Macam mana nak mula, ye?
Payah rasanya aku nak menyusun kata-kata.
Belum pun sempat dikhabarkan berita gembira untuk dikongsi bersama kawan-kawan di sini, sebaliknya berita sedih pulak yang datang mengganti. Begini kisahnya...
Sebenarnya, aku dah mula mengalami simptom awal kehamilan beberapa minggu lalu. Tapi, sebab terlalu konfiden yang aku tidak mengandung kerana sedang merancang, aku tak ambik pot pun kat simptom tu semua. Sehinggalah sampai satu tahap, Cfu cakap aku terlalu kuat makan dan banyak tidur, dia paksa jugak aku untuk buat ujian kehamilan.
Teringat lagi waktu aku buat pregnancy test di rumah, terkinja-kinja kami laki bini bila nampak ada dua line yang muncul. Gembiranya kami bukan kepalang! Sama macam sewaktu kami terima berita tentang kehadiran Alfiy dalam rahim aku, setahun yang lalu. Selepas berjumpa doktor, benarlah, aku telah disahkan hamil anak kedua. Dan, dijangka akan melahirkan pada awal Mac 2012. Tahun Naga. Banyak ‘ong’ kata orang Cina.
First scan at 6th weeks.
Maka, bermulalah episod kehamilan kali kedua buat aku.
Aku melalui hari-hari seterusnya dengan penuh rasa bunga-bunga ceria. Tak tahu lah kenapa, sewaktu ramai orang rasa gerun untuk punya anak rapat-rapat beza selang 1-2 tahun, aku pulak semacam gembira, tak sabar nak punya anak yang ramai sementara usia masih muda. Pada awalnya, memang rasa macam cuak, tak tahu sama ada aku mampu atau tidak untuk handle dua orang anak. Yang satu ni pun, terkial-kial je rupanya. Tapi, hari demi hari aku lalui bersama kandungan baru ni, seakan-akan beri kekuatan bahawa tiap anak tu, ada rezekinya.
Berbeza dengan kehamilan sebelum ni, simptom mual, pening dan muntah semua tu aku alami selama beberapa minggu je. Lepas tu, terus rasa macam biasa. Cergas sentiasa. Puasa pun takde masalah. Menyusukan Alfiy dan mengepam setiap hari pun seperti biasa. Cuma, kuantiti susu tu agak berkuranglah jumlahnya. Sampaikan kadang-kadang aku lupa yang aku tengah mengandung. Pernah jugak terdetik dalam hati, "Eh, ni jadik ke tidak ni. Macam tak rasa apa-apa je."
Setiap hari, aku akan tersenyum-senyum sendiri bila baca kisah perjalanan dan pengalaman kehamilan kedua yang dialami oleh rakan-rakan kita yang lain macam Hannah Johary, Aishah Rahim, Ana dan ramai lagi. Bukan niat untuk berahsia, cuma sedang menunggu masa dan waktu yang sesuai untuk diumumkan kat blog cabuk nan satu ni.
Namun, ditakdirkan masa yang sesuai tu macam takkan kunjung tiba.
Kelmarin, aku mengalami pendarahan. Tak banyak, cuma spotting berwarna kecoklatan dengan diiringi rasa sakit sikit-sikit macam period pain. Tanpa melengahkan masa, terus berjumpa pakar O&G di hospital. Sewaktu doktor melakukan ultrasound, alangkah remuknya hati bila doktor cakap, tiada apa-apa yang kelihatan dalam kantung, apatah lagi nak dengar degupan jantung bayi. Yang ada cumalah sac yang tidak berapa menjadi. Doktor menyarankan untuk ‘cuci’ atau D&C. Tapi, aku dan Cfu macam terlalu sedih untuk buat keputusan waktu tu. Jadi, doktor bagi masa lagi seminggu untuk pastikan keguguran betul-betul berlaku.
Aku berkeras mahu dapatkan pendapat kedua.
Hal ni melibatkan nyawa darah daging aku, kot.
Kami berjumpa seorang lagi pakar O&G di tempat lain. Dan, sama macam kata-kata doktor sebelum ni, it was a threatened miscarriage. Dia pun menasihatkan untuk buat prosedur D&C dengan segera ataupun selepas seminggu. Cuma, risiko menunggu dalam tempoh seminggu tu, besar kemungkinan aku akan mengalami pendarahan teruk dan D&C kecemasan terpaksa dilakukan. Sekarang ni, terpulang pada aku dan Cfu. Semua keputusan di tangan kami.
An empty sac at 9th weeks with no heart beat detected :(
Dan, sekarang ni aku buntu.
Sedang cuti rehat di rumah, keliru sama ada untuk tunggu lagi seminggu ataupun teruskan je dengan proses D&C dengan segera. Perasaan aku bercampur-aduk ketika ini. Ada rasa sedih, keliru, takut, macam-macam pun ada.
Aku butuhkan pendapat dan pandangan kawan-kawan yang pernah mengalami situasi sama serta sokongan kata-kata semangat daripada semua yang ada di sini, untuk aku kumpul jadikan azimat kekuatan, demi menghadapi musibah yang satu ni.
T_____________T
HER : Tak terbayang perasaan orang yang masih lagi tidak mempunyai anak dan banyak kali mengalami keguguran. Sedihnyaaaaaaaa