Wednesday, December 30, 2009

Kompilasi 2009.

Tirai 2009 aku dibuka dengan kisah sedih menyayat hati yang masih lagi menyelubungi kami sekeluarga. Sehingga ke saat ini, kami sentiasa rindukan senyum dan tawa dia.


bulan   madu = duit ilek 149

Walaubagaimanapun, hidup perlu diteruskan.


Kemudian, bermula pulak era aku memegang jawatan suri rumah berhias terhebat. Hari-hari yang dilalui hanyalah celik mata, makan, internet, TV, makan, tidur, makan, sambut suami pulang dari kerja. Memang sorga. Kalaulah boleh diputar semula masa, aku nak hidup dalam era ni, sampai bila-bila.


PC060204

Suri rumah terlebih bahagia.


Langit bukan selalu cerah.


Sekali lagi dihambat rasa sentap bila ditempatkan di Kuching, Sarawak. Tetapi berkat doa semua dan usaha suami peliharaan yang tidak kisah heret muka tembok pergi jumpa orang sana-sini, aku berjaya pindah balik ke Semenanjung.


Masuk pulak era tidak tinggal sebumbung dengan suami walaupun berkongsi hati. cewah. Masa ni lah, ramai kawan-kawan dan orang sekeliling timbul rasa kagum terhadap aku yang mampu duduk serumah dengan mertua tanpa kehadiran suami di Terengganu.


Drama swasta air mata Maria, dah jadik perkara biasa. Lantak lah orang lain nak kata apa tatkala lihat kami berpeluk, bercium bagai nak rak tiap kali nak berpisah. Diorang tahu apa.


induksi 122

Selagi tak kena kat batang hidung sendiri, manusia memang hanya pandai mengata.


Betul orang tua-tua kata, alah bisa, tegal biasa.


Kami tak pernah tinggal hatta satu minggu pun giliran untuk berjumpa di hujung minggu. Stesen bas, airport dah jadik rumah nombor dua. Nombor telefon teksi pun dah masuk dalam senarai pakej Digi Friends & Family. Tony Fernandes pulak dah ibarat bapak menakan sendiri sebab tiap bulan dapat ‘elaun tetap’ dari kami. Duit yang bertaburan kat atas jalan mahupun langit dan lautan, sikit pun tak terasa. Yang penting, masa berkualiti. Itu lebih berharga.


Namun, Tuhan tu Maha Kaya.


DIA tarik satu nikmat kami untuk hidup bersama, tapi DIA beri nikmat rezeki berpanjangan yang tidak pernah putus. Walau deras macam mana sekalipun duit yang mengalir keluar, mahupun terlalu sesak masa yang ada, DIA sentiasa tunjuk kami jalan agar sentiasa punya peluang untuk luangkan masa bersama.


bulan   madu 2 012

Syukur.


Pejam celik, pejam celik, setahun sudah.


Alam pekerjaan betul-betul tunjukkan aku apa isi dunia, sebenarnya. Manusia ni ada macam-macam ragam, rupanya. Tiap kali terjatuh, pandai-pandailah nak bangun semula. Lebih-lebih lagi bila suami jauh di mata, merengek lah sorang-sorang pujuk diri sendiri macam loser. heh.


Pergi balik kerja tiap hari, hujung minggu balik jumpa suami, memang tak terasa masa berlalu macam tu je. Tup-tup aku nak kena pindah Kemaman dah. Terpaksa merencana semula hidup PJJ episod lain pulak. Lepas ni, entah stesen bas dan airport mana pulak lah jadik rumah nombor tiga.


Harap DIA masih sudi beri ruang untuk menumpang hidup di sini.


Apa yang pasti, pengajaran paling besar yang aku peroleh sepanjang melalui liku perjalanan pada tahun ini ialah sentiasa percaya pada usaha, doa dan tawakal padaNya. Ada usaha, adalah hasilnya. Tuhan sendiri sudah bersabda,

"Takkan berubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka sendiri yang berusaha untuk merubahnya."


none 191

Mohon agar sentiasa dikurniakan hati yang kuat,

berserta senyuman berseri di setiap kali

:)



HER : Semoga 2010 bawa sinar lebih bahagia.

Wednesday, December 23, 2009

Serius, Jengkel.

Dah masuk lapan puluh kali kot aku bukak katup Live Writer.


Membuak-buak je rasa dalam hati ni. Nak tulis, tanak tulis, nak tulis ke tanak tulis. Mula-mula, tulis status kat Twitter je, tak puas lagi, aku tulis kat FB pulak. Dan akhirnya, aku tulis jugak kat sini. Sebab hati aku macam nak meletup dah.


