Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata terakhirnya kat telinga sebaik saja aku selamat diijabkabulkan tempoh hari, sewaktu aku salam dan kucup tangannya,
"Tahniah, Ziha. Jalan dah ada. Tinggal nak mencoraknya je macam mana. Siwo sentiasa doakan yang baik-baik.."(Baca : Siwo adalah kata ganti nama diri 'Pakcik' atau 'Makcik' yang lebih tua dari ibu atau bapa kita dalam versi bahasa Jawa.) Tanggal 12 Januari 2009, aku dapat berita Siwo dan isteri kemalangan di Pekan, Pahang sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kota Tinggi, Johor. Kemalangan yang telah meragut nyawanya dalam sekelip mata. Pada usia 53 tahun, dia pergi dalam keadaan kami semua masih tidak bersedia untuk kehilangannya.
Dalam perjalanan pulang untuk menziarahi jenazah, kenangan manis semasa Arwah masih ada muncul satu-satu di ruang ingatan.
Sewaktu aku belajar di asrama penuh di Kota Tinggi selama 5 tahun dulu, dia menjadi 'ayah' aku di sana.
Sewaktu aku masih bergelut nak sesuaikan diri dengan dunia asrama, setiap hujung minggu, kalau tak dibawak aku balik ke rumahnya, dia tetap akan datang menziarah.
Bila tekak aku masih tak boleh terima nasik kawah dewan makan asrama, dibawakkan makanan kegemaran aku waktu tu; sambal tumis kupang.
Sebelum balik, mesti dititipkan dengan beberapa not Ringgit Malaysia serta kata-kata semangat dan motivasi, sambil menggosok-gosok kepala aku; perkara yang biasa dia lakukan setiap kali aku salam dan kucup tangannya.
Dan setiap kali tu jugak, aku yang konon-konon sangat menjaga personaliti diri masa kat sekolah dulu, secara automatiknya akan cakap, "
Siwo ni. Habis rosak tudung orang." sambil mencebik dan disambut hilai tawa Siwo yang 'meriah' dan cukup popular dalam kalangan keluarga kami tu.
Kalau dia datang sekolah dan aku pulak takde, sibuk pergi pertandingan debat sana sini ataupun aktiviti lain, dia mesti tinggalkan jugak sesuatu untuk aku, berserta nota yang biasa aku terima,
"Kepada Siti Markonah. Siwo datang tadi tapi Ziha tak ada. Good Luck dalam pertandingan. Jaga diri baik-baik. Belajar rajin-rajin. Jangan lupa solat. Dah dapat ni nanti, jangan lupa telefon.
Daripada : Siwo, Bandar Mas."
(Baca : Siti Markonah adalah nama gelaran aku kat sekolah suatu masa dulu semasa menyamar dalam minggu orientasi. Sudahnya, nama tu lah yang selalu jadik nama timang-timangan untuk aku oleh Siwo masa kat sekolah dulu.)
Dalam keluarga Mak, Siwo dianggap sebagai ketua keluarga selepas kematian datuk kami. Dia jugak adalah wali kepada adik-adik perempuan Mak yang lain. Sebab dia adalah anak lelaki yang paling tua walaupun dia yang nombor 3 daripada 12 adik-beradik.
Walaupun pegang tanggungjawab sebagai ketua keluarga yang besar, dia tetap macam Siwo yang aku kenal sejak aku kecik dulu. Sentiasa ceria, suka ketawa besar, penyayang, pantang jumpa karaoke dan tak pernah sekali pun aku nampak dia marah. Dia jadi tempat rujukan adik-beradik Mak untuk ambil sebarang keputusan. Dia jugaklah jadik penghibur kala semua orang berkumpul, berhimpit-himpit seramai 12 keluarga di rumah nenek.
Tiba-tiba semalam dia dah tak ada.
Rasa macam satu kehilangan yang sangat besar. Bukan bagi isteri dan anak-anaknya saja, malahan, bagi keluarga besar kami. Mungkin jugak turut dirasai oleh orang-orang sekeliling yang mengenalinya.
Sebab tu lah kata Mak, sewaktu jenazah Arwah masih lagi di bilik mayat Hospital Pekan, ramai saudara-mara, jiran tetangga, sahabat handai, jauh dan dekat, datang menziarah. Kemudian, semuanya menyusul hingga ke Simpang Ampat, Melaka; tempat Arwah dikebumikan. Kami semua setia menunggu sehingga jam 2 pagi sambil mulut tak henti-henti sedekahkan fatihah dan yassin untuk Arwah.
Sebelum solat jenazah, aku seka air mata dan kucup pipi serta dahinya. Masih terasa lagi sejuknya. Walaupun terlibat dalam kemalangan maut, wajah Siwo tetap sama macam semasa hayatnya. Takde sikit pun calar mahupun luka.
Dan seperti biasa, dalam qiamnya, dia sentiasa tersenyum untuk semua.
Al-Fatihah.
HER : Rasa terkilan sebab tak sempat nak berkunjung ke rumah Arwah sejak lepas berkahwin.