Adik Nani kuchit. Hari ni, genap usia Adik 15 tahun.
Pagi-pagi lagi aku dah kepoh hantar SMS kat semua ahli keluarga. Ingatkan hari ni birthday Adik. Jangan lupa belanja dia makan KFC. Dia bukan peduli benda lain pun.
29 April 1994.
Sampai bila-bila pun aku takkan lupa.
Pada usia kandungan pramatang 7 bulan setengah, Mak mengalami tumpah darah. Adik hampir lemas dalam perut. Mak terpaksa menjalani pembedahan segera. Ingat lagi, aku ponteng sekolah agama semata-mata nak tunggu Mak kat luar bilik pembedahan bersama dengan Abah dan Angah. Abah ajak makan pun aku tak mahu. Nak tunggu Mak dan Adik keluar dulu.
Hampir 4 jam menunggu, ketua jururawat keluar. Sebelah tangan dia menggendong sesuatu. Dia panggil aku, "Meh tengok adik awak ni." Dengan penuh rasa teruja sebab pertama kali nak tengok rupa adik yang baru lahir aku meluru lari tak toleh kanan kiri. Adik-adik sebelum ni lahir, aku tak pernah tahu, tiba-tiba je dah ada adik lagi. Lepas dibelek-belek, tak nampak pun muka Adik, "Tak nampak pun misi. Mana adik kite?"
Adik kecik sangat. Nak dibandingkan dengan berat kami adik-beradik sebelum ni yang semuanya 3 kilo ke atas, berat dia cuma 2.4 kg. Lepas dibalut dengan selimut hijau, memang tak perasan yang jururawat tu tengah menggendong Adik. Rilek je bawak sebelah tangan pulak tu. Muka Adik masa tu warna merah jambu. Betul. Tak tipu. Pink sangat. Sebab tu bila dah besar, dia sangat putih kot.
Tak berapa lama lepas tu, barulah Mak diusung keluar. Doktor suruh kami panggil nama Mak, biar Mak sedar. Tapi, Mak masih high dengan bius pembedahan. Dia bo-layan je. Siap tepis-tepis tangan Abah masa Abah usap pipi dia. Bila cerita balik kat Mak, sampai ke sudah tak nak mengaku.
Sampai rumah, semangat gila aku bukak buku SENARAI NAMA ANAK-ANAK SOLEH & SOLEHAH. Propose kat Abah nama Hanani yang bermaksud belas kasihanku, kesayanganku. Abah setuju. Terus daftar nama NOOR HANANI. Cahaya kesayanganku. Sebab tu lah dia menjadik kesayangan semua kot. Baru sehari Adik takde kat rumah, pergi rombongan atau camping kat sekolah, satu keluarga akan rasa macam satu kehilangan besar. Sikit-sikit mengeluh, "Bila Adik nak balik ni." Padahal Adik tak pernah pedulik pun semua orang rindu kat dia. Dia lagi suka berjalan sana sini.
Masuk umur 10 bulan, Adik diserang demam panas sampai kena sawan. Akibatnya, ia beri kesan pada otak. Adik mengalami masalah lewat perkembangan dan pertuturan. Sejak tu, kalau ada perkembangan terhadap proses tumbesaran Adik, kami akan raikan dengan gembira macam menang loteri je lagaknya. Umur 2 tahun, Adik baru boleh berjalan, Abah bawak kami jalan-jalan ke Langkawi. Umur Adik 5 tahun, pandai sebut Mak, Abah, Along, Angah, Abang, Yan. Abah belanja Pizza. Begitulah seterusnya.
Masuk alam persekolahan, Adik ditempatkan dalam kelas Pendidikan Khas atas arahan pakar perubatan. Mulai saat itu, kami sekeluarga mula beri perhatian terhadap segala macam perkara berkaitan dengan Pendidikan Khas. Projek tahun akhir Sarjana Muda aku pasal Autisme dan Disleksia. Dan kajian diteruskan secara lebih detail oleh Cfu masa projek tahun akhir dia. Sambung Sarjana, aku kaji pulak pasal teknologi dalam bidang Pendidikan Khas. Bila Mak sambung belajar, dia pun buat kajian pasal perkembangan dunia Pendidikan Khas. Adik-adik yang lain pun sama. Semua lebih menjurus ke arah Pendidikan Khas.
Kami sama-sama berusaha membantu diri sendiri untuk membantu Adik.
Sekarang Adik dah 15 tahun. Dah masuk sekolah menengah Pendidikan Khas dan pegang kad Orang Kurang Upaya (OKU). Sebab Adik, sewa bil telefon talian tetap rumah hanya RM2 sebulan. Sebab Adik, cukai pendapatan kami kurang. Sebab Adik jugak, aku dapat tukar dari Kuching ke Semenanjung.
Apa yang lebih penting, sebab Adik, kami sekeluarga lebih memahami dunia dan perasaan OKU. Dia mengajar kami sekeluarga erti susah-payah berdepan dengan kata sinis orang tentang kecacatan, meraikan setiap detik perubahan positif yang berlaku dalam hidup, mensyukuri setiap nikmat hatta sekecil kuman pun dan melihat suatu kekurangan sebagai kelebihan yang tak dipunyai oleh orang lain.
Betullah kata orang, selagi kita tak punya ahli keluarga OKU, kita takkan ambil pot pun pasal keperluan dan kesusahan mereka.
Buat Adik, walaupun aku tak tahu bila dia akan pandai membaca entri ni, aku mahu dia tahu, kami semua rasa sangat bertuah sebab memiliki dia dalam hidup kami. Macam kata pensyarah penyelia aku sewaktu aku ceritakan pasal Adik dulu,
"Jangan rasa susah menjaga Adik awak. Dia lah yang bakal bawak awak satu keluarga yang dah bersusah-payah membela dia, masuk syurga kat akhirat kelak. Sebab dia dikira sebagai ahli syurga. Tak punya dosa."
HER : Nak kena tunggu diri sendirik bergelar OKU baru nak sedar kot, agaknya.