Tuesday, December 23, 2008

Aku. Muzik. Kamu.

Seperti yang semua sedia maklum, sekarang ni aku ada kembar siam lain mak, lain bapak, iaitu Encik TV. Melalui dia, aku kenal lebih ramai lelaki seksi di kaca TV selain daripada McDreamy.

err... tapi aku perlu kata, McSifu aku adalah makhluk tuhan paling seksi.

Satu, sebab dia laki aku. Siapa lagi nak kata dia seksi kalau bukan aku, kan.

Dua, sebab dia sanggup menggemukkan diri semata-mata nak habiskan semua makanan yang aku masak, sebab tak nak aku rasa kecik hati pulak kan kalau dia makan sikit lepas aku bertungkus-lumus memasak dengan penuh kasih sayang untuk dia.

Tiga, sebab dia dengan rela hati berusaha sedaya upaya memuatkan diri dalam kemeja putih sendat, bertahan selama beberapa jam pergi ke majlis jamuan tahunan kompeni dia semata-mata nak dapatkan door gift ini untuk aku.

Benda alah ni lah.

Teringat masa benda alah MP4 ni mula-mula baru keluar dulu. Aku pun sibuk-sibuk nak ada jugak. Korek duit biasiswa, ikat perut makan megi je, pergi IT Fair beli dengan harga beratus-ratus jugak lah. Sudahnya, habis rosak kat tangan adik aku yang liar dan buas. Tak sempat aku nak curah kasih sayang sepenuhnya. Sebab tu lah aku beriya-iya paksa laki aku pergi jugak jamuan tu walaupun dia tak ambil kisah pun dengan Nabil lu pikir lah sendiri dan Ella lentok yang buat persembahan pada malam tu.

Maka dengan itu, sekarang ni aku dah ada satu lagi kembar siam baru. Mata tengok TV, telinga sumbat earphone, tangan menaip entri blog. Wah, multitasking! Dengan kata lain, tamak. Sampaikan aku terlepas adegan paling bodoh dalam cerita Epic Movie yang sedang aku tonton ni. Betullah lah kata emak, orang tamak selalu rugi, bagai anjing dengan bayang-bayang. Mak memang dah lama kena sindrom Karam Sigh Walya.

Aku pernah ambil ujian kecenderungan pelbagai atau dikenali sebagai multiple intelligence. Teori ni kata, kebijaksanaan manusia tergolong dalam banyak kategori. Contohnya, dari segi inter dan intra personal, kinestatik, logik, bahasa, muzik dan sebagainya. Mengikut teori ni, kalau kita tak dapat A1 dalam matematik tambahan dalam SPM, tak bermaksud kita tak berapa nak pandai, tak boleh masuk universiti. Sebab biasanya, orang yang tak berapa cekap tambah, tolak, darab, bahagi nih lebih cekap dalam mencari kesilapan tatabahasa. Teori ini juga menunjukkan betapa kebijaksanaan seseorang tidak boleh diukur melalui pencapaian akademik semata-mata. Kalau terlalu genius dan fokus akademik saja pun bahaya. Tengok saja kesudahan si Sufiah dan anak angkat Ungku Aziz tu.

Lepas beberapa kali ambil ujian ni, aku punya kecenderungan yang hampir sama banyak dari segi inter-personal, bahasa dan muzik. Dilahirkan dalam lingkungan kaum keluarga yang rata-ratanya cikgu, tak hairan la aku punya banyak gen dan baka bagi dua kategori pertama tu. Tapi, bagi kategori muzik, itu satu kisah yang lain. Sebab takde pulak keluarga aku yang jadi cikgu muzik ataupun jadi peserta Akademi Fantasia.

Bila tanya Abah, Abah kata, sejak kecik lagi aku tak boleh belajar tanpa radio. Masa darjah 6, Abah siap belikan radio kecik untuk aku. Bila masuk sekolah asrama, Abah belikan walkman pulak. Ingat lagi, aku selalu seludup masuk walkman masa kelas prep ataupun masuk perpustakaan. Aku memang tak boleh belajar kalau sunyi sepi. Aku perlukan muzik sederhana yang tidak terlalu bingit sampai taik telinga mencair pada takat didih, bukan juga terlalu perlahan sampai boleh buatkan aku berkhayal nyanyi naik buaian dan berjumpa putera raja.

