Wednesday, December 29, 2010

Kompilasi 2010.

Tahun 2010 aku dimulakan dengan penghijrahan dari Kuala Terengganu ke Kemaman. Masih lagi jauh dari pelukan suami peliharaan. Bermula pulak episod tinggal menyewa seorang diri kat apartment chalet tiga bilik. Cfu tak kisah berhabis tiap bulan semata-mata nak bayar sewa, asalkan dia rasa isterinya selamat di tempat orang.


Kan dah memang tanggungjawab suami ; sentiasa melindungi.

Terima kasih, suami.


image

Awana Kijal. Home alone for 3 months :(


Dalam pada susah-payah mengharungi rutin hidup di tempat baru, kami dikejutkan dengan khabar gembira yang tidak dijangka. Maha gembira. Saat ini, aku semakin mengerti akan besarnya pengorbanan seorang ibu. Biarpun diuji dengan pelbagai alahan, aku tetap tabah mengharungi.


Tiap kesabaran itu ada harganya.


Syukur, proses rayuan pindah aku berjaya. Itupun setelah puas Cfu berusaha naik turun kementerian, berulang alik Kuala Lumpur- Kemaman dan tak lupa jugak jumpa ustaz alim ulamak sampai ke Utara ikhtiar tolong doakan.


SJMC 052

Mencurah bakti di tempat baru.


Kata Cfu, selain daripada tahun kelahiran Alfiy Hafeez dalam hidup kami, kalau boleh, dia mahu buang tahun 2010 dari rentetan peristiwa hidup. Kerana, pada tahun ini jugak, keluarga kami dah boleh diumpamakan seperti ‘siswazah hospital’.


Bermula dengan aku, pada tempoh awal minggu kehamilan hingga lah ke usia 9 bulan kandungan. Hospital swasta dan kerajaan, di Terengganu mahupun Selangor, semuanya aku dah merasa.


SJMC 006

Biarpun payah, ia tetap indah :)


Betul-betul pada hari lahir aku yang ke –26, Ayah mertua pulak menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut jantung Negara(IJN). Berkampung kat IJN, makan bulan jugaklah lamanya.


Dalam tempoh yang lebih kurang sama, Abah pulak diserang penyakit lelah. Seminggu jugaklah ‘bertapa’ kat hospital. Elok je Ayah mertua dan Abah kembali pulih, satu-satunya adik ipar aku disahkan menghidapi penyakit fibroid. Berkampung lagi kat hospital sementara tunggu giliran untuk pembedahan.


SJMC 043

IJN. Betul-betul ‘berkampung’ hah.


Lagi empat minggu nak cukup 40 minggu usia kandungan, aku ‘kembali’ ke hospital. Kali ni, bukan setakat baring kena cucuk air sebab dehydrated macam yang sebelum-sebelum ni, tapi nak beranak dah!


Tepat jam 9.54 malam 8 Ramadhan, lahirlah buah hati kedua buah keluarga yang menghapuskan segala kisah duka sepanjang 2010 ini. Benarlah, anak itu pembawa rezeki.


IMG_1805

Alfiy; usia 3 hari.


four 131

Alfiy; hari ini.


Tahun ini penuh warna duka disulami ceria pelangi.

Moga tahun yang mendatang kan lebih berseri.



HER : Jangan pernah kesal atas tiap perkara yang telah terjadi, sebaliknya hargai hikmah yang bakal menyusuli.

Thursday, December 23, 2010

Senarai Gembira Buat Si Bakal PaMa #02.

Entri Senarai Gembira Buat Si Bakal PaMa yang pertama dulu, aku anggap ala-ala baby checklist la walaupun aku bagi secara pukal. Sebab malas. heh. Lagipun, masa tu main beli je apa yang aku rasa macam perlu. Habis sampai ke sudah, semua benda pun aku rasa macam perlu. Semua pun aku rasa penting. Sampaikan benda sekecik cotton buds tu pun aku asyik risau je tak beli-beli lagi bila kandungan dah cecah 8 bulan. Sampaikan tak boleh tidur malam. Siap termimpi-mimpi.

Over?

Biasa lah. Dah nama pun perempuan, kan? Nak sambut anak sulung pulak tu. Eksaited mesti mau lebih. Kali ni, lepas dah mengharungi dunia seorang Mama, aku macam dah boleh lah nak list out kan barang-barang keperluan bayi yang dikira betul-betul penting dan sangat praktikal. err.. tapi mungkin benda yang dianggap sebagai ‘penting dan keperluan’ pada aku tidak menjadi sesuatu yang ‘penting dan keperluan’ kat orang lain.

Pandai-pandai lah, ye.


1. Dimple Pillow.
image
Walaupun rupanya nampak macam begitu kasihan (sebab ada lubang kat tengah-tengah) tapi ia sangat bagus untuk menjaga bentuk kepala bayi yang masih lembut. Kepala akan terbentuk bulat, cantik je. Takde lah nanti kepala anak kita menjadik leper kat belakang. Mana-mana brand pun ada jual dah bantal karipap ni. Alfiy ada 2; satu brand Bumble Bee, satu lagi Fiffy.

2. NoseFrida.
image
Tau pasal NoseFrida ni pun daripada kawan aku melalui FB. Masa Alfiy kena demam selsema, alat ni lah paling berkesan nak buang hingus dia berbanding nasal aspirator yang bentuk macam bulat-bulat tu. Ye lah kan, kalau tak, baby asyik merengek je sebab tak selesa hidung tersumbat. Lagipun, selamat sikit lah dan kurang risiko nak berjangkit kalau kita sedut terus guna mulut macam yang mak-mak kite dulu selalu buat. Beli online je kat OneBabyWorld.com. Tapi aku ada jugak terjumpa kat Mom's Care dan satu kedai baby dalam The Summit, Subang.


3. Earth Mama Angel Baby Bottom Balm.

image
Alfiy tergolong dalam kategori kulit ‘putera raja’. Sangat sensitif. Terkena panas sikit, merah padam. Terkena ‘pupu’ lama sikit, habis naik ruam. Sampai luka-luka. Tiba-tiba jadik tak hensem. Mujur terjumpa Earth Mama Angel Baby ni kat Fabulous Mom. Kejap je, bottom part Alfiy kembali licin, gebu dan bersinar!


