Tuesday, January 17, 2012

Kompilasi 2011.


Biar lambat, asal selamat.


Tak seperti tahun-tahun yang sudah. Setiap kali sebelum masuk tahun baru, aku dah siap merangka entri 'Kompilasi' (Baca : Kompilasi 2010, Kompilasi 2009) sepanjang tahun. Disebabkan terlalu banyak aral melintang pada penghujung tahun lalu, maka entri kompilasi tahun ni sekadar adanya.


Selain kisah suka, duka, jatuh, bangun, gembira, mengembara dan penuh sandiwara, Tahun 2011 bagi aku lebih untuk keluarga. Sedang dalam peringkat bertatih mengharungi alam keibubapaan yang penuh warna. Mudah-mudahan diberi kekuatan dan semangat untuk terus menjadi Mama yang baik kepada Alfiy serta isteri yang menyenangkan buat Cfu.


Tahun ini juga diuji dengan perasaan 'kehilangan'.


Mengalami keguguran pada pertengahan tahun. Menghadapi pemergian Nenda tersayang pada penghujung tahun. Sungguh, perasaan 'hilang' adalah terlalu sukar untuk diharungi. Namun, rasa itulah yang mengajar kita agar bersyukur. Hargai setiap perkara sementara ia masih ada.


Biar apapun corak yang telah terlukis dan arah mana pun laluan yang telah dipilih di sepanjang tahun ini, tiada sikit pun timbul rasa kesal di hati. Setiap pengalaman sama ada pahit mahupun manis, merupakan guru terbaik dalam usaha untuk menjadi insan yang lebih baik.



Besar harapan aku taruhkan agar sentiasa ada peluang kedua untuk memperbaiki diri di masa akan datang.


Selamat Datang Tahun Naga!
Semoga tuah datang melimpah sehebat namanya.




- Posted using BlogPress from my iPad

Thursday, January 5, 2012

Embah Nenda.

P1020572

Al Fatihah khususan ila Allahyarhamah Hjh Sipang bt Masalam; nenda yang dikasihi telah kembali ke rahmatullah pada 31.12.2011 yang lalu.


Selepas lebih sebulan keluar masuk hospital, Embah pergi jua akhirnya.


Hampir saban minggu kami pulang melawat Embah di Hospital Muar. Sempat jugaklah Embah bermain-main dengan cicitnya; Alfiy, buat kali terakhir. Terkenang-kenang pada senyuman bahagia Embah melihat telatah Alfiy ketika itu. Biarpun tak sempat bersama-sama dengan arwah tatkala saat-saat beliau ‘dipanggil’ Tuhan, aku tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk membantu memandikan, mengkafankan dan menyempurnakan Embah.


Buat pertama kali dalam hidup, aku kuatkan diri untuk membantu menyempurnakan jenazah. Melangsaikan tanggungjawab sebagai seorang cucu; berbakti bagi kali yang terakhir. Juga menunaikan Fardhu Kifayah seorang Muslim.


Di setiap siraman, air mata tak berhenti mencurah. Setiap kali mahu menggerakkan jenazah, hati tak berhenti bertanya, “Sakit tak dia?”, “Sejukkah dia?”, “Apa yang dia rasa?”.


Terbit rasa insaf yang cukup dalam. Ketika sampai masa aku nanti, siapa pula yang akan memandikan aku? Siapa yang sudi sempurnakan jenazah aku? Di mana aku akan disemadikan? Adakah aku cukup bertuah untuk punya anak, cucu dan cicit soleh solehah yang boleh menyempurnakan jenazah aku sepertimana Embah?


Wallahua’lam.


Lewat hari pengebumian, aku mengucup wajah bersih Embah yang pergi dengan begitu mudah, dengan dikelilingi oleh anak-anak dan orang kesayangannya. Pada hari tu, aku rasakan bau kapur barus yang digunakan untuk memandikan Embah adalah yang paling wangi dalam dunia. Sedikit bedak dan celak Mekah dioles nipis pada wajah Embah. Berseri-seri Embah ketika kembali menghadap Penciptanya.


Semoga Embah damai di sana.
Ingatan anak, cucu dan cicit sentiasa mengiringi di setiap solat dan doa.


Al Fatihah.



HER : Embah adalah panggilan untuk nenek atau atuk dalam Bahasa Jawa.