Setelah berkali-kali cuba bertahan, aku tewas jua akhirnya.
Tanggal 11.11.11.
Secara rasminya, aku dah berhenti mengepam susu untuk Alfiy :(
Inipun bukan disengajakan. Semua gara-gara kecuaian diri sendiri yang tersilap letak breast shields entah kat mana. Ghaib tak dapat dikesan. Mula-mula berhenti mengepam, memang engorged. Sakitnya, Tuhan saja yang tahu.
Sedih? Of course!
Mak mana yang tak sedih bila tak dapat beri yang terbaik untuk anak.
Bila dikenang kembali, aku pernah beritahu dulu yang aku mahu menyusukan Alfiy secara ekslusif selama 6 bulan, dan kalau dapat buat hingga dia berusia 2 tahun, dianggap sebagai bonus. Jadi, aku andaikan tiada bonus untuk aku kali ni (-_-")
Siapa kata menyusukan anak tu perkara mudah?
Biarpun pada mulanya timbul jugak rasa susah, penat dan putus asa, aku gagahkan jua demi memberikan hanya yang terbaik. Ia memerlukan semangat kental, motivasi tinggi, mentaliti positif dan paling utama adalah galakan daripada orang sekeliling. Setakat kata-kata seperti, ‘tak cukup susu’, ‘anak lapar’, ‘susu badan tak cukup khasiat’, ‘leceh’, ‘anak susu ibu kurus’ dan pelbagai kata-kata bisa yang meracun semangat sudah cukup lali buat aku.
Mula-mula masuk kerja lepas berpantang, terpaksa berdepan dengan masalah nak mengepam di pejabat yang tak mesra breastfeeding. Merasalah mengepam dalam stor, kat celah-celah partition dan sebagainya. Dapat curik-curik mengepam kat surau 3 jam sekali pun dah dikira sangat bertuah. Itu belum cerita tentang kepayahan nak mengepam dan menyusukan bila terpaksa kerja out station. Bukan semua orang faham tentang komitmen seorang ibu yang menyusukan. Kalau kena sekitar Lembah Klang, takde masalah. Aku sanggup berulang-alik. Tapi, kalau kena jauh, nak tak nak, terpaksa tinggal anak, bekalkan dengan hasil susu perahan, kemudian usung lah pam susu ke hulu ke hilir untuk menggantikan stok susu perahan, tanpa kenal erti jemu.
Sewaktu menyusukan secara ekslusif selama 6 bulan, aku perlu bawa pulang sekurang-kurangnya bekalan susu perahan sebanyak 24 oz sehari. Semakin hari, usia Alfiy kian meningkat, kuantiti susu hasil perahan macam tak mencukupi. Faktor single pump pun memainkan peranan. Sekali pam, dalam tempoh 20 minit, dapatlah 5 oz each. Nak cukupkan 24 oz, aku kena pam 4-5 kali sehari. Terkejar-kejar aku dibuatnya. Itu belum masuk stok susu yang perlu disimpan. Perasaan cemas setiap kali tengok susu perahan tidak mencukupi, tidak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. Silap haribulan, boleh menitis air mata!
Lumrah menjadi manusia yang tak tahan dugaan dan susah-payah, hampir setiap hari aku mengeluh. Ada hari, timbul perasaan leceh melampau nak usung beg pam dan segala macam aksesorinya tu. Ditambah dengan rasa penat nak mengepam banyak kali setiap hari. Mujurlah Cfu memahami. Dia seboleh mungkin cuba bantu meringankan ‘bebanan’ yang aku tanggung dengan kata-kata semangat dan tak kurang juga dengan membelikan gadjet penyusuan tercanggih dan terbaik di pasaran, walaupun diri sendiri hampir bankrap :p
Maka, dengan pertolongan Medela FS, aku bangkit kembali. Lepaslah nak dapatkan 20 oz sehari dengan dua kali sesi mengepam dalam masa 20 minit. Praktikal bukan? Stok susu perahan pun kembali meriah. Kalau dah tak dan sangat pun, aku selamba mengepam sambil memandu. Dengan syarat, nak kena duduk lane paling kiri lah.