4. Amway Baby Oil.



Mula-mula, guna the oh-so-famous Yu Yee Cap Limau tu. Elok je habis, terus guna baby oil Amway yang datang sekali satu pakej dengan Set Bersalin Amway. Terus jatuh cinta dan takkan berpaling lagi! Alfiy tak pernah kena kembung perut lagi sejak guna baby oil ni. Bau dia pun sangat best berbanding Yu Yee yang agak menusuk hidung pada aku. Fresh gitu. Nak je aku lumur satu badan jadik cologne :p


5. Quinny Zapp & Maxi Cosi Cabrio ( Travel System )
image
Yup, it’s quite pricey tapi aku sangat sangat sangat berpuas hati setakat ni. Betul-betul alah membeli, menang memakai lah kata orang. Bagi parents yang sentiasa on-the-go macam aku dan Cfu, boleh kata sangat berbaloi lah beli Quinny travel system ni. Ye lah, haluan tempat kerja kami lain-lain, sorang ke simpang kanan, sorang lagi ke kiri. Kejap-kejap, Maxi Cosi cum car seat tu kat kereta aku, kejap-kejap, pindah pi kereta Cfu pulak. Sangat convenient lah. Nak pasang pun senang, kejap je. Wheels pun boleh pusing 360'. Very the easy measy. Oh, kami beli kat Little Whiz.com. Dapat harga baik punya!

image
Paling aku suka, frame dia yang boleh lipat-lipat jadik sekecik ni. Very compact dan sangat menjimatkan ruang. Nak lipat-bukak-lipat semula pun senang kacang je. Dah beberapa kali aku bukak-pasang sendiri masa keluar shopping berdua dengan Alfiy. Cuma, nak kena careful sikit, takleh gantung beg atau barang berat-berat kat handle tu. Ye lah, dah nama pun the lightest stroller on market, kan. Use your common sense lah, PaMa!

four 136
Satu lagi, sangat praktikal nak guna masa keluar makan kat mana-mana restoran yang kita tak boleh bawak masuk stroller. Dah nama pun bayi, mana reti duduk kat high chair lagi. Dah tu, nak letak kat mana? Takkan nak pangku sampai kebas tangan, kaki semua? Pastu nak bergilir pulak, Cfu makan dulu, aku makan kendian. Jawabnya, habislah makanan aku dibedal Cfu :p Kat sini lah peranan penting Maxi Cosi bagi kami. Dan, agak bertuah jugak lah sebab Alfiy sangat cintakan Maxi Cosi nya. Asal masuk dalam tu je, kemain lena tidur nya. Kami pun boleh makan dengan bahagia.

Ok, cukuplah 5 barang dulu.

Lagi 5 akan diterbitkan dalam Senarai Gembira Buat Si Bakal PaMa yang akan datang. Tungguuuuu!

p/s : Images from google.


HER : Apa dia Senarai Gembira Buat Si Bakal PaMa lain yang kamu rasa macam best dan penting jugak? Jom kongsi sama.

Monday, December 20, 2010

Perancangan Tuhan Itu Lebih Baik.

Aku dan Cfu sebaya.


Kami berkahwin atas dasar suka sama suka pada usia seawal 24 tahun. Setengah orang kata, terlalu muda. Hakikatnya, Mak aku berkahwin dulu pun pada peringkat usia yang sama. Dapat anak pada tahun berikutnya.


Maka, tak boleh lah nak kata ‘terlalu muda’.


Permulaan kisah rumahtangga kami agak berbeza. Seorang kat pantai Timur, seorang lagi kat wilayah Selangor. Lepas ditolak tambah timbang tara semua, kami ambil keputusan untuk merancang keluarga. Memang sebaik je diijab qabul, malam pertama lagi kami dah berbincang dan setuju untuk mempunyai anak hanya selepas usia 26 tahun. Tapi, kalau Tuhan nak kurniakan lebih awal, kami akan terima dengan penuh rasa syukur dan berlapang dada.


Cecah setahun usia perkahwinan, orang tua mula ‘berbunyi’.


Tapi, kami tetap dengan pendirian dan berpegang pada janji. Kami yakin, Tuhan itu Maha Mengerti. Orang keliling memang hanya akan bercakap perihal yang mereka nampak je. Kita yang melalui, harus lebih tahu. Kedudukan kewangan, lokasi semasa, kestabilan emosi, hubungan suami isteri, hanya kita yang faham sejauh mana tahapnya.


Tanggal 23 Januari 2010.


Genap usia Cfu 26 tahun, aku disahkan hamil. Hadiah hari lahir paling bermakna baginya. Macam terpinga-pinga jugak masa tu sebab tidak disangka langsung. Gusar untuk menghadapi fasa baru dengan keadaan kami yang jauh antara satu sama lain. Namun, Tuhan itu Maha Besar. Rezeki berganda buat kami apabila permohonan pindah aku akhirnya berjaya selang beberapa minggu lepas tu.


Syukur kami panjatkan tinggi melangit.


Diberikan ujian, bersusah-susah dahulu agar kami punya sifat sabar dan belajar erti usaha. Kemudian, dibayar kepayahan yang telah dilalui dengan harga yang tidak ternilai buat kami.


Kadang-kala, bila kita rasa tidak bersedia untuk menghadapi sesuatu perkara, sebenarnya Tuhan tahu kita mampu untuk melaluinya. Tiap kali rasa kecewa bila sesuatu yang telah kita rancangkan tidak menjadi, ketahuilah bahawa Tuhan telah aturkan sesuatu yang lain; yang jauh lebih baik untuk kita.


Ingat lagi gambar ni?


Dan, yang ini?

btn 021 copy[1]

.

.

.

.

.

Sungguh, perancangan DIA itu lebih baik :)


HER : Bagi yang sedang merancang, tak perlu rasa bersalah, HE knows best. Bagi yang masih mencuba, teruskan usaha, jangan pernah putus asa, there's no one to turn to but HIM.

Monday, December 13, 2010

Aku Masih Dara.

dara

Nak meng’antarabangsa’kan filem Melayu?

Belajar cipta tajuk munasabah dulu.

 

 

HER : Mungkin lepas ni keluar pulak ‘Aku Masih Teruna’.