Aku jugak masih ingat, masa darjah 2, aku masuk pertandingan nyanyian lagu KBSR. Pakai kostum rama-rama, letak sesungut kat kepala, muka ditabur serbuk perada, nyanyi lagu ‘Lihat itu Rama-rama’ yang aku masih boleh ingat tiap bait lirik lengkap dengan gayanya sekali. Lepas tu, aku nyanyi nasyid pulak. Aku jugak masuk koir, talent time sekolah, teater muzikal, pancaragam dan okestra. Masuk universiti, aku masuk kelab muzik pulak. Aku main macam-macam alat muzik dari sekecik-kecik sopranino dan melodian sampai la ke sebesar-besar french horn. Aku boleh tahu lagu apa hanya dengan mendengar muzik permulaannya saja. Aku juga lebih mudah menghafal not muzik berbanding sifir!

Tapi aku masih tak faham, kenapa akhirnya aku akan menjadi seorang pensyarah, bukannya penyanyi ataupun ahli muzik?

Mungkin aku patut isi borang masuk Akademi Fantasia.

Dan dalam pada tengah kemaruk dengan ketagihan baru ni, aku dengar banyak lagu kegemaran yang banyak mengimbas kenangan masa lalu. Setiap lagu kegemaran aku, ada kisah di sebaliknya. Kalau dengar lagu Zombie oleh The Cranberries, aku ingat masa Darjah 5. Masa tu ikut keluarga berpindah ke sebuah perkampungan felda di Kota Tinggi. Masih ingat lagi rasa kekok nak ‘masuk’ dengan rakan-rakan sebaya yang dah biasa bawak motor tanpa topi keledar pusing keliling kampung. Sedangkan aku masih lagi terkedek-kedek mengayuh basikal Rally warna merah hadiah dari Abah sebab dapat nombor satu masa Darjah 2.

Kalau dengar lagu Torn oleh Natalie Imbrugalia pulak, aku ingat kisah cinta monyet masa Tingkatan 3. Aku jatuh cinta dengan seorang senior yang tua setahun kat sekolah. Tiap hari, mesti pura-pura sapu sampah kat belakang kelas dan menjadi suka sampai terkinja-kinja dalam hati bila si dia menegur. Masa tu, aku tak tau pun yang kalau kita tepuk sebelah tangan je, ia takkan berbunyi.

Dengar lagu Blind oleh Lifehouse pulak, buat aku teringat semula jerih payah menyiapkan Projek Sarjana Muda masa degree dulu. Lagu ni lah yang aku dok ulang-ulang setiap hari. Tak lupa juga lagu Leaving on a Jetplane yang menemukan aku dengan encik cfu tercinta. ehem.

Macam aku kata tadi, tiap lagu yang aku suka, mesti ada kisah di sebaliknya. Aku boleh ingat every little details pasal suatu peristiwa kalau aku dengar suatu lagu. Sampaikan baju apa aku pakai, dialog apa aku cakap pada masa tu pun, aku boleh ingat. Tak tahulah kalau semua orang pun sama macam ni. Ataupun hanya sebab aku punya kecenderungan dalam bidang tu.

Macam mana dengan kamu?

Tepuk dada, tanya telinga.

6 comments:

  1. haha..kite sama la beb..

    belajar xbley sunyi sepi..

    muzik adalah teman setia..

    :)

    ReplyDelete
  2. Aku takleh la dengar radio sambil study, bukan aku study nnt lirik tu plak masuk dalam pala hotak nieh. Kagum ngan ko, dengar radio sambil blaja, sampai master plak. Kalau aku dengar musik sambil balaja ntah ntah aku berada di tempat yang sama.

    ReplyDelete
  3. uhh..tertarik dgn cinte monyet anda.hehe sape tu?nape aku x tau??konpius.

    ReplyDelete
  4. cik oren >> hoyeh! kamu rox!


    momo >> wah. teori baru tu. boleh cuba.


    pari-pari >> err.. kisah lama tu. tade sape tau. overshadow dgn cinta monyet yg ko dan satu skola tau. hahaha

    ReplyDelete
  5. sgt menarik....!
    rahsia disebalik lagu kegemaran.... kite pn ade jugak! ahaks!
    tp cm tersama lak tang lagu LEAVING ON A JETPLANE tuh..... cume lagu itu bkn lagu 'penemuan cinta sejati' la....
    lagu tu is the lagu yg salu bie kite nyanyi kt phone before nk tido time cintun2 dulu.....
    heh! skang...jgn kata lagu... segala dengkuran maut jadi pendodoi nyeee...hihihi.... :D

    ReplyDelete
  6. dyh >> tang dengkuran tu memang dodoi wajib lah. huuu

    ReplyDelete

Tak baik marah-marah, tau. Cepat kedut nanti.