Tidak keterlaluan kalau aku katakan pam susu yang baik dan sesuai sangat menyumbang terhadap penyusuan yang berjaya. Ikut pengalaman sendiri, penggunaan pam manual dan pam bateri telah menjatuhkan motivasi untuk menyusukan hingga ke tahap 50%! Alasan seperti cepat penat, lambat, tak berapa selesa,
suction sakit sampaikan boleh
cracked dan berdarah, sakit belakang, tengkuk dan sebagainya berupaya menjadi pembunuh semangat mengepam secara senyap. Bila dah jadik kes macam ni, macam mana nak tingkatkan motivasi untuk terus mengepam dan menyusukan, kan? Memang cepat je rasa putus asa tu datang nak merasuk diri.
Usaha menyusukan dan mengepam ni diteruskan lagi hinggalah sampai ke satu tahap, aku dapat rasakan kuantiti hasil perahan merudum secara tiba-tiba. Rupa-rupanya, ketika itu aku tak sedar sedang hamil kali kedua. Perubahan hormon juga menyebabkan proses menyusukan bertukar menjadi satu pengalaman yang cukup menyakitkan. Sakit belakang pun makin menjadi-jadi. Namun, aku tidak endahkan semua rasa sakit demi Alfiy.
Apabila mengalami keguguran, aturan hormon kembali berubah. Kuantiti susu pun bertambah. Masih ada rezeki Alfiy untuk menyusu badan tanpa bantuan susu formula dengan lebih lama. Walaubagaimanapun, sejak dijangkiti HFMD tempoh hari, Alfiy dah mula menolak minum susu perahan. Dia lebih sukakan yang segar dari ‘ladang’. Berbotol-botol stok susu perahan terbuang macam tu je. Semangat aku pun mula luntur sedikit demi sedikit, sehinggalah berlakunya kejadian pada tarikh keramat 11.11.11 seperti yang aku nyatakan di awal cerita tadi.
Hari ini, usia Alfiy dah mencecah 1 tahun 3 bulan.
Sepanjang berada di nurseri, dia dibekalkan dengan susu formula. Biarpun begitu, seboleh mungkin, aku masih lagi berusaha breastfeed secara terus selepas pulang dari kerja, waktu malam dan hari-hari cuti di mana aku berpeluang untuk sentiasa berada di samping Alfiy. Mudah-mudahan Tuhan masih sudi melimpahkan rezeki-Nya sehinggalah Alfiy berusia 2 tahun nanti.
Tak dinafikan, ada kalanya terasa ingin mengalah, cepat-cepat aku kuatkan semangat. Cuba pujuk diri supaya lebih bersyukur kerana diberi rezeki untuk menyusukan anak sendiri selama mungkin yang diizinkan oleh-Nya kerana masih ramai lagi ibu di luar sana tidak berkesempatan melakukan perkara yang sama.
Buat ibu yang masih gigih mengepam dan menyusukan, tahniah dan teruskan usaha murni kalian. Sesungguhnya, setiap kebaikan memerlukan pengorbanan. Kepada yang sudah mencuba tetapi masih tidak berjaya, jangan putus asa. Berhenti menyalahkan diri. InsyaAllah akan ada rezeki di lain kali. Manakala bagi yang sedang merencana, usaha sehabis baik, takkan berubah nasib seseorang kalau dia sendiri tidak berusaha mahu merubahnya. Kita tahu di mana tahap kemampuan diri kita sendiri, kan? Tolaklah sejauh mana dan julanglah hingga petala langit ketujuh pun, kalau diri kita sendiri dah tentukan “That is it!”, maka di situ lah noktah nya.
Yang penting, nawaitu, ikhtiar dan selebihnya kita berserah.
Dan, kisah ini diceritakan bukan untuk meninggi diri, jauh sekali buat bermegah. Sekadar berkongsi pengalaman sekangkang kera yang ada, agar yang baik dapat dijadikan tauladan serta panduan, yang buruk pula dijadikan sebagai iktibar dan sempadan.
My breastfeeding story in 100 words.
:)
HER : Selalu percaya pada peluang kedua.