Thursday, December 9, 2010

Enchant Evita.

DSC_4495

DSC_4068

H2

DSC_3833

kA 2

 Beleive me, she’s ONLY eleven!

... and I adored her so much.


Source : Jelly Jelly Beans



HER : Aku masa umur 11 tahun, budak hingusan rambut serabai sarung seluar jeans jenama KIKO je pun dah rasa macam bergaya gila  T____T

Wednesday, December 1, 2010

Rasa Ajaib.

Setiap kali menatap wajah anak sendiri sewaktu dia tidur, semacam ada satu perasaan menyelinap ke segenap ruang hati kecik aku. Sampaikan ada beberapa kali Cfu tegur, “Kenapa tenung Alfiy macam tu sekali?”


Entah lah.

Seakan rasa damai dan tenang.


sleep

sleep2

Mungkin ada segelintir ibu-ibu kat luar sana, rasa apa yang aku rasa. Tak tahu lah kot-kot aku yang syok sendirik. heh.

 

  three 033 

My dear baby Alfiy,

Do not grow up too fast, please!

 


HER : Teringat masa Alfiy baru lahir dulu, masuk hari ke-3 baru lah dia boleh bukak mata. Itupun, kemain payah. Sampai berkerut-kerut dahi. Sekali sepet daaaa! Patut lahh :p

Tuesday, November 23, 2010

Obesiti Semasa Hamil Adalah Anugerah.

…ia bukan satu JENAYAH.

 

tummy

Besaaaar punyaaaa!

 

Tak dinafikan, ada ketika terbit rasa rindu waktu hamil.

 

Rindu saat  jalan terkdek-kedek macam penguin, membawak Alfiy ke hulu ke hilir 24 jam tak pernah berenggang. Rindu nak usap perut yang makin hari makin menegang dan merekah-rekah. Rindu tika suami peliharaan berborak-borak dengan baby kecik kat dalam, walau pada kebanyakan masa Cfu lebih suka buat gerakan ‘gempa bumi’ nak suruh baby kecik bangun (-_-) oh, we used to call Alfiy as 'baby kecik' masa tu. Sekali keluar, kemain besar. heh.


Bagi yang mengikuti perjalanan aku selama 9 bulan sebelum ni, memang dah sedia maklum yang ia tidak lah begitu indah buat aku. Sedari awal lagi aku dah mengalami alahan yang teruk hinggalah ke akhir trimester. Keluar masuk hospital, perkara biasa. Cuti sakit, berbakul-bakul. 


Tapi, aku bersyukur atas semuanya.


Aku anggapkan sebagai satu nikmat yang tak semua orang boleh rasa. Satu pengalaman berharga yang tak dapat nak dijual beli dari mana-mana. Aku cuma perlukan kekuatan diri, suami dan keluarga untuk harungi semua.


Adakala, hati memang mudah terguris.


Lebih-lebih lagi, tiap kali orang suka nak bandingkan diri kita dengan yang lain. Gemar momokkan kita dengan macam-macam telahan dan andaian yang entah dari mana datangnya. Cakap ikut sedap, seolah-olah simptom yang kita alami tu, sesuatu yang sungguh aneh. Buat kita rasa diri macam seekor alien.


Eh, besar nya perut kau, padahal baru berapa bulan!


Teruknya perut kau merekah! Aku dulu takde strech mark pun!


Jangan ikutkan sangat mabuk-mabuk kau tu, psikologi je!


Si polan tu pregnant baya kau jugak, tapi takde lah besar gini aku tengok. Kau ni kuat tido, kuat makan. Sebab tu lah!


Itu contoh.


Kalau cakap sekali, aku terima seadanya sambil sengih-sengih. Masuk dua kali, aku senyapkan je. Sampai tiga kali, siaplah aku tarik muka, tak kuasa dah nak pendam rasa. Paling tidak, Cfu lah jadik mangsa maki dan tadah aku punya nangis berhingus semua.


Point aku kat sini, dah tau yang ibu mengandung tu cukup banyak mengharungi susah jerih payah ‘membawak budak’, tak perlu lah kita orang sekeliling ni menambahkan lagi ‘beban’ yang perlu dia tanggung. Kan dah tahu yang kata-kata tu lebih tajam dari mata pedang.


Apa salah nya, bagi kata-kata semangat dan motivasi. Takde ruginya kalau kita memuji dengan kata-kata manis. Sekurang-kurangnya, lupa kejap si ibu mengandung tadi terhadap sakit-sakit belakang yang dia alami tiap hari, kurang rasa bengkak kat kaki dan ringan sikit rasa nak bawak perut sendiri.


Jangan sekali-kali sakiti hati mereka.

Beban emosi tu lebih sakit, tahu!



HER : Istimewa buat rakan-rakan yang sedang hamil, nikmati saat-saat 9 bulan ni sepenuhnya, biar sepahit mana pun perjalanan yang perlu dilalui.

Thursday, November 11, 2010

Makanan Terbaik Dunia.

two 055

Rezeki anak.


Terlalu muda bagi aku untuk perkatakan tentang perkara yang masih baru aku lalui. Hijau lagi, orang kata. Tapi, aku terpanggil untuk buat entri ni atas kesedaran masih ramai lagi orang di luar sana yang kurang pendedahan tentang perkara ni.


Tak payah pegi jauhlah. Orang keliling aku, hatta famili aku sendiri pun buat reaksi aneh bila aku cakap yang aku masih menyusukan Alfiy sepenuhnya, hingga ke saat ini. Pada hemat mereka, menyusukan anak hanya masa tempoh berpantang je. Naik keja, tak perlu dah. Payah.


Susu ibu.

Semua orang pun tahu perihal 1001 khasiat susu ibu.


Paling istimewa, antibodi yang terkandung dalamnya tidak boleh ditiru oleh mana-mana susu formula, vitamin mahupun makanan supplement yang lain. Sejak dari masa hamil lagi, aku dah tanam niat nak susukan Alfiy, paling kurang pun, 6 bulan. Kalau dapat hingga 2 tahun, aku anggap sebagai bonus.


