Sejak akhir-akhir ni, aku suka sangat menonton filem-filem lama. Itu tak masuk filem P.Ramlee. Mesti tak terlepas tengok kalau ada tayangan filem hitam putih ni kat channel Prima. Katalah aku berjiwa tua. Tak rock ke apa. I’m truly a big fan of him.
Baru lepas tengok cerita Shallow Hal. Pelakon utamanya Gwyneth Paltrow dan Jack Black. Pertama kali tengok cerita ni masa zaman sekolah menengah dulu kot. Kalau tak silap la.
Cerita ni pasal lelaki yang jatuh cinta dengan seorang perempuan saiz XXXL. Padahal selama ni, lelaki tu terkenal dengan sikap sangat memilih dan mementingkan kesempurnaan. Semua ni terjadi lepas dia terjumpa dengan seorang doktor psikologi. Lelaki ni tak sedar yang dia telah dihipnosis oleh doktor tu. Akibatnya, dia melihat setiap orang yang kalau kita lihat pada mata kasar; tidak cantik, cacat, tidak sempurna fizikal, kelihatan sangat cantik kerana baik hati dan budi pekerti.
Sebaliknya, dia nampak seseorang yang cantik dan sempurna kelihatan sangat hodoh kerana berhati busuk. Kiranya, kecantikan dalaman seseorang tu terzahir pada luarannya setiap kali dipandang oleh lelaki ni. Padahal orang lain tak nampak sama macam yang dia nampak. Sampaikan dia nampak beberapa orang kanak-kanak yang mukanya melecur teruk sebab kebakaran, yang orang lain takut nak pandang apatah lagi nak duduk belai mereka, kelihatan sangat comel dan tiada cacat celanya.
Habis je tengok cerita ni, terfikir pulak, kan ke bagus kalau kita semua kena hipnosis sama macam lelaki tu. Kita dapat melihat kecantikan sebenar setiap orang. Kecantikan dalaman. Bukan kecantikan luaran yang macam kita dapat lihat sekarang. Cantik yang belum tentu asli. Yang belum tentu sama cantik dengan di dalam.
Kita dah biasa disajikan dengan definisi cantik atau tampan itu mesti kurus ramping, berkulit mulus, tinggi lampai, berleher jinjang, berbadan sasa, berkulit cerah, pipi pauh dilayang, bibir merah merekah, gigi elok tersusun, rambut panjang ikal mayang dan macam-macam lagi, buatkan orang kita kadang-kadang leka. Hanyut dengan definisi cantik yang kita hanya boleh nampak pada zahirnya. Sampai sanggup mengeluarkan kata-kata sindiran atau gurauan yang mereka tak sedar kadang-kadang boleh dianggap sebagai satu bentuk penghinaan.
Contohnya, situasi yang biasa berlaku di mana-mana, kata-kata seperti “Oh, aku dah gemuk!” oleh seseorang yang dah sedia kurus setiap kali lepas dia makan agak banyak. Tak mustahil kata-kata tu tadi akan menyinggung perasaan orang yang bersaiz besar sikit daripada dia. Dan mungkin dalam nada bergurau, orang yang mungkin agak tersinggung tadi akan berkata, “Kalau macam kau ni gemuk, aku ni apa?” sambil pura-pura ketawa.
Dalam satu situasi berbeza pulak, dah biasa berlaku dalam mana-mana majlis perkahwinan yang aku pergi, ada saja mulut-mulut yang berbunyi, “Eishh. Tak seimbang. Seorang kurus kering. Seorang pulak montel. Senget pelamin.” , “Macam siang dan malam.”, “Tak padan langsung.”, “Muka macam bulan, penuh parut jerawat.”.
Tak cukup dengan kata-kata, diiringi pulak dengan pandangan jelik, ketawa sinis dan mimik muka yang menjengkelkan.
Jangan cepat melatah.
Terima je lah. Orang kita memang macam ni. Kadang-kadang, diri kita sendiri termasuk lah aku sendiri pun, secara di luar sedar, ada jugak terdetik kat dalam hati.
Kenapa?
Sebab kita dah dibiasakan dengan definisi cantik tadi tu lah.
Belek majalah, bukak TV, surat khabar hingga ke komik sekalipun, tetap memberi definisi yang sama pasal cantik. Mungkin ada jugak yang tak setuju. Sebab ada jugak di kalangan kita yang kata, kurus dan ramping itu tidak cantik. Ada jugak yang kata, yang berjambang macam Osama Laden lebih kacak dari yang bermuka jambu. Tapi, perlu kita ingat, itu semua hanya kecantikan luaran. Hanya pinjaman dari tuhan, yang bila-bila masa je boleh ditarik balik. Wajah yang kacak bak hero remaja dan jelita bagai Rozita Che Wan sekalipun tak boleh dibawa hingga mati.
Sebab tu lah aku akan rasa sangat bersyukur kalau dikurniakan bakat luar biasa ataupun dihipnosis oleh doktor dalam cerita Shallow Hal tadi, supaya dapat melihat kecantikan dalaman yang terzahir pada wajah setiap orang. Sebab kecantikan dalaman itulah yang sejati. Dibawak hingga mati.
Macam mana nak lihat kecantikan dalaman seseorang?
Setiap kata orang tua itu ada betulnya. Orang tua selalu nasihatkan kita kalau nak cari sahabat atau pasangan hidup, kenali dulu hati budinya. Jatuh cinta dengan dirinya dulu sebelum jatuh cinta dengan wajahnya.
Satu lagi nasihat orang tua yang sangat berguna; lebih baik bersama dengan orang yang lebih mencintai diri kita berbanding kita mencintai dirinya. Sebab orang ini akan berusaha sedaya upaya, sanggup berkorban apa saja untuk melindungi, menjaga dan menyayangi kita dengan sepenuh hati.
Itu jugak satu bentuk kecantikan yang tak dapat nak dibeli di mana-mana.
Melaburlah beribu-ribu ringgit pun untuk suntikan Botox atau pembedahan plastik, kita tak mungkin dapat kecantikan macam ni, yang duduknya di dalam hati.
Pejam mata.
Tarik nafas dalam-dalam.
Cuba hipnosis diri sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tak baik marah-marah, tau. Cepat kedut nanti.