Cyber.

Alhamdulillah raya kali masih disambut secara sederhana sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Cuma persiapan agak berterabur sikit sebab aku sibuk masuk pertandingan minggu dekat-dekat raya hari tu, Cfu pulak kelam-kabut di tempat kerja baru. Sudahnya, baju raya Cfu dah takde tailor nak ambik. Baju raya aku pulak, tailor kat kampung nun pi buat ikut ukuran masa aku pregnant rupa ikan paus dulu gamaknya. Menggelebeh habis. Sehari sebelum raya, menggagau lah kami anak beranak carik baju raya. Tu yang keluar tema hijau tak sedondon. Jadiklah kan daripada tak ada.

 

Tahun pertama beraya tanpa Embah T_____T

 

Memang agak kekok dan terasa kurang meriahnya, tapi kita selaku generasi penyambung ni lah yang bertanggungjawab untuk memeriahkan suasana raya walaupun orang tua sudah tiada. Biarpun takrifan raya pada era cyber ni dah terlalu banyak berbeza berbanding zaman kanak-kanak aku tahun 90-an dulu.

 

Dulu;

Malam raya mesti duduk satu keluarga depan TV nak dengar pengumuman raya. Masa tu mana ada kira-kira, memang pakai teropong anak bulan je. Elok je umum kata esok raya, masa tu lah Mak Abah makcik pakcik saudara mara semua bertebaran ke dapur nak memasak pungpangpungpang sampai la ke pagi. Lepas tu, mesti bangun sebelum Subuh, beratur ambik giliran nak mandi air kolah. Tak sabar rasanya nak sarung baju raya, kasut raya liplap semua. Lepas solat sunat Aidilfitri, beratur nak bersalaman pulak. Siap semua, habis satu kampung meround dengan sepupu sepapat. Tak kisahlah kenal ke tak orang tu, dah nama pun sekampung, main redah je lah pi beraya. Selagi baju belum lencun dek peluh, poket belum tebal isi kuih dan duit raya, selagi tu tak balik rumah. Takde istilah duduk lepak depan TV ke apa.

 

Anak-anak sekarang;

Memang dah takde rasa nikmat berdebar tunggu pengumuman raya. Dalam kalendar dah tanda siap-siap 1 Syawal jatuh bila, hari apa. Masing-masing dah siap-siap memasak awal, tak kuasa nak terkocoh-kocoh masak malam-malam raya. Pagi raya pun tak payah beratur mandi air kolah, semua stok pakai water heater je. Elok lepas solat sunat Aidilfitri dan bersalaman, masing-masing bawak pinggan makan, duduk depan TV tengok rancangan siaran sempena Hari Raya yang dok tayang cerita hantu pocong tahyul segala dari pagi sampai ke malam. Kan? Owh, tak. Bukak tablet layan Gangnam Kpop, kannnnnnn? Biar lah guruh petir sabung menyabung, saudara mara datang ke, Perdana Menteri lalu depan pun tak perasan. Bo-layan kan saje.

 

Begitulah beza nikmat raya dulu dan sekarang.

 

Sebab tu kebanyakan generasi macam aku akan kata raya sekarang lebih pada anak-anak je. Sebab nikmat raya sebenar buat kami sudah berlalu. Memang terasa rindu jauh di sudut hati, tapi zaman memang terlalu pantas pergi. Yang tinggal cuma memori, amalan menyambut beraya dan adab hidup bermasyarakat yang telah diterapkan dalam diri sedari kecil, dapat diturunkan kepada anak-anak. Tak banyak, sikit pun jadik lah. Aku cukup gerun bila membayangkan 1 Syawal 20-30 tahun akan datang bila anak cucu cicit kita dah tak peduli pasal Hari Raya. Setakat sarung baju baru, makan ketupat, duduk depan TV layan cerita raya. Yang tinggal kita lah orang-orang tua duduk terkenang raya dah tak serupa raya. Sama macam hari-hari biasa.

 

Sedih, kan?

Mintaklah dijauhkan.

 

Dan, seboleh mungkin, aku nak latih anak-anak aku pergi berziarah pada Hari Raya. Biarlah walau kena heret diorang paksa ikut sama. Raya setahun sekali je. Masa ni lah nak menziarahi orang tua, saudara mara yang tak selalu jumpa. Hari-hari nak pergi berziarah semata-mata memang tak dapat lah, kan. Mudah-mudahan aku dan suami terus diberi kekuatan untuk meneruskan tradisi agar ‘roh’ sambutan hari raya yang sebenar sentiasa mekar di hati anak-anak kami nanti.

 

Dari Ali r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

" Apabila seseorang telah menziarahi saudara seislamya, sebenarnya dia telah berjalan-jalan memetik buahan syurga sehinggalah dia duduk. Apabila dia duduk maka rahmat menaunginya. Jika di di waktu pagi maka 70, 000 malaikat berselawat ( berdoa memohon ampun) untuknya sehingga waktu petang. Jika di waktu petang, maka 70,000 berselawat (berdoa memohon ampun) untuknya sehingga waktu pagi "

(HR Ibnu Majah, Abu Dawud)

 

P1060079

Nah, ini lah gambar raya atas sofa yang paling semenggah bagi tahun ini. Jenuh lah mak laki bini nak kejar si atlet kecik yang tengah ligat lompat terjun tiruk mengalahkan Pandalela Rinong (-_-“)

 

family

Kalau Aisyah Rahim punya Fantastic Four, kitorang baru Awesome Threesome dah macam gini rupanya. Tak tahu lah bila dah jadik Fantastic Four nanti camana pulak gayanya. tsk.

 

 

HER : Rindu nak makan sambal goreng Embah. Al Fatihah.

Saturday, August 18, 2012

Kad Raya 2012

Istimewa buat para pembaca Xeatopia. Semoga Aidilfitri ini lebih membahagiakan & memberi bahagia buat orang-orang yang kita kasihi. Jangan pernah jemu memohon maaf serta memberi maaf, kelak dikenang sampai mati.


Sembah salam ampun & maaf;
Xeea, Cfu & Alfiy (who turns 2, today!)

Wednesday, August 8, 2012

*NEW* original LOLA Marc Jacobs (100ml) for SALE


Never worn.
Selling for RM 250
Email : feexeea[at]yahoo.com
DM on twitter : xeea