Awal-awal lagi aku dah buat persediaan untuk realisasikan niat tulus qudus nih. Tiap hari, berusaha bersihkan B part guna baby oil. Bagi bukak semua liang-liang susu, dengan harapan takde lah kes merekah, berdarah, luka apa semua tu. Baca buku, surf internet pasal teknik penyusuan yang betul. Tak lupa jugak, ringan mulut tanya kat orang-orang yang lebih berpengalaman.


Lepas tu, sediakan kelengkapan untuk mengepam. Mujurlah Cfu bagi sokongan 100% dan sudi nak taja pam susu pilihan hati. Biarpun Mak aku macam terkejut beruk bila dengar aku beli pam susu elektrik cecah 800 ringgit! Siap tanya, “Tak bahaya ke pakai elektrik kat badan?” heh.


Hasilnya?

Alhamdulillah, aku berjaya tunaikan hasrat untuk menyusukan Alfiy sepenuhnya, walaupun dah hampir sebulan naik kerja. Mak Abah yang mula-mula tak faham aku buat macam mana, sekarang ni macam dah boleh terima dan semakin menggalakkan.


Easier said than done.


Proses menyusukan anak sepenuhnya bagi golongan ibu berkerjaya sepenuh masa bukanlah semudah yang disangka. Lebih-lebih lagi bagi first timer macam aku.


Sedari beberapa jam lepas bersalin lagi Alfiy dah diberi susu formula sebab aku mengalami alahan bius pembedahan yang agak teruk. Mak dah lalok teruk, perut terbelah pulak, mana lah ada daya nak pangku susukan anak, ye tak?


Hari ke-6, Alfiy kena jaundice. Doktor tak bagi susukan Alfiy dalam tempoh 6 jam pertama Alfiy dimasukkan bawah lampu. Nak tengok sama ada jaundice dia ada kaitan tak dengan perbezaan darah anak dan ibu atau alahan dari ibu.


Maka, hilang sudah tahap EKSLUSIF nya.


Walaubagaimanapun, aku tak putus semangat. Aku tetap teruskan niat aku yang satu ni, hinggalah ke satu tahap yang dah ditentukan oleh-Nya. Cuma, aku kurang setuju kat segelintir golongan yang suka mengecam antara satu sama lain.


Yang menyusukan anak, dok mengata orang yang bagi anak susu formula. Kata anak manusia kena minum susu manusia, bukan susu lembu. Susu formula menggemukkan lah, membazirlah, macam-macam lagi.


Yang tak menyusukan anak pulak, keluarkan kenyataan balas kata buat apa susah-susah perah susu, nanti luyut lah, anak susu ibu halus sangat lah.


Semua pun mahu hanya yang terbaik untuk anak.


Mungkin hari ni, hari kita. Mampu nak bagi anak susu berkoyan-koyan. Tak mustahil bangun esok hari, Tuhan tarik balik nikmat tu, susu kering tiba-tiba. Begitu jugak sebaliknya.


Kita hanya mampu merancang, kan?

Syukur, jangan kufur.


two 054

Muka gigih mengepam kat workstation, sambil update blog :p



HER : Macam nak trade in Medela Swing ni dengan Freestyle la. Lagi berbaloi kot. Ada sesiapa berminat?

Tuesday, November 2, 2010

Cheeky Alfiy.

two 185

two 187

two 186

two 189

two 188

Aku cukup yakin yang semua ibu bapa baru macam aku dan Cfu akan ternanti-nanti dan sangat teruja terhadap milestone yang satu ni. Menyaksikan senyum tawa sampai nampak gusi ni setiap hari adalah PRICELESS. Tak dapat nak digambarkan perasaannya dengan kata-kata. Terlalu indah. Macam ada rama-rama kat dalam perut. Begitulah ibaratnya. Maka, ia WAJIB didokumentasikan kat blog cabuk nih.

 

Smile, and the whole world smiles with you!

:)

 

 

HER : Tak sabar nak bercuti hujung minggu. Boleh gomol Alfiy 24/7 puas-puas!

Wednesday, October 20, 2010

360 Darjah.

1514781769824l

Zaman bercinta tahun 2005.

Hepi hepi jimba jimba selim gedik ceria.


Kalau sekarang ambik gambar sticker macam ni, mau frame tu tak muat dah nak isi muka T__T


Minggu pertama kerja.

Jadual rutin hidup aku dan Cfu 100% berubah.


Kehidupan dah umpama zombie. Bangun pagi-pagi buta, tengah malam-malam buta pun nak kena berjaga lagi. Jangan buta hati, sudah. Na’uzubillah.


Bangun pagi, siapkan 8 botol stok susu Alfiy untuk dibawak ke nurseri, tukar diaper, pam susu, mandi, solat, siapkan barang nak bawak pergi kerja yang dah tak boleh lenggang kangkung kelek handbag dan laptop je.


Sekarang, dah tambah satu lagi beg isi pam dan cooler. Kadang-kadang, tambah satu lagi beg isi bekal makanan. Dengan nak membawak berat badan yang berlebihan ni. Terkedek-kedek hah aku berlari-lari anak panjat tangga sambil mengangkut beg-beg tu semua nak kejarkan punch card sebelum jam lapan. Dah lah sebelum tu lebih setengah jam berpeluh ketiak merempit kereta dari Puchong ke Kajang.


Mujurlah Cfu dengan sukarela nak pegang tugas hantar Alfiy ke nurseri. Kalau aku jugak yang nak kena buat, alamatnya, manjang merah je la punch card aku. Balik nanti, baru lah aku yang ambik dia. Nak tunggu Cfu, sampai ke malam lah jawabnya Alfiy duduk kat nurseri. Kesian anak aku.


Itu belum cerita pasal masak, basuh baju, kemas rumah dan segala tok nenek house chores yang kamu dah sedia maklum tuh. Mana nak update blog, twitter, facebook lagi eh eh macam la penting sangat kan :p 


pheww!

Hidup dah pusing 360 darjah.


Ambik kau. Ni baru betul namanya kisah suri rumah terhebat. Nak menjaga anak, melayan suami dan membela diri sendiri bukan satu tugas mudah. Mental fizikal nak kena kuat. Hati kena kental. Tak boleh kememeh macam aku. iskk. 


Bilalah aku nak menjelma jadik superwoman ni? 