Aku sedang rasa annoyed sangat-sangat.


fashion show 015

Rasa macam nak balik rumah, peluk Leo dan Luna puas-puas. Oh, yang ini Cfu punya *kantoi, luaran kemain gagah perkasa tapi kat rumah, simpan anak patung, rupanya*


Aku cuba kurangkan rasa ni, dengan menulis entri ni, tapi macam tak jadik je nampaknya. Tahap terlalu jengkel sampai rasa nak zip mulut dia.


Aku paling annoyed bila orang suka menyampuk cakap aku yang belum sempat pun nak sampai noktahnya. Kalau boleh, setiap patah perkataan aku dia nak sampuk. Macam terkena sampuk pun ada. Konon macam dah faham aku nak cakap apa, manjang je nak potong ayat aku. Sudahnya, bila aku diam, malas nak bercakap dengan orang yang tak reti adat bercakap ni, terhegeh-hegeh pulak datang tanya.


Kuasa aku nak layan la, weh.


Satu lagi, aku paling annoyed bila orang cakap terjerit-jerit macam aku ni seratus kilometer jauhnya. Padahal, aku kat sebelah cuping telinga kau, je. Macam mana lah cara terbaik nak sound orang yang suara dia kalau setakat berborak biasa je pun boleh mencapai desibel tahap paling annoying ni, hah?


Aku perasan, orang yang suka cakap kuat-kuat ni, akan cakap lebih kuat bila dia nak tarik perhatian orang lain masa tengah ramai-ramai berborak. Bila dia cakap kuat, maka semua orang pun akan bagi perhatian kat dia. Seolah-olah, cakap dia lah yang paling betul dalam dunia.


Dasar menjengkelkan.


Tahap tertinggi rasa annoyed aku adalah bila ada orang suka sangat duduk mengulas setiap apa yang dia tengok kat TV atau wayang atau segala macam benda yang dia nampak atau baca. Setiap ekspresi dan perasaan dia nak tunjuk semua. Paling tak tahan, cakap kuat-kuat pulak tu! Sikit-sikit dah la. Kot iya pun banyak sangat benda kau nak ulas, nak komplen, cakap dalam hati sudah. Taik telinga aku ni dah keras nak tadah suara kau, tau tak.


Dah aa kaki sampuk, cakap macam semua orang pekak, kuat mengulas pulak. Lebih malang, aku terpaksa menghadap dia dalam jarak kurang 50 sentimeter. Tak boleh nak elak. Terpaksa.


Kamu bayangkan je lah macam mana tahap annoyed yang terpaksa aku tanggung sekarang ni?


Kalau lah aku ada kuasa magik, nak je aku jadikkan mulut dia mudah-alih. Alihkan dalam almari kejap. Tutup rapat-rapat. Kunci dengan solex. Lepas tu, buang kunci tu kat Laut China Selatan.


Puas hati aku. huh!


HER : Hari tu call Mak wish birthday yang ke-50, tiba-tiba Mak cakap, “Mak tengok gambar seluar koyak Apis kat blog Along. Besarnya!“ Wah, Mak dah pandai baca blog. Semakin bertambah usia, semakin siber. err, hai Mak! Tumpang lalu, ye.. :)

Monday, December 21, 2009

Cita-cita yang Tak Kesampaian.

Bila ada rakan sekerja offer pas jemputan masuk ke majlis pertunjukan fesyen, aku semacam melompat kegirangan. Mak oi, gila teruja! Teringat main pondok-pondok masa kecik dulu. Selalu berangan jadik pereka fesyen. Habis satu sketch book aku lukis 'rekaan fesyen' lah kononnya. Padahal, penuh dengan gambar orang lidi warna warni. heh.


Maka, bersempena Pesta Batik Terengganu 2009, diadakan pertandingan rekaan batik Piala Seri Iman. Majlis perasmian berlangsung di Taman Tamadun Islam. Ala, kat Masjid Kristal tu. Tempat aku menggedik outdoor shooting masa kahwin dulu. tskk. Rindu Cfu tiba-tiba.


Ok. Boleh teruskan.


Tanpa buang masa, terimalah entri bergambar berikut. Gigih aku zoom sampai 12x dari tempat duduk. Tak kuasa nak bersesak- sesak dengan wartawan dan jurukamera kat depan stage.


Sekali je aku berlagak macam paparazzi demi untuk ambik gambar peserta kolej. Itupun macam nyorok-nyorok kat celah ketiak wartawan mana entah bila tersedar yang aku sorang je pegang kamera kompak, sedangkan kat keliling aku ada berpuluh kamera gajah lengkap dengan lens panjang macam galah (-_-")


fashion show 109

Kat pintu masuk dewan, mata tetamu telah dijulingkan oleh rekaan batik yang indah-indah belaka. Tapi, lepas belek harganya cecah RM 999.90, yang indah tadi terus menjadik kurang indah kerana mata semakin juling lihat angka tersebut.


fashion show 031

Sewaktu ketibaan Menteri Besar.


fashion show 096

Sehati berdansa.


fashion show 050

Hitam putih kehidupan.

