Thursday, December 19, 2013

44 Hari Edisi Kedua & Belasungkawa.

20131021_121915_thumb11

Alhamdulillah, 44 hari tempoh berpantang selamat diharungi dengan penuh jaya.

 

Separuh masa berpantang kat KL, separuh lagi kat Johor. Dua minggu pertama, kat KL, Mak Pak Mertua yang jaga. Dilayan macam puteri buluh betong. Betul-betul berehat, which I really needs the most. Kemudian, balik Johor, sambung berpantang, berurut badan, makan berhidang, Alfiy pun ada orang yang tolong tengok-tengokkan.

 

Pada hemat aku, tempoh berpantang ni sangat penting untuk proses pemulihan badan. Nak pulihkan otot yang tegang, sendi yang bengkok, waktu usung perut 9-10 bulan ke hulu ke hilir. Dengan putus urat waktu beranak lagi. Untuk stabilkan hormon pun iya jugak. Sebab tu kena jaga betul-betul waktu pantang. Mana yang elok, aku turutkan. Yang ke laut macam tak bagi minum banyak air, tak boleh makan buah semua tu, aku langgar. Badan kita, pandai lah kita menjaga. Nak pakai lama, kot.

 

Sampai lah masuk hari ke-30.

Masa ni lah, rutin berpantang aku jadik sedikit huru-hara.

 

Sengaja Tuhan nak uji, adik lelaki aku; Anip tiba-tiba diserang sesak nafas dan terus dimasukkan ke wad kecemasan (critical zone) kat Hospital Besar Kuala Lumpur. Habis dada dia ditebuk nak keluarkan cecair, darah dan udara dari paru-paru. Berkampung lah kat hospital selama 10 hari. Sampai sekarang masih tak tahu apa puncanya. Keputusan CT scan pun belum diketahui lagi.

 

Bila Anip dibenarkan keluar dari hospital, Mak masak makan tengahari lauk sedap-sedap, siap tanak ‘bubur merah, bubur putih’ (makanan adat orang Jawa tiap untuk meraikan sesuatu) sebagai tanda syukur. Nak dijadikkan cerita, elok je kami sekeluarga siap menjamu selera, tengah duduk-duduk bercerita nak bagi Anep kembali ceria, Abah terima panggilan telefon yang tidak dijangka.

 

Terjelepok Abah menangis teresak-esak sambil menyampaikan berita. Abang kesayangan dan paling rapat dengan Abah, mengalami kemalangan jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kali terakhir aku jumpa arwah masa berkunjung ke rumahnya hari raya aidilfitiri yang lalu. Kejadian ni betul-betul beri tamparan hebat pada kami sekeluarga. Dan, mengembalikan kenangan pahit sewaktu kehilangan Siwo (pakcik sebelah Mak) 5 tahun dulu; juga akibat kemalangan jalan raya.

 

Dalam nada sebak Abah kata,

“Patutlah dia beriya-iya nak datang tengok Anip kat hospital. Siap tumpang anak saudara dan balik naik bas sendiri..” Dan menurut Anip, Arwah yang menangis bila tengok Anip terbaring lemah dengan wayar dan tiub di sana sini.

 

Tempoh berpantang kali ni banyak dugaan.

Paling menguji emosi dan ketahanan jiwa yang akan di kenang sampai bila-bila. Bak kata orang, jangan sampai bentan, nanti meroyan.

 

P1070363

AlFatihah khususan íla Allahyarham Misnan bin Jurimi (1952-2013) yang kembali ke rahmatullah pada 1 Disember 2013.

 

 

HER : Ingatan buat Arwah Siwo yang dirindui selalu... AlFatihah.

2 comments:

Tak baik marah-marah, tau. Cepat kedut nanti.