Aku memang kagum lah kat suri rumah yang dah ada 4-5 orang anak. Kerja sepenuh masa. Menyusukan anak lagi. Dan, selamba ya ya je boleh buat part time sambung belajar, bukak bisnes online pulak, rajin menjahit dan macam-macam lagi lah.


Serius tabing spring!

toingg! toingg!


one 305

      Bila dah tambah satu lagi muka bulat, makin tak muat lah nak isi muka kat dalam frame gambar sticker macam kat atas tuh (-_-)



HER : Walaupun mak letih, tapi alam keibubapaan sangat penuh dengan keterujaan! ai loikeeee!

Monday, October 18, 2010

Status Terkini.

image

Kenapalah Tok Najib tak umumkan cuti bersalin 90 hari sejak dari tahun lepas lagi? 

kenapa? kenapa? kenapa?


T_________T

 

 

HER : Selama ni, aku tak faham apasal laa ada yang beriya sampai menangis hantar anak pergi  nurseri/baby sitter masa hari pertama naik kerja. Kini aku faham. SANGAT-SANGAT MEMAHAMI. tsk.

Friday, October 8, 2010

Hormati Perasaan Ibu Bapa Baru.

Kurang beberapa hari je lagi genaplah usia 60 hari aku dan Cfu memegang jawatan sebagai ibu bapa baru (new parents). 


Kejap je. *pejam celik mata. tsk.*


Dalam tempoh sesingkat ni, macam-macam pengalaman dan pengetahuan ilmu keibubapaan dah kami kutip. Dan, masih lagi dalam peringkat belajar. Sikit-sikit, lama-lama jadik bukit, kan?Hakikatnya, hal ehwal yang berkaitan dengan kaedah membesarkan anak ni, takkan habis belajar sampai bila-bila. 


Parenting is a lifelong learning process.


Bukan semua perkara kita boleh catch up dalam masa sehari, dua. Makan tahun, kot. Silap-silap sampai mati. Jadi, tak mustahil lah new parents macam aku dan Cfu boleh jadik stress bila dengar macam-macam pendapat, pandangan dan segala macam nasihat (yang kadang-kadang tak diperlukan, pun!) diberi secara bertubi-tubi di peringkat awal ni. 


Ok, ok, aku yang stress LEBIH sikit kot. Orang perempuan, kan. Cfu nampak macam kool je. Tak tau lah kalau dia pendam dalam hati ke. Macho kononnya. heh. 


Ya, selain tak reti nak handle anak menangis tanpa henti, ada perkara yang jauuuuuh lagi stress rupanya! Pasal cakap-cakap orang ni lah. Kadang-kadang, kalau tak tahan telinga, aku rasa macam nak tampal je mulut orang-orang ni dengan plaster. Biar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.


Cakap-cakap apa?

Ala, pasal cara-cara nak menjaga anak ni lah.


Aku tau lah kan, sesetengah tu dah berpengalaman, kira dah tahap profesional lah orang kata. Beratur hah 5,6, 7, 12 orang anak. Beranak selang setahun. Setakat cuci berak anak tu, pejam mata pun boleh buat. Tapi, tak perlu lah kau nak pertikaikan cara orang lain bela anak dia macam mana. Sampaikan aku bagi anak susu badan sepenuhnya pun dikata sengaja nak memanjakan anak. Nanti susah nak ditinggalkan pergi kerja.


Anak menangis, nak mintak dibelai dan didukung, ditegahnya kita. Katanya, nanti anak spoiled. Asyik nak berdukung je. Tak sampai hati kot aku nak biar anak aku yang usianya belum pun cecah 2 bulan menangis sampai tersedu-sedan. Setahu aku lah, bayi umur macam tu, tak reti lagi nak memanipulasi kita untuk mintak perhatian. Kalau dia menangis, maknanya, adalah yang tak kena. Dah itu je cara dia nak komunikasi dengan kita, kan.


Lainlah kalau anak dah besar sikit.

Dah reti mengada-ngada nakkan perhatian lebih.


Macam-macam lagi lah. Itu tak boleh, ini tak boleh. Cara tu tak betul, yang begini salah. Semua tak kena pada mata dia. Pendek kata, ada je lah benda yang nak di komplen. Adoi laa.. stress mak! Aku tak tau lah orang lain macam mana. Entah-entah, aku sorang je yang rasa macam ni. Dalam hati ada taman, kan. Sikit-sikit nak sentap.

 

Satu lagi, aku paling benci bila ada yang keluar ayat macam ni,

alaa.. masa anak-anak aku kecik baya anak kau dulu, aku bagi minum air masak, makan pisang lenyek, elok je. Sihat walafiat. Takde cacat-celanya.


Nyampah.


Anak kau tu, tahun bila punya cerita. Janganlah nak sama kan dengan anak orang yang lahir zaman air dah banyak tercemar. Kalau kau tak puas hati pun, simpan je dalam hati, takyah luahkan kemudian buat orang lain sakit hati.


Pokok pangkalnya, pada mana-mana yang tergolong dalam kategori aku maksudkan tadi, tolonglah! Tolong bagi peluang kat new parents macam aku dan Cfu belajar berdikari. Biar kami belajar membesarkan anak dengan cara tersendiri. Nak bagi nasihat pun, mesti kena pada masa dan cara nya.


Tak semestinya, cara kau didik anak macam tu, anak kau sihat bertenaga cantik bergaya dan berjaya, lepas tu, kau nak suruh orang ikut kaedah yang sama. no, no, no, nooo! Lain orang, lain caranya. Baik atau tidak, biar orang tu belajar sendiri daripada pengalaman. BUKAN IKUT CAKAP-CAKAP ORANG.


Pelan-pelan kayuh, weh.


wall

Because every child is individual,

they should be treated as individual.

 


HER : Tengah serabut memikirkan pasal babysitter / nursery untuk Alfiy. Pohon dipermudahkan, ya Allah!

Sunday, October 3, 2010

Puisi Kontot buat Sang Arjuna # 02.

 3-7

3-7

Tiada hadiah atau sambutan,

Sekadar ucapan tanda ingatan,

Buat suami insan kesayangan,

Terima kasih atas indahnya kenangan.

 

image

Tahun Dua.



HER : Pohon agar lebih bahagia  :)

Thursday, September 30, 2010

Alfiy Hafeez.

hello

Apa maksud Alfiy?