Tema “Perahu”.


fashion show 057

Wakil Kolej Komuniti Kuala Terengganu. hnsss

Tema “Dokoh”.


fashion show 062

Tema “Matahari”.

Electric blue versus orange (?) errk..


fashion show 065

One of my favorite.

Tema “Warna Pelangi”.


fashion show 069

Juara Piala Seri Iman. Rekaan Politeknik Johor Bahru.

Tema “Inspirasi Dokoh”.


fashion show 077

Rekaan Fakulti Fesyen UiTM. Kalau tak silap lah.


fashion show 080

Pemenang persembahan terbaik.


fashion show 084

Angkasawan muslimah pertama dunia :p


fashion show 086

Tema “Jawi” yang kelasss.


fashion show 082

Pencuci tahi gigi.


fashion show 091

Nita Malaysian Idol tengah nyanyi lagu ‘Big Spender’.

Ada sorang pakcik tu cakap, “huh? spender? lagu seluar dalam?”


fashion show 101

haaa. Ini untuk kamu, 'pakcik spender’ :p

Yusni Hamid.


fashion show 113

uh-oh. What I wore that night?

Fesyen carca marba. Asal kena dengan tema batik sudah.

Kebaya ungu sempena konvo degree, pareo cap Mydin, tudung bawal pakai pergi kerja siang tadi, chunky bangle souvenir dari Hong Kong, sepatu tumit tinggi merah dan ...

my brand new Canon iXus !



HER : Tak dapat jadik pereka fesyen, jadik peminat fesyen secara senyap pun kira ok lah, kan.

Wednesday, December 16, 2009

To gain something, we often have to lose something. Setuju?

Pertama kali aku baca luahan hati seorang isteri dan baru bergelar ibu yang begitu telus dan transparent macam kotak hati Nurul.


Selama ni, kita sentiasa disajikan dengan cerita gembira terima orang baru, berjaga malam bagi anak susu, dan segala macam lagi kisah pengalaman pertama kali bergelar ayah dan ibu.


nov09 010

My Cfu dan sepupu kecik.


nov09 009

Alya Damia.


Jarang sekali orang nak bercerita pasal sisi yang satu lagi.


Mungkin sebab orang kita lebih suka dengar pasal yang baik-baik je. Sebab tu yang kurang baik, orang lebih suka simpan dalam hati. Tak mahu kongsi. Ataupun takut macam dia je yang punya perasaan macam tu seorang diri.


Bila kita dapat sesuatu yang baru, sama ada sedar atau tak, kita telah hilang sesuatu yang lain.


Macam apa yang orang cakap,

“ To gain that which is worth having, it may be necessary to lose something else - Henry David Thoreau”


Nak pakai kereta baru idaman, dalam masa yang sama, kita hilang ratus-ratus ringgit tiap bulan. Nak kahwin cepat, kita hilang masa jimba-jimba muda remaja. Nak naik pangkat, kita hilang kawan-kawan biasa mengular.


Itu kitar hidup yang dah biasa kita lalui setiap hari.


raya 075 Ini Syifa.


Begitu jugak dengan kes kotak hati Nurul. Entri dia buat aku sedar betapa kita ni manusia biasa. Soal hati dan perasaan adalah di luar kawalan kita. Hanya akal fikir saja yang mampu menguasainya.


Satu lagi, aku kurang setuju dengan sesetengah tabiat orang kita yang suka sangat ziarah kawan-kawan atau saudara mara sebaik je kawan tu selamat melahirkan ataupun baru je pulang ke rumah dari hospital.


Come on, lah. Give them some space.


Ingat senang ke nak adjust kehidupan dengan kehadiran orang baru. Bagi peluang pada orang yang baru bergelar ibu bapa ni, untuk sesuaikan diri dan stabilkan hidup baru.


Aku semacam dapat memahami betapa serabutnya diorang dengan orang ramai tak henti-henti datang melawat siang malam pagi petang, tak cukup tidur sebab tak biasa handle anak menangis malam-malam, rumah yang tunggang-langgang tak pandai lagi nak membahagi masa antara kerja rumah dan urus anak, nak menjawab soalan-soalan yang sama secara berulang-ulang dan paling perit, tekanan nak duduk diam-diam berpantang 44 hari.


uisshhh. Tak sanggup rasanya aku nak senaraikan satu-satu.


Jadi, hormatilah perasaan, keadaan dan situasi mereka. Kot iya pun excited nak tengok bayi baru kawan kita tu ikut rupa siapa, pandai-pandai lah carik masa.