Kenapa nama sama dengan ayah nya?

 

Ini antara soalan-soalan biasa diajukan setiap kali lepas tanya,

Apa nama anak?


Aku berkeras mahu nama anak bermula dengan huruf A. Dengan harapan, dia sentiasa berada di hadapan, di tempat pertama. Tapi, Cfu tak setuju. Katanya, nanti bila masuk sekolah, sah-sah lah nama yang bermula dengan huruf A akan duduk meja depan sekali masa periksa. Susah nak meniru. cheit. Hampeh punya bapak.


Cari punya cari, kami jadik buntu.


Tenggelam dalam lautan pilihan nama yang berlambak. Tak cukup dengan tu, habis satu blog aku kecoh kan dengan dilema nama. Kawan-kawan kat Twitter pun semua aku kerah sekali mintak tolong cadangkan nama-nama yang sedap dan elok maksudnya. Kemain payah!


Lepas tu, aku kumpul semua nama-nama yang telah dicadangkan. Boleh tahan banyak jugak lah koleksi nya. Macam-macam ada. Baik nama lelaki mahupun perempuan.


Sudahnya, semua pun tak terpilih.

Sebab asyik bertelagah laki bini berebut nak pilih nama.


Lepas tu, dua-dua pun tak nak mengalah. Dan, masalah nama anak ni berterusan hinggalah saat aku dimasukkan ke hospital. Menggelabah hah aku dengan Cfu baru nak finalised nama anak. Dalam pada sakit-sakit tu, dengan kuasa veto nya, aku terus cakap ‘Alfiy Hafeez’. Lepas confirm kan maksud dan ejaan, Cfu pun terus setuju. Tak kuasa kot dia nak bergaduh dengan perempuan sakit nak beranak. heh.


 ‘Alfiy’ bermakna penasihat yang bijak. ‘Hafeez’ pulak diambil sempena nama Cfu. Aku cukup berkenan dengan maksudnya; pelindung. Sebagai anak sulung, Cfu mempunyai sifat pelindung yang sangat tinggi terutamanya terhadap adik-adik dan keluarga. Very protective. Diharapkan, sifat positif ni dapatlah di’turun'kan kat anak nya pulak. ecece.


Maka, terhasillah nama Alfiy Hafeez.


Nak bubuh Muhammad, macam panjang sangat. Kang tak muat nak tulis dalam IC. Cukuplah dua patah perkataan je. Less is more, kan? Nak sedapkan hati, aku ada jugak rujuk kat ustaz, nak tahu elok ke tak gabungan dua nama ni. Yelah kan, nak main gabung sesedap rasa je, takut tiba-tiba maksudnya jadik lain pulak.


Walau apa pun nama yang diberi, sebagai ibu bapa, dah tentu kita sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak. Bermula daripada memberikan nama yang baik. Mudah-mudahan, Alfiy menjadi anak yang soleh dan diberkati hidupnya dunia akhirat. Insya’Allah.

 

hello2

 I’ve survived the first month! yeay!

Sudah 5.5 kilo, tinggi pun dah 64 cm. Tak lama lagi, boleh lawan main basket ball dengan Papa :)

 


HER : Laman web Nama Nama Islam ni ada banyak gabungan nama yang best. Kalau boleh, nak tubuhkan legasi nama AH untuk anak-anak sempena initial nama kami Afziha dan Hafiz. err... “anak-anak” tu :p

Wednesday, September 22, 2010

Pantang.

Masuk hari ke-34.

Ikhlasnya, tempoh berpantang takde lah teruk mana.


IMG_1815

Masih taat berstokin sampai hari ke-44, mungkin.

Selain daripada pantang tak boleh makan minum yang sejuk dan pedas, lain-lain perkara yang berkaitan dengan pantang lepas bersalin, masih boleh diterima. Tak keterlaluan kalau aku cakap, aku cukup enjoy! *statement sentappp*


Cuti panjang, makan minum berhidang, duduk rehat semedang, kira orait apa, kan?


Duduk dengan mertua, tak dibenarkan makan kicap tapi manjang diberi makan ayam. Balik Johor, Mak bagi pulak makan kicap. Kena dengan nenek aku, ayam pun dia tak bagi makan. Aku layankan je. Depan mertua, aku tak usik kicap, depan nenek pulak, aku tak makan ayam langsung. Gitu lah rutin berpantang aku. Kira aci tak? :p


Cuma, kadang-kadang macam stress bila habis modal dah nak handle anak menangis. Dah tukar lampin, bagi susu, sapu minyak kat perut, dodoikan, masih jugak menangis. oh, tak lupa jugak nyanyikan lagu dengan suara kecik yang aneh sambil mencipta mimik muka pelik-pelik. Semua tak jalan.


Kalau tak mampu bertahan, mau meroyan.


Betul kata orang, tempoh berpantang, bukan setakat pantang makan, emosi pun nak kena jaga. Awal-awal tu, aku mudah sangat menangis. Super sensitif. Mujur Mak selalu ingatkan, orang lepas bersalin tak boleh buat kerja berat atau kerap menangis, nanti bentan. Bahaya.


Satu lagi masalah biasa; tak cukup tidur.


Minggu pertama, aku betul-betul serupa pontianak harum. Tak terurus langsung! Dengan serabainya tak reti pakai kain batik. Nak nak pulak aku ni jenis yang tak boleh tak cukup tidur, siap lah mabuk teruk esok hari nya. Kalau Cfu ada, boleh jugak bergilir dengan dia jaga Alfiy waktu malam. Tapi, bila dah balik berpantang kat Johor, terpaksa lah aku harung sorang diri. Tersenguk-sengguk hah bangun tengah malam bagi anak susu sambil tutup mata.


Kata orang, alah bisa, tegal biasa. ecece.

Dah masuk tiga minggu, sebelah tangan pangku anak tidur, sebelah lagi taip entri blog. Lagak nak macam pro, gitu.


Ragam Alfiy, aku macam dah boleh agak. Kalau tak sebab poo poo, nak susu atau nak muntah, kadang-kadang dia menangis sebab nak didukung, nak berbuai dalam rocker takpun mintak tolong di’burp’kan. Paling tidak, takde sebab. Dia saja-saja nak nangis. haih. Sabar je lah.

one 028

Set lepas bersalin Amway.