Dan, kepada Nurul serta ibu bapa baru di luar sana, bertabahlah. Setiap orang bakal melalui fasa yang sama, termasuklah aku.


Walau bagaimana teruk pun kita rasa, ingatlah satu perkara.


Bila kita tua nanti, dah tinggal berdua semula, rumah kembali sunyi seperti sediakala, tidur malam pun semakin lena, dalam keadaan separa sedar, kita akan tertanya-tanya,


“Ke mana hilangnya anak-anak kita?”


oldies 005

vistana 006

Dan akhir sekali, ini Cfu dan Xeea merangkak atas tikar getah bercorak hampir serupa *tiba-tiba*



HER : Sampai bila-bila pun kita takkan rasa bersedia untuk melalui fasa baru dalam hidup. It will just happened, naturally.

Monday, December 14, 2009

Di Mana Kan Ku Cari Ganti.

Nikon Cool Pix kesayangan aku sedang menghilang.


Sungguh. Aku tak boleh hidup dengan tangan kosong tanpa kamera nipis cabuk yang dah aku angkut ke hulu ke hilir selama hampir 5 tahun. Dialah saksi kepada segala kejadian yang aku telah lihat. Yang mampu pegunkan tiap satu memori yang aku lalui. Bisa kembalikan senyum tatkala dirundung sepi.


Kebanyakan idea tulisan yang timbul kat sini pun adalah ilham daripada gambar yang aku rakam. Aku ambil gambar tanpa motif, kemudian, baru aku tulis.


Aku suka petik secara spontan. Tanpa perlu berfikir.

Contohnya, macam gambar-gambar kat bawah nih haaa.


vistana 048

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.


nov09 004

Traffic jam pukul 5 petang di Kuala Terengganu.


pizza 013

Flight AK 5388.


vistana 023

Hotel Vistana, Kuantan.


Dan sekarang, aku buntu.

Tak tahu kat celah mana lagi lah nak carik Cool Pix aku.


DSC09225

Dia merajuk bawak diri kot sebab aku tak habis-habis gertak mahu beli satu yang macam ni. Tapi, bukannya dalam waktu terdekat ni, wehh. You'll always be my favorite.


Please, come back.

T__________T



HER : Apalah erti seorang penternak blog tanpa kamera.

Wednesday, December 9, 2009

Kenapa Benda Baik Selalu Dibenci?

Berbekalkan semangat kenegaraaan yang tebal dalam diri, aku memulakan entri ini.


Memandangkan telefon bimbit dan alat elektronik adalah barang terlarang, maka terpaksalah kamu tatap gambar perempuan bermuka tebal yang tak ada kena-mengena dengan isi entri. Di samping bersemangat tebal, perut pun semakin tebal sebab dipaksa makan 6 kali sehari. Siapa tak makan, markah kumpulan kena tolak, katanya. tsk.


Aku mungkin tergolong dalam kalangan yang agak bertuah sebab terpilih menjadik calon untuk menyertai kursus Biro Tata Negara di kala sedang huru-hara kata kursus BTN wajar dimansuhkan, patut bungkus saja. Secara jujur, memang aku pergi atas sebab arahan. Ye lah. ‘Saya yang menurut perintah’, kan.


Tapi, selepas mengikuti kursus ni selama 5 hari 4 malam di Kuala Selangor, persepsi aku mula berubah. Aku tak nampak pun kat celah mana yang BTN ni patut diharamkan. Kecuali pada tahap kemudahan asas seperti katil yang suka mengeluarkan bunyi-bunyian pelik terutamanya di waktu malam dan kualiti makanan seperti roti tilam berinti majerin yang masih boleh diperbaiki. Lain-lain, aku tak tahu kenapa di luar sana beriya-iya kata BTN nih punya agenda tersembunyi.


Pada hemat aku, pengisian sepanjang kursus ni sangat bagus.


Selama ni, kita beriya-iya mengaku sebagai anak Malaysia sejati, kononnya. Hakikatnya, terlalu banyak perkara yang kita tak tahu sebenarnya tetapi kita selalu isytihar yang kita dah tahu.


Baru aku tahu apa dia ‘Keluhuran Perlembagaan’ yang kita selalu sebut dalam Rukun Negara tuh. Baru aku faham kenapa orang politik berhaluan kiri sibuk nak mansuhkan hak istimewa orang Melayu tetapi tak pernah sekali pun sebut pasal nak hapuskan Perkara 153.


Orang kita memang pandai mencari salah tetapi kalau masuk bab memperbaiki kesalahan diri, haram tak mahu mengaku.


BTN sekadar menyediakan platform.

Pokok pangkalnya, berbalik jugak kepada penerimaan kita macam mana. Untung nasib tanah air kita, terletak kat tangan kita. Orang luar sekadar boleh memandang dan menunggu masa untuk bersorak gembira meraikan detik kejatuhan kita.


filemgambar.php

mu

Oh. Satu lagi, pergi tonton filem 1957 : Hati Malaya.