Aku beli kat Set Bersalin Pilihan Maya Sari. Lain-lain set bersalin pun ada. Try ushar.


So far, aku dah pakai param, pilis, herba mandian, herba pembersih wanita dan minyak urut. Yang untuk dimakan, masih belum mula. Tunggu Alfiy besar sikit kot sebab dia baru baik jaundice. Testimoni aku, set Amway ni sangat bagus untuk sesiapa yang betul-betul rajin nak berpantang. Ye lah kan, nak comot-comot berpilis berparam bagai. Bukan semua orang sanggup nak kelihatan seperti pontianak harum macam aku.

Apa lagi eh pasal pantang?


oh, bengkung! Memandangkan aku ni tergolong dalam kategori perut terbelah, proses pemulihan memakan masa agak lama. Bengkung tradisional memang tak berani nak pakai. Sekarang ni, aku hanya mampu berharap kat zap on girdle yang dicadangkan oleh doktor. Sambil tu, berani-beranikan diri sapu losyen halia pati mustajab nak bagi ramping sikit. Tapi, bukan kat luka jahitan tu la. Seram, oh.


Ke ada cara lain yang boleh aku amalkan?

Kot-kot la ada petua lain, kan. Kongsi-kongsilah.


Aktiviti lain sewaktu berpantang adalah duduk rumah, tunggu orang datang. Lebih-lebih lagi, waktu aku berpantang kena masa raya. Berduyun tiba. Terima kasih, ya. Buat susah-susah je.


gift

Alfiy sedang posing maut di samping sebahagian daripada koleksi hadiah dan duit raya. Lahir masa musim raya, seolah-olah macam dapat durian runtuh, weh! Timing baik punya anak Mama ni keluar. So clever! hihi


HER : Ini bermakna, kurang sebulan je lagi nak naik kerja. tsk.

Friday, September 10, 2010

Kad Raya 2010.

 kad raya3



HER : Raya 2007 bertunang, Raya 2008 bernikah, Raya 2009 beraya bersama mertua, Raya 2010 beranak! ekekekeke

Thursday, September 9, 2010

18.08.2010. Siri Dua.

... sambungan Siri Satu.


Lepas VE, doktor cakap,

“Failure induction. We have to do an emergency operation, immediately!”


Doktor explain prosedur dan segala macam perkara berkaitan kat Mak dan Cfu. Aku pulak main sain je dokumen dihulur. Midwife dengan nurse semua pun bertempiaran lari, buat persediaan untuk sorong aku masuk ke bilik pembedahan.


8.45 pm.

Dalam perjalanan ke operation theatre (OT), aku sempat salam cium dan mintak maaf kat Mak. Sayu gile rasa hati masa tu. Air mata takyah cakap lah. Mengalir deras macam tsunami. Dah sampai kat depan OT, baru aku tau yang Cfu tak boleh masuk temankan aku sebab emergency. Tapi aku mintak jugak kat nurse tu bagi Cfu masuk kejap. Sempatlah aku salam mintak ampun. Cfu cium pipi dan dahi serta bagi kata-kata semangat sebelum aku ditolak masuk dalam OT. Sebak weh masa tu. Rasa macam dah nak mati pun ada.


9.00 pm.

Aku macam tiba-tiba je jadik tenang sepanjang masa kat OT. Padahal sebelum tu, kemain lagi seram sejuk. Ada lah dalam 4-5 orang doktor kat dalam tu termasuk pakar bius, gynae, paed dan entah sape-sape lagi ntah. Elok je lepas bius, terus aku tak rasa sakit apa dah. Dengan tangan-tangan aku sekali jadik kebas. Dah aa menggigil satu badan. Sejuk gila kot kat dalam tu.


9.54 pm.

Dalam pada aku leka melayan gigil dan dengar doktor-doktor tu dok pung pang pung pang bertukang mengerjakan perut aku, tiba-tiba kedengaranlah suara bayi menangis. Kemain kuat memecah kesunyian. oh, my lil’ bun is already out! Boleh pulak aku tergelak dengar suara anak aku menangis masa tu. Macam bunyik suara kartun pun ada. heh.


10.15 pm.

Paed bawak masuk baby. Doktor cakap ‘boy’ sambil tunjuk bebird dia. Lepas tu, doktor suruh aku confirm kan tag nama dan cium pipi baby. Rasa sejuukkk je. Dah aa tembam gila. Rasa macam nak gigit. Geram! Belum sempat nak gigit, paed bawak baby keluar untuk further inspection. Aku pulak terus melalui prosedur jahit-menjahit. Masa ni, dah tak sabar nak keluar dari OT. Nak peluk cium baby puas-puas!


11.00 pm.

Lepas dah agak stabil, baru lah aku disorong keluar dan dihantar balik ke wad. Aku macam mamai gila. Pening dan muntah-muntah. Dah aa menggigil tak habis-habis. Berlapis-lapis hah selimut nurse bagi tapi masih lagi menggigil. Aku cuma ingat, Cfu dan Mak masuk cium aku, Cfu cakap 'thank you, baby so cute!', lepas tu aku terus terlelap pengsan sampai pagi.


4.00 am.

Bius dah habis. Barulah aku boleh gerakkan kaki. Rasa dahaga dan lapar gila masa tu. Lepas Cfu suapkan roti dan air, baru lah aku tau yang rupanya, aku tak dibenarkan makan selagi belum kentut. Luka pembedahan dah mula terasa bisa. Nak bangun, duduk memang seksa. Lagi pulak kalau batuk, bersin atau ketawa.


8.00 am.

Semakin beransur pulih. Tapi, masih tak boleh nak bangun berjalan. Nak buang air kecil pun kena guna tiub. Makan minum pun bersuap lagi. Walau apa pun, tak sangka, kini aku dah pun bergelar seorang mama. Sakit semua tolak tepi! Hepi, yeay!


Sekian, bahagian aku.

Merasa lah sakit nak bersalin normal dan jugak sakit perut kena belah. Pakej lengkap. 2 dalam 1.