Daripada kamu berlumba-lumba mahu tonton kisah pontianak orang putih kacak yang menghisap darah, lebih baik kamu hargai pejuang negara yang bermandi darah dan keringat semata-mata mahu hadiahkan Malaysia ini untuk kita.


Kadang-kadang, kita terlalu ghairah mengejar sesuatu sampaikan kita lupa apa yang pernah kita lalui suatu ketika dulu.



HER : Setinggi mana pun kita berada, ada masanya perlu kembali pandang ke bawah untuk lihat asal-usul dan hayati akar umbi kita.

Monday, November 30, 2009

Vokalis HUJAN Sedang Menampal Setem.

Nampaknya, sup tulang lembu korban kelihatan lebih seksi berbanding aktiviti mempropah di blog ternakan. Dah lebih seminggu, xeatopia ni aku abaikan.


Kitar hidup seorang cikgu atau pensyarah.

Hujung tahun adalah musim paling sibuk. Kalau tak sibuk, boss akan bagi kerja setimbun nak bagi kita sibuk. Yang tak sibuk pun, akan buat-buat sibuk.


Demam peperiksaan dah mula merebak jadik penyakit berjangkit.


Anak-anak murid, sila pergi belajar. Jangan duduk hadap blog tiap-tiap jam dengan harapan boleh jadik jutawan kalau tak habis-habis menulis dengan menggunakan bahasa SMS.


Yang pekerja ofis pulak, jangan asyik leka tanam pokok kat kebun virtual. Kalau jadik betul-betul kaya, takpe jugak. Ini tak. Belum apa-apa lagi, dah pandai main kotor, curik hasil ternakan dan tanaman orang lain. Macam mana lah bisnes orang kita nak maju.


Tu dia. Seorang nenek kebayan sedang berleter.


Maka, entri hujung-hujung tahun ni pun akan berciri sibuk.

Pendek, padat dan penuh dengan propah.


Dan, demi untuk tidak mengecewakan para peminat indie band HUJAN yang terjelepok masuk sini gara-gara tajuk di atas, dengan ini, mempersembahkan…

.

.

.

nov09 016

Si pembawak muka konfiden rockers.

Bisnes masyuk ye, bang?


2449357868_580dc514c2

Ok, ok. Nah. Janganlah marah :p



HER : Yup. I miss my darling rock star, terribly T___T

Monday, November 23, 2009

Pasangan Jarak Jauh Terhebat.

Kali ni, aku nak cuba sekali lagi mengupas topik TIPS MENJADIK PASANGAN JARAK JAUH (PJJ) TERHEBAT setelah gagal kali yang pertama tempoh hari gara-gara Ayah Pin. heh.


err.. yang tak PJJ pun boleh baca.

Tarik nafas panjang-panjang, ayuh, kita mulakan!


1) Simpan gambar pasangan di tempat yang paling mudah dilihat.

Tak kiralah nak lekat kat dinding ke, selit bawah bantal ke, celah ketiak ke, mana-mana lah asalkan di tempat yang memang kita akan hadap hari-hari.


nov09

Dengan syarat, pilih gambar pasangan yang kita rasakan dia berada pada tahap paling kacak / jelita walaupun gambar tu macam dah ‘lari jauh’ dari keadaan diri semasa :p


Ya. Bunyi macam tipikal. Lebih-lebih lagi bila simpan gambar passport dalam dompet. Siapa yang tak pernah buat, kan?


Tapi, sedar tak sedar, tiap kali nak keluarkan duit, perkara tipikal ni lah yang akan sentiasa ingatkan kita betapa Tuhan dah kurniakan seorang insan terhebat, terkacak/tercantik di mata kita, dan ter-segala-macam-lagilah untuk kita.


Jadi, tak perlu lah nak toleh pada yang lain. Jangan jadikkan alasan tinggal berjauhan untuk kamu berfoya-foya carik orang lain demi mengisi kesunyian, kononnya. cheit poodah.


Belajar bersyukur dan hargai apa yang kita ada serta berusaha untuk kekalkannya sampai bila-bila. Selain tu, ia juga berfungsi untuk ingatkan kita agar tidak boros menggunakan kad kredit yang tersusun rapi kat sebelah gambar pasangan kita tu dengan sewenang-wenangnya.


Macam amaran cara halus, gitu.


2) Dating.

Tak dapat seminggu sekali, buat dua minggu sekali takpun sebulan sekali. Ikut kesesuaian. Dan, dating di sini bermaksud berdua saja. Yang double/triple date tu bukan dating. Itu bersosial namanya.


akept 080

Dating spot setiap hujung minggu.


Kenapa mesti berdua je?

Sebab kamu berdua memang sangat perlukannya. Selain di bilik tidur lah, kan (ehem). Dah nama pun jumpa sekali-sekala, ni lah masanya kamu nak berbincang tentang semua perkara. Dari hal ehwal semasa 1Malaysia hinggalah kepada ubat lipas terbaru di pasaran yang baru dibeli untuk dicuba. Ini je lah masa yang ada.


Kalau ada orang lain, dikhuatiri salah seorang pasangan tak dapat cerita all out segala macam perkara yang dah dia peram. Tak manis lah kan macam tu. Kalau boleh, selesaikan segala jenis gaduh atau mogok yang dah berlaku di sepanjang kamu tidak bertemu.


Lagipun, kalau tak diperuntukkan masa khas macam ni, memang susah nak carik masa lain lagi. Di samping tu, dapat jugak mengimbas memori indah saat bercinta dating makan KFC kongsi bayar sama-sama macam dulu. tsk.


3. Raikan setiap hari-hari penting.

Cara sambutan ataupun besar mana hadiah, tu bukan keutamaan. Yang penting ingatan antara satu sama lain. Selain tarikh harijadi dan ulangtahun perkahwinan, jadikan setiap hari-hari biasa yang dilalui bersama sebagai penting.


nov09 019

Sangat surprise bila terima hadiah berupa begini sempena ulangtahun ke-6 perkenalan (ala, yang korang sebut sebagai tarikh declare tu). I loikeeee!!!


Sekali-sekala, buat kejutan untuk pasangan bila bertemu. Tak payah berbelanja besar pun boleh buat kejutan, apa. Misalnya, memasak makanan kegemaran dia yang kamu paling fedap nak buat, seperti kuih dodol misalnya. Ataupun memakai baju yang dibelikan oleh dia walaupun kamu rasa gemuk bila memakainya.


Apa saja, asalkan yang boleh buatkan dia teruja!


4. Masa berkualiti.


bulan   madu 2 034

Tak semestinya sampai nak kena pergi berbulan madu ke Bali, Gold Goast semua semata-mata untuk dapatkan masa berkualiti ni.


Habiskan masa hujung minggu berdua kat rumah dengan lakukan aktiviti baru pun dikira sebagai berkualiti jugak. Contohnya, bercucuk-tanam pokok cili. Takpun bertanding berenang kuak anjing berdua. Ataupun tolong mencarik uban pasangan.


Dapat buat satu perkara yang kemudian boleh diceritakan semula dengan penuh semangat setiap kali teringat, dah dikira berkualiti. Buat perkara bodoh berdua dan hanya kamu berdua saja yang faham, pun dah masuk dalam kategori masa berkualiti.


Layankan je. Buatlah apa saja yang boleh jadikkan hari-hari yang kamu berdua lalui benar-benar berkualiti.


5. Ghairah sentiasa.

Wah, kemain lagi. Asal sebut ghairah je, mula lah tu nak fikir sampai cerita dalam selimut. Ghairah di sini merujuk kepada ghairah bercinta. Tak kiralah walau dah berapa lama usia perkahwinan kamu. Jadikan seolah-olah baru mula-mula bercinta. Biar macam angau pun tak apa. Tidur tak lena, makan tak kenyang, mandi tak basah bila seminit tak dengar khabar berita.


nov09 016[4] copy

Tahukah kamu bahawa perkara kecik yang kadang-kadang kita anggap remeh dan terlepas pandang, bila kita sesekali lakukan, boleh buat pasangan kita senyum sampai ke telinga?


Sentiasa beri pujian dan kata-kata manis untuk pasangan. Kalau boleh, setiap hari. Flirting dari jauh pun boleh, apa. Jangan sia-siakan segala bentuk teknologi telefon, sms, webcam, internet yang ada. Biar pasangan sentiasa berasa dekat dengan kita.


Tapi ingat, jangan sampai tahap baju kemeja warna apa yang patut dia pakai esok, kat mana dia perlu makan tengahari dan pukul berapa perlu masuk tidur semua pun kita nak masuk campur. Itu bukan ghairah, itu dah kes parah!


Bersederhanalah dalam semua perkara.


hepi 005

Yang terpenting antara semua, jangan takut untuk letakkan kepercayaan pada pasangan.


Percaya pada kesetiaan dia walaupun terang-terangan dia selalu cerita pasal amoi seksi di pejabat. Percaya pada setiap kata-katanya walaupun kita dah tahu mesti ada jugak terselit satu takpun dua temberangnya. Percaya pada setiap tindak-tanduk dia selagi tidak melangkaui batas contohnya perlakuan degil tak mahu potong rambut demi ingin menghayati watak seorang rockers (-_-")


Percaya pada kententuan Tuhan.