Setiap orang punya bahagian masing-masing. Yang membezakan cuma cepat atau lambat, susah atau senang. Yang penting, persiapkan mental dan fizikal secukupnya. Menyambut kehadiran ‘orang baru’ serta proses penyesuaian memerlukan masa dan bukan lah semudah yang kita sangka. Berusaha! heh.


Oh ya, atas permintaan, disertakan sekali Doa Nabi Yunus a.s ;

لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحانَكَ إِنّى‏ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمينَ

alfiy 057

Inilah hasil ‘eraman’ yang aku bawak ke hulu ke hilir selama 36 minggu 1 hari. Berbaloi-baloi! :)


HER : Kadang-kadang, bila tengok ‘kesan kulit limau’ yang tumbuh melata kat perut, rasa rindu pulak saat-saat si kecik tu duduk kat dalam tu dulu.

Thursday, September 2, 2010

18.08.2010.

 whoops

Dua hari sebelum kejadian. Mujur sempat :p

 

Bersamaan 8 Ramadhan 1431.


5.15 am.

Macam hari-hari sebelumnya, Cfu kejutkan aku untuk bangun sahur. Cfu tolong masakkan ayam goreng segera Ayamas. Makan pulak dengan nasik panas dan serunding daging, memang chare. Lepas tu, wajib disudahi dengan Koko Crunch, susu segar dan 2 bijik kurma. Barulah lengkap menu sahur aku. Kalau tak, pukul 11 kang dah longlai gemalai.


6.00 am. 

Dah siap-siap nak landing balik atas katil lepas solat Subuh, tiba-tiba Cfu tegur aku, “Eh, ada air keluar kat celah kaki lah! Air apa tu? Keputihan ke apa?” Selamba je aku jawab, “Entah. Mana orang tau.” Lepas tu, boleh pulak aku buat tak tahu pejam mata, nak sambung tidur. Malam tu, sebelum tidur pun aku dah perasan ada cecair keluar, mengadu kat Cfu, pastu aku buat dunno je.


6.30 am.

Beriya-iya bangun nak siap pergi kerja. Tapi rasa macam tak larat je. Ya, walaupun dah sarat 9 bulan, aku masih lagi gigih bawak kereta sendirik ulang-alik pergi kerja. Cfu awal-awal lagi dah tak bagi aku pergi kerja. Dia suruh aku berehat, lunch hour nanti, dia balik rumah, nak bawak aku pergi hospital.


9.00 am.

Tiba-tiba Cfu dah tercongok depan pintu rumah, kejutkan aku untuk pergi hospital. aikkk, kata nak pergi tengahari? Panick alarm dah ON lah tu. Aku pulak boleh lagi lenggang kangkung, mandi lama-lama, kemas-kemas bilik, tengok TV kejap. Macam takde apa-apa yang berlaku. Sebab aku konfiden habis yang aku takkan beranak dalam masa terdekat ni. Walaupun dah ramai orang sound yang hidung aku dah kembang, tanda dah dekat sangat nak bersalin. Pergi hospital, aku bawak handbag je. Beg hospital, apa semua, aku tinggal. Konfiden le katekan.


10.00 am.

Masuk je bilik doktor, doktor dah buat muka pelik, sebab aku baru je datang check up 2 hari lepas. Lepas cerita dari A sampai Z, doktor terus suruh aku baring, dia buat VE. Senak, oh. “Confirm. Water bag leaking. Hari ni induce, eh.” Aku macam blurr tak paham lagi bila doktor cakap induce. Siap boleh tanya, “oh, lepas induce, saya boleh balik rumah la eh, doktor?” Serius sengal. 


Rupanya, induce tu doktor nak masukkan ubat kat V part, untuk ‘bukak jalan’ nak bagi bersalin. Doktor cakap, kalau tak malam ni, esok pagi, aku kena jugak bersalin. Sebab risiko untuk baby lemas dalam perut sangat tinggi lepas 24 jam water bag leaking. gulp! Menganga aku kat situ.


11.30 am.

Admitted. Ujian CTG tunjuk dah ada mild contraction. 20 minit sekali. Kejap-kejap perut aku mengeras jadik bentuk petak. 


IMG_1709

IMG_1712

Kan? Macam bentuk petak, kan? Sakit woh.


12.45 pm.

Midwife bagi induce kali pertama. Contraction jadik 10 minit sekali. Rasa sengal macam senggugut gitu. Aku rileks lagi kot. Siap boleh layan borak berlawak bodoh dengan Cfu. Masa ni jugak lah baru nak finalised nama anak. Konfiden je bubuh nama lelaki. Kot-kot yang keluar perempuan, mau aku tibai bubuh nama Saloma je.


4.00 pm.

Jalan masih belum bukak. Doktor bagi lagi sedas induce. Kali ni, contraction makin kerap, 2-3 minit sekali. Masa ni, takde dah aksi mesra bertepuk tampar dengan Cfu, rasa nak lempar semua benda ada lah. Cfu usap belakang, aku tepis. Cfu urut kaki, aku sepak. Mintak ampun, suami T___T


7.40 pm.

Masa ni, Mak Abah dan adik-adik aku sampai. Mak Abah siap lah buatkan air doa apa semua. Tak jalan. Aku tak pedulikan semua orang. Baked fish yang aku order untuk makan malam pun tak berusik. Tapi, Mak suapkan jugak sikit lemang yang aku beriya-iya mintak sebelum Mak datang. Nanti tak ada tenaga, katanya.


8.15 pm.

Dua orang midwife masuk, nak check bukaan. Serius, masa dia ‘seluk’, dan dan tu jugak lah contraction datang, aku rasa nak terajang je midwife tu. Masa tu jugak, air ketuban keluar lagi, habis basah cadar. Air mata aku dah menitik-nitik keluar. Kalau tadah, penuh hah sebaldi boleh buat mandi.


15 minit lepas tu, doktor pulak masuk. Masa tu, aku macam dah longlai gila. Tenaga dah habis buat menahan sakit, je. Datang doktor, dia ‘seluk’ lagi. adoiiiiiii, Tuhan je lah yang tahu. Mulut aku tak berhenti baca doa Nabi Yunus dan praktikkan teknik pernafasan yang aku dah belajar masa kelas antenatal dulu...


... bersambung dalam episod akan datang,

my Alfiy dah mintak susu!