Mohon DIA pelihara perhubungan kita agar sentiasa di bawah lindungan kasih sayang-Nya. Jauhi daripada malapetaka, bencana, fitnah serta hasad dengki. Dan, berkekalan hingga ke akhirnya.



HER : Orang kata, bila jauh bau wangi, dah dekat bau tahi. Pada aku, lagi dekat, lagi kuat bau tahi, lagilah termimpi-mimpi.

Wednesday, November 18, 2009

Sepatu Merah.

Sebab aku pakai kasut tumit tinggi warna merah, maka aku pun membawak sekali muka konfiden artis pergi kerja pagi tadi.

vistana 052


Sampai-sampai je, macam biasa, thumb print, lepas tu cabut lari minum pagi. Dan, seperti biasa jugak akan melalui kaki lima yang dipenuhi oleh pelajar-pelajar duduk bersidai nak tunggu kelas pukul 8 bermula.


Bak kata pepatah, yang muda disayangi, yang tua dihormati.


Kiri kanan aku, pelajar tak putus-putus bagi salam dan ucap selamat pagi. Tapi, kali ni lain macam sikit ucapan mereka. Siap ditambah dengan ayat,


“Cik puan, mintak sain”


Masih lagi berbekalkan muka konfiden artis tadi, aku pun membalas, ‘nak sain, datang jumpa saya kat ofis, bukan main mintak-mintak macam ni’. wah. Kemain garang lagi.


Masuk bilik pensyarah, disambut pulak oleh senyum-senyum manis (ada makna) pensyarah lain. Muka konfiden artis aku jadik pudar sedikit sebab dalam hati dah terdetik,


Ada benda yang tak kena ke dengan aku hari ni?

Apasal diorang senyum semacam je bila pandang aku?

Kain aku koyak kah?

*fobia terhadap seluar koyak Cfu masih belum kebah*


Mungkin sebab kasut tumit tinggi merah menyala yang aku pakai kot, agaknya. Dari jauh dah bersinar-sinar menyilaui pandangan mata. Sengaja reka alasan nak sedapkan hati sendiri.


Dan, aku pun pasang semula muka konfiden artis bersepatu tumit tinggi merah yang nyaris pudar tadi.


Hinggalah sampai ke satu tahap, aku terkedu bila ternampak di setiap tiang dan dinding-dinding di sekitar kampus, bersepah-sepah dengan banner ini.

.

.

.

vistana 051

Ya, anak-anak.

Let’s read together.

T_____T

Tu dia. Macam mana lah muka aku tengah tunggu nak bukak puasa kat Restoran Penyu tempoh hari boleh bersidai kat sini? Siap dengan bunting saiz 8 kaki pun ada, hah.


Boleh pulak gambar makanan depan aku tu berubah menjadik sebuah buku. Begitulah lah hebatnya kuasa Photoshop. Dah tu, kenapa tak dibuangnya jerawat nasik yang tersergam indah kat pipi kiri aku, weh.


Sebab aku pakai kasut tumit tinggi warna merah, maka aku pun terpaksa membawak sekali muka konfiden artis ke hulu ke hilir sepanjang hari. tsk.



HER : Kalau aku bukak kes, mintak royalti, mau boleh jadik jutawan segera nih.

Sunday, November 15, 2009

Tulah.

Di kala aku patut menikmati hidangan air coklat kacip fatimah panas waktu pagi dengan penuh rasa nyaman, terganggu.

Potong betul.


akept 062

Nak lari pergi sini, lah. Baru betul-betul nyaman.


Semua gara-gara seorang anak murid yang tak sudah-sudah menimbulkan masalah. Tak pernah satu hari dia tak bikin kehidupan aku huru-hara. Kadang-kadang, terfikir jugak aku, adakah ini sejenis ‘tulah’ yang terpaksa aku tanggung selama bergelar seorang pensyarah?


Padan muka.

Siapa suruh nakal-nakal masa zaman belajar dulu.


Dulu selalu datang lambat pergi kelas, kan dah dapat anak murid yang suka datang lambat jugak. Pastu bagi alasan tak jumpa carik kelas, cirit birit, tertidur mati, kucing beranak songsang dan segala macam lagi lah.


Paling tak boleh blah, alasan traffic jam. Kat celah mana lah kau lalu sampai tersangkut traffic jam kat Terengganu ni, anak murid oiiii. Kot iye pun nak menipu, cuba lah buat cara terhormat sikit.


Nak dirotan, masing-masing dah besar panjang. Nak dicubit, kang aku dituduh buat sexual harrasment pulak. Nak bagi ceramah, masuk telinga kanan keluar telinga kiri.


Aku jugak yang sakit hati.


Sudahnya, aku denda suruh baca doa Qunut sorang-sorang. Yang bukan Islam, aku suruh baca doa diorang lah. Ambik ko. Terkulat-kulat ‘uukkk aaakk, uuukk aakkk’.


Aku sekadar gelak guling-guling dalam hati.


Mana boleh gelak kuat-kuat, weh. Imej kena jaga. Muka mesti serius. Jadik cikgu kan kena garang. grrrrr. Gerun tak?


New Picture (1)

please, please, please, kamu jangan nakal.



HER : Rasa macam nak mengajar kat tadika je. Biarlah terseksa kena basuh berak kencing diorang daripada pening nak handle masalah anak-anak remaja zaman sekarang.

Sunday, November 8, 2009

Perompak!

Selama ni, kalau Cfu telefon aku dalam nafas mencungap-cungap, aku tak pernah rasa hairan. Sebab, dengan fizikal ‘terbaru’ dia ni, baru panjat 5 anak tangga, bunyik hembus nafas je, dah lebih kurang sama macam bunyik serombong kapal. heh.


Tapi, 3 hari lepas, bunyik nafas cungap dia betul-betul buat aku cemas. Macam tak boleh bernafas.


“ Orang kena rompak.”

Terdiam kejap aku dari terkekek-kekek ketawa sebelumnya.


Cfu dalam perjalanan ke Pasar Seni, nak ambil stok barang jualan. Tak semena-mena, (penat carik perkataan nak gambarkan betapa ia terjadi tanpa disedari) datang seorang budak kutu rayau mintak seringgit. Cfu tak bagi. Bukan sebab kedekut tapi sebab memang dia betul-betul takde hatta sehelai pun duit kat dalam wallet.


Dia teruskan berjalan dan tak ambik pot hal duit seringgit tadi.


Nak dijadikkan cerita, dalam dok Cfu tengah leka mengushar amoi yang lalu-lalang, dia perasan macam berangin sepoi-sepoi je kat bahagian belakang. Hingga mendorong dia untuk meraba diri sendiri. Raba punya raba...


Tiba-tiba, danggggg!!!

Malapetaka apakah ini?!!


oldies 007

Suami peliharaan ku dalam keadaan separa sedar telah menayang hampir separuh punggung dan Renoma merah nya ke seantero alam, berjalan dari Pasar Seni hingga ke Petaling Street dengan seluar koyak-rabak akibat ditoreh pisau ni!


Puas Cfu cuba ingat bila, di mana dan bagaimana insiden ni berlaku. Tapi, gagal. Dia cuma ingat sampai setakat jumpa kutu rayau seringgit tu dan alih-alih sedar seluar dia dah koyak sebesar saiz dua penumbuk bouncer itu. Gila ah misteri nusantara.


Masa aku dengar Cfu cerita kat telefon, aku bayangkan koyak biasa-biasa je. Ingatkan seluar dia tersangkut kat paku ke apa. Tapi, bila dah tengok dengan mata kepala sendiri, memang aku boleh sahkan ia adalah hasil dari torehan pisau! Yang sangat tajam, semestinya.


Syukurlah dia tak toreh orang nya.

Kalau tak, aku toreh bijik mata kau sampai juling, PEROMPAK.


Bila aku cerita kat kawan-kawan, masing-masing pun ada cerita yang lebih kurang sama. Rupanya, memang tengah musim orang merompak dengan modus operandi yang sama. Tak main dah seluk-seluk. Dia torehhhh je! Kempunan nak jadik penoreh gamaknya. Habis haa seluar (kat bahagian poket belakang, tempat orang lelaki biasa selit wallet) dan beg tangan perempuan jadik mangsa torehan.


Diorang pakai prinsip ‘toreh dan menang’. Toreh seluar, dapat wallet. Toreh beg boleh dapat pakej, purse dan handphone sekaligus. Dapat sekali MP4 atau PSP dikira sebagai bonus. Lepas ni, aku nak letak ular sawa dalam beg. Toreh, toreh, keluar ular, belit kau sampai mati. Rasakan.


Yang jadik kemusykilan, setiap mangsa memang tak sedar masa kejadian sedang berlaku. Kalau fikir logik, orang dok toreh seluar atau beg tangan LV kau dengan pisau, takkan lah tak perasan, kan? Aku rasa, memang ada unsur-unsur misteri nusantara sikit lah.


uii.. seram.


Jadik, berhati-hati lah wahai kamu sekalian.

Jenayah tak kenal mangsa. Siapa-siapa pun boleh kena. Tak kira di mana-mana saja. Dengan bermacam-macam cara.


Mintak Tuhan sentiasa lindungi kita.


oldies 006

Hingga ke saat ini, aku masih tak dapat terima hakikat betapa suami peliharaanku telah dinodai oleh mata-mata perempuan lain selain dari aku. oh, tidakkk.



HER : Sakit hati ku bagai ditoreh